Rolls-Royce Amethyst Droptail tampil dengan struktur kayu aerodinamik

oleh Mohamad Hanif|
Beberapa hari yang lepas, Rolls-Royce baharu sahaja memperlihatkan model binaan khas La Rose Noire Droptail dengan layangan warna merah yang elegan.
AION MREC Banner Campaign May 2024

Ia merupakan satu daripada empat unit binaan khas yang dirancang untuk pelanggan istimewa Rolls-Royce, di mana La Rose Noire Droptail tersebut kemudian disusuli dengan sebuah lagi model yang digelar sebagai Amethyst Droptail.

Baca: Rolls-Royce La Rose Noire Droptail

Secara ringkasnya, ia membawakan persamaan rekaan luaran dengan model La Rose Noire Droptail.
 

amethysyt


Namun, terdapat beberapa perbezaan yang boleh dilihat, seperti contoh layangan warna ungu dua tona (soft purple + deep purple) yang diinspirasikan daripada bunga Globe Amaranth, diikuti dengan rim aluminium 22 inci warna ungu muda.

Buat pertama kalinya, Rolls-Royce menampilkan struktur jeriji yang digilap menggunakan tenaga tangan sepenuhnya, di mana ia mengambil masa lebih daripada 50 jam untuk menghasilkan kesempurnaan kualiti yang diinginkan.
 

droptail


Bahagian bawah jeriji pula menempatkan liang kemasukan udara yang terdiri daripada 202 jongkong keluli yang dicetak dan dicat dengan warna Globe Amaranth.

Sementara dek aerodinamik di belakang menampilkan permukaan kayu besar yang berfungsi untuk menghasilkan daya mendap - pertama seumpamanya di dalam dunia!
 

droptail


Selain daripada itu, pelanggan juga mahukan Amethyst Droptail ini mempunyai ciri kaca elektrokromatik yang mampu bertukar warna.

Setelah 60 kali percubaan, Rolls-Royce akhirnya berjaya menghasilkan kaca yang mampu menjadi warna ungu apabila legap sepenuhnya, atau bertukar menjadi warna yang menyamai warna tempat duduk balutan kulit Sand Dunes apabila ia menjadi lutsinar.
 

droptail


Untuk ruang kabin, tema warna ungu turut diterapkan pada bahagian tersebut, diikuti dengan kemasan kayu gelap.

Difahamkan, sebanyak lebih 150 contoh kayu telah diuji selama lebih 8,000 jam di bawah sinaran mentari, hujan dan perubahan suhu sebelum ia sedia untuk digunakan pada kereta sebenar.
 

droptail


Sama seperti model La Rose Noire Droptail, Amethyst Droptail juga dipasangkan dengan unit jam khas dihasilkan oleh Vacheron Constantin yang boleh ditanggalkan dan dipakai seperti jam tangan biasa.

Unit jam Les Cabinotiers Armillary Tourbillon tersebut mempunyai paparan bi-retrograde dengan sistem pergerakan manual, diikuti dengan kemasan warna amethyst dan tapak asas emas putih.