Menjelang tahun 2024, fasiliti Renault-Samsung yang terletak di Busan, Korea Selatan akan mula memasang model-model baharu yang dibina menggunakan pelantar CMA (compact modular architecture) Geely.
Barisan kenderaan baharu Renault-Samsung itu disahkan masih lagi menawarkan trenkuasa enjin pembakaran dalaman, serta teknologi hibrid termaju yang dibawakan oleh Geely.
Menurut Renault, model-model baharu ini akan mampu memenuhi dan melangkaui keperluan pasaran tempatan dengan ciri-ciri premium serta teknologi pendahulu di dalam industri.
Selain daripada pasaran tempatan, Renault juga mengesahkan perancangan untuk mengeksport model-model baharu ini ke pasaran luar.
Platform CMA telah pun digunakan untuk beberapa buah model baharu di bawah Geely seperti Geely Xingyue L (gambar atas), Polestar 2, serta Volvo XC40 dan C40.