Rozaida - gadis Kuala Kangsar dibelakang rekabentuk Givi!

oleh HEZERI SAMSURI|

Produk-produk Givi memang terkenal kerana tahan lasak, berkualiti dan memberikan pulangan nilai yang berbaloi.

Jenama yang bermula dari tahun 1978 ini memang sinonim dengan produk kotak simpan barang untuk motosikal.

Kemudian ia juga menghasilkan aksesori lain seperti pakaian menunggang, sut hujan, helmet, pemegang henfon/GPS dan sebagainya.

Malah Givi mempunyai beribu-ribu produk yang dihasilkan mengikut jenis dan model motosikal serta kehendak setiap pasaran di seluruh dunia.

Untuk Asean, Givi mula bertapak di Malaysia dengan seorang pengedar yang kemudian membina sebuah kilang di Bukit Beruntung.

Di bawah Givi Asia Sdn Bhd, ia menghasikan produk-produk berkualiti khusus untuk selera tempatan dan kerana itu, ia memerluka perekabentuk tempatan juga.

Tidak Careta sangka, designer utama Givi Asia sebenarnya ialah seorang gadis yang berasal dari Kuala Kangsar, Perak.

Rozaida Ahmad Zaki, 31 tahun, yang mendapat pendidikan di MRSM PDRM, Kulim, Kedah dan kemudian menyambung pelajaran ke UPM Serdang di dalam jurusan Rekabentuk Industri.

 

givi bold launch

 

Mula bertugas di Givi pada tahun 2009, Rozaida menerangkan tugasnya bukan sahaja untuk merekabentuk produk-produk untuk pasaran tempatan, tetapi untuk membantu Givi Itali dalam rekabentuk komponen bagi produk antarabangsa jenama itu.

"Item pertama yang saya bantu untuk reka ialah windshield atau penghadang angin motosikal," terang beliau yang memang suka tersenyum.

Rozaida yang masih belum berumah-tangga ini kemudian bertanggung-jawab dalam rekabentuk produk-produk popular Givi di dalam negara seperti sut hujan, komponen helmet, pelekat (decal atau sticker) helmet serta beg sisi (pouch atau fanny bag).

 

rain suit givi 2

Bila ditanya akan kesukaran tugas beliau, Rozaida berkata beliau perlu mengkaji trend pasaran semasa agar produk Givi sentiasa segar.

"Selepas saya membuat kajian saya, kemudian saya akan memulakan proses rekabentuk dan seterusnya kepada pembuatan prototaip dan peringkat ujian," sambungnya.

"Setiap produk mempunyai cabaran masing-masing. Contohnya sut hujan Givi, ia berbeza dari yang direka untuk Eropah kerana cara penggunaan di sana dan di Malaysia berbeza," kata Rozaida.

Rozaida seterusnya berkata di Eropah, sut hujan hanya perlu kalis air ketika menunggang dan mempunyai ciri-ciri keselamatan seperti panel pantul cahaya dan warna yang terang.

"Di Malaysia, pengguna sut hujan menggunakan sut hujan walaupun hujan telah lama berhenti. Kerana itu, saya perlu pastikan bahan yang digunakan tahan panas. Ia juga perlu ringan dan mempunyai jahitan benang yang kuat kerana satu lagi masalah di Malaysia ialah penggunanya sangat kasar," kata Rozaida. 

 

Givi rain suit

"Jahitan di bahagian strap Velcro perlu kuat," terang Rozaida lagi.

Beliau juga berkata antara punca sut hujan tidak akan tahan lama ialah kerana pengguna tidak mengeringkannya sebelum melipat dan menyimpan sut itu.

"Ia perlu dikeringkan dahulu, dan kemudian baru boleh dilipat dan disimpan. Dengan cara itu, sut hujan mampu tahan lebih lama," kata Rozaida.

Rozaida juga menguji sendiri produk-produk yang dilakukannya.

Beliau yang menunggang motosikal Yamaha 135 LC bersetuju bahawa untuk menjadi designer yang baik, seseorang itu perlu memahami kehendak pengguna dan cara terbaik ialah dengan menggunakan sendiri produk itu.

waist bag

Bila diajukan soalan apakah ciri-ciri rekabentuk sebuah produk Givi, Rozaida dengan pantas berkata produk Givi perlu nampak eksklusif dan tidak terlalu garang.

"Kerana itu, barangan Givi jarang mempunyai corak atau warna yang garang," kata Rozaida ketika ditemui semasa pelancaran kotak barang E32 Bold di Port Dickson semalam.

Harapan Rozaida ialah agar produk-produk keluaran Givi akan terus memberikan keyakinan kepada pengguna.

Kepada pembaca wanita di luar sana, Careta mahu mengingatkan bahawa Rozaida bukanlah satu-satunya wanita yang aktif di dalam industri automotif atau industri sokongannya.

Rozaida adalah satu contoh yang baik kerana sedar atau tidak, semua pengguna produk automotif terdiri dari pelbagai golongan.

Diharapkan pelajar-pelajar wanita jangan terus menutup pintu untuk bekerja di industri automotif.  Ada pelbagai jawatan yang kadang-kadang direka khusus untuk kaum wanita.

Yang penting, kemahuan untuk menjadi yang terbaik.
 

Add new comment

Berita Berkenaan

Pelancaran
Pakar aksesori motosikal dunia, Givi hari ini melancarkan model terbaru untuk produk kotak simpanan…