Sébastien Loeb kembali ke WRC selepas 5 tahun bersara!

oleh Muhammad Md Tajudin|
Apabila seseorang juara dunia perlumbaan mengumumkan persaraan dari dunia yang diminatinya akan timbul rasa skeptikal sampai bila pengumuman itu boleh bertahan.

Perlumbaan dan kejayaan adalah suatu ketagihan dan ini boleh dilihat apabila Michael Schumacher kembali ke perlumbaan Formula 1 pada tahun 2010 selepas bersara pada tahun 2007.

Itu kisah Michael Schumacher, juara tujuh kali perlumbaan Formula 1 sepanjang 19 tahun karier dalam persaingan tertinggi dunia.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Apabila juara sembilan kali Perlumbaan Rali Dunia (WRC) Sébastien Loeb mengumumkan persaraan pada tahun 2012, masa akan menentukan bilakah beliau akan kembali ke perlumbaan hebat dunia itu.

2018. Iya, Sébastien Loeb akan kembali ke pusingan terpilih WRC bersama Citroën Total Abu Dhabi World Rally Team. Beliau dan jurupandu arah Daniel Elena akan berlumba menggunakan jentera Citroën C3 WRC di rali Mexico, Corsica dan Catalonia dalam WRC 2018.

 

Citroën WRC

 

Pasangan itu mencatatkan rekod menggagumkan iaitu sembilan kali juara dunia dari tahun 2004 hingga 2012 dan turut membantu Citroën merangkul lapan kejuaran dari 2003 hingga 2005 dan 2008 hingga 2012 selain 78 kemenangan rali.

Sébastien Loeb sebenarnya lebih tepat memegang gelaran bersara separuh masa apabila beliau bersaing dalam empat perlumbaan rali pada tahun 2013 dan membuat penampilan one-off di Rallye Monte-Carlo 2015. Dalam pada itu beliau turut terlibat dalam World Rallycross dan juga Rali Dakar.

Pemilihan tiga pusingan di Mexico, Corsica dan Sepanyol itu juga adalah keputusan strategik memandangkan beliau pernah menang sebanyak enam, empat dan lapan kali secara berasingan di situ.

 

Selain penyertaan semula Sébastien Loeb, Citroën mempunyai misi yang lebih besar iaitu mereka mahu memenangi 100 perlumbaan WRC pada musim depan. Sekarang ini, Citroën memenangi 96 perlumbaan dan baki lagi empat kemenangan seperti tiada masalah untuk dicapai.

Barisan pelumba Citroën pada musim depan hebat belaka. Kris Meeke akan menggalas tugas pemandu utama Citroën Total Abu Dhabi World Rally Team, manakala Craig Breen akan berlumba di sepuluh pusingan dan Khalid Al Qassimi pula akan berlumba dengan kereta ketiga pada beberapa pusingan.

Perlumbaan WRC depan nampak menarik dan apakah komen Sébastien Loeb?

Beliau tiada apa-apa jangkaan dan hanya ingin menikmati perlumbaan! Juara sembilan kali itu bakal berusia 44 tahun pada musim depan. Boleh tahan bukan?

 

Sébastien Loeb

 

Penulis: Muhammad Md Tajudin

Berita Berkenaan

Sukan Bermotor
Keputusan itu dibuat setelah PSA Group meneliti dan menyusun kembali aktiviti perlumbaan jenama di…