Ranger Raptor - Pandu uji di Darwin, Australia

oleh HEZERI SAMSURI|
Siapa tak kenal Ford F150 Raptor - trak prestasi yang mempunyai daya tarikan seperti sebuah Lamborghini Huracan berwarna ungu dengan rim aloi hijau.

Ia adalah Lamborghini untuk trak pikap, dan walaupun ia dibina untuk pasaran US sahaja, publisiti yang diterima oleh Ford sudah mencapai skala global.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Di Asia dan Eropah, F150 terlalu besar dari segi saiz dan dimensi - tidak sesuai untuk jalanraya yang lebih kecil dan harga bahan api yang lebih mahal.

 

 

Kerana itu, Ford menghasilkan model Ranger yang nyata sangat berjaya. Varian Wildtrak membuktikan ada pasaran yang cukup kuat untuk trak pikap mewah, sehinggakan jenama-jenama Jepun terkesima dengan tindakan Ford.

Wildtrak bukan sebuah Ranger yang disaratkan dengan aksesori, tetapi ia dibina dari kilang sebagai trak pikap yang mengutamakan keselesaan penumpang, seperti sebuah SUV.

Mungkin kerana kejayaan Wildtrak, Ford mengambil keputusan Ranger juga sudah mampu mempunyai varian prestasinya sendiri dan Careta diterbangkan ke Darwin, Australia untuk memandu uji Ranger Raptor.

 

 

Kenapa Darwin, Australia?

Untuk yang tidak tahu, Ford mempunyai kemudahan R&D yang besar di Australia. 

Bentuk mukabumi Australia juga unik, dan walaupun ia berpuluh kali-ganda lebih luas dari Malaysia, jumlah penduduknya lebih kecil dari kita - 24.13 juta berbanding dengan 31.19 juta di sini (tahun 2016).

 

 

Kerana itu, ia mempunyai kawasan "offroad" yang sangat luas. Di Darwin contohnya, kawasan off-road ala padang pasir mengingatkan kami kepada Perlumbaan Baja 1000 yang sangat popular di US dan di negara Amerika Latin.

Ia berkaitan dengan kenderaan-kenderaan 4X4 berlumba di atas padang pasir dalam kelajuan tinggi, seperti Dakar Rally.

 

 

Apa beza Raptor dan Ranger biasa?

Raptor dan Ranger sebenarnya berkongsi banyak DNA.
Kerangkanya lebih mirip kepada SUV Everest, di mana sistem gantungan belakang jenis multi-link dengan pegas Watts.

Secara teori, akan ada mekanik berkata ia mampu dilakukan. Benar, cuma cari kerangka belakang Ford Everest dan kahwinkan. Itu mudah.

 

 

Yang sukar ialah pengukuhan casis yang perlu dilakukan agar Raptor ini mampu dipandu seperti sebuah Raptor. Yang ini hanya mampu dilakukan dari proses awal pembuatan kerangka. 

Tetapi setakat untuk nampak hebat dan menjadi beauty queen, memang boleh dilakukan sendiri.

Transmisi Raptor menggunakan transmisi 10-kelajuan automatik yang dipinjam dari Mustang. Di Thailand, Ford telah pun memperkenalkan varian Ranger XLT dengan transmisi ini. 

 

 

Enjin 2.0L BiTurbo juga baharu dan telah diperkenalkan di Thailand untuk varian Wildtrak baharu.

Enjin 2.0L ini mempunyai prestasi yang sangat tinggi berbanding dengan enjin lama 3.2L. Dua pengecaj turbo juga menjanjikan kurangnya masalah turbo-lag.

Raptor turut didatangkan dengan mod pemanduan yang istimewa - Baja Mode. Ia menjadikan Raptor bersifat lebih agresif bagi membolehkan pemanduan laju di kawasan off-road lapang seperti di padang pasir.

 

 

Sesi pandu uji bermula di hotel kami di tengah bandar Darwin. Selepas sarapan yang ala kadar kerana DTJ (Diet Tak Jadi) paksaan isteri, Careta bersama penulis dari Paul Tan diberikan sebuah Ranger Raptor dalam konvoi 10-kenderaan itu.

Pemanduan dibahagikan kepada dua - kawasan jalanraya dan kawasan off-road.

Perjalanan fasa pertama ialah di atas jalanraya menghala keluar dari bandar Darwin ke simpang bermulanya pemanduan off-road.

 

 

Kami kira ini adalah fasa penting kerana kebanyakan pemandu Raptor Ranger di Malaysia akan menghabiskan masa di atas jalanraya. Kerana itu, Raptor perlu selesa.

Ia juga senyap - hasil dari tambahan Active Noise Cancellation System yang dilengkapkan pada Raptor. Ciri ini sebenarnya sudah ada pada Wildtrak tetapi bukan untuk pasaran Malaysia.

Kuasa pecutan dari enjin 2.0L BiTurbo diesel itu jauh lebih baik daripada enjin-enjin diesel 3.2L dan 2.2L yang digunakan oleh Ranger biasa dan Wildtrak.

Kadar pecutan yang baik membuktikan tambahan satu lagi pengecaj turbo itu berhasil mengurangkan kadar turbo-lag. 

 

 

Turbo-lag ialah bila kenderaan terasa lembab kerana pengecaj turbo belum berpusing dengan cukup kuat untuk memberikan hamburan tenaga. 

Ini sering dirasai ketika hendak keluar simpang dan dianggap sebagai masalah enjin turbodiesel yang normal. Ranger Raptor perlukan kuasa yang lebih linear, sesuai dengan imej agresifnya dan kerana itu Ford mencipta enjin baharu ini.

Ranger Raptor ini juga terasa kuatnya bila ia mampu memecut untuk memotong. Prestasi pecutan yang baik semasa bergerak ini (rolling accelaration) kemungkinan besar disebabkan oleh dua pengecaj turbo itu dan juga transmisi automatik yang mempunyai 10-kelajuan, memberikan nisbah yang sesuai untuk apa jua keadaan.

 

 

Mod pemanduan jalanraya juga memberikan talaan yang lebih sesuai bagi pemanduan di bandar. 

Dari segi keselesaan, Ranger Raptor mempunyai papan pemuka yang hampir sama dengan Wildtrak, cuma penulis diingat ia sebuah Raptor kerana tulisan Raptor wujud di sana sini.

Paparan meter pula tidak mempunyai skrin digital kembar seperti Wildtrak. Satu skrin besar diletakan di antara speedometer dan tachometer.

 

 

Skrin besar di tengah masih menggunakan perisian Sync 3 seperti yang digunapakai oleh Wildtrak. Ia mudah digunakan dan sangat 'straight-forward".

Warna kemasan kabin Ranger juga lebih mirip kepada sebuah kenderaan dari Ford ST - warna biru muda.

Tempat duduk bucket dalam Raptor pula direka untuk memegang pemandu dalam keadaan pemanduan agresif di kawasan off-road. 

 

 

Semasa di laluan bertar, ia masih selesa, terutama sokongan tulang belakang (lumbar support) yang menjadikan penulis tidak kepenatan semasa memandu jauh.

Sebenarnya, Ford Ranger memang mempunyai tempat duduk ciri Eropah yang sangat sesuai untuk perjalanan jauh.

Dari segi keselesaan pemanduan, sistem gantungan belakang itu benar-benar mengurangkan pantulan semasa melanda kawasan tidak rata atau bonggol jalan.

Dan bila kelajuan meningkat, sistem gantungan seperti bertukar menjadi keras untuk memastikan ekor tidak beroleng atau berhayun seperti menaiki tongkang kayu diserang badai ribut.

 

 

Satu sahaja komen penulis - penggunaan tayar All Terrain (AT) pada roda aloi 17-inci itu menghasilkan sedikit gegaran bila dipandu di atas jalanraya. Mungkin juga tayar AT yang dipilih Ford ini mempunyai bunga yang kasar.

Nasib baik ia tidak menghasilkan bunyi dengungan ketika di atas tar.

Sebenarnya, Ford bekerjasama dengan BF Goodrich untuk menghasilkan tayar tersebut. Sebagai bukti, tayar BF Goodrich itu mempunyai nombor kod yang menunjukan ia direka khusus untuk Ford.

 

 

Setelah hampir 200 km di atas jalanraya bertar dan berpuas hati dengan prestasi pecutan dan keselesaan Ranger Raptor ini, kami keluar dari jalanraya biasa dan masuk ke kawasan offroad.

Kawasan offroad di Darwin ini lebih kepada permukaan berpasir. Ia seperti kawasan kampung-kampung di tepi pantai di Malaysia - jalan berpasir dengan pokok-pokok dan sedikit rumput di bahu jalan.

Mod pemanduan dari sistem Terrain Management System ditukar kepada mod Pasir/Lumpur dan dengan mudah penulis mampu memecut dan mengekalkan kelajuan dalam 100 kmsj. 

 

raptor laju

 

Tiada masalah langsung walaupun sekali-sekala ekor cuba melibas kerana kurangnya cengkaman di atas pasir. Sistem 4X4 dan komputer berjaya mengawal keadaan tanpa drama.

Ia membuatkan pemandu nampak hebat wahal yang hebat ialah Ranger Raptor itu sendiri sebenarnya.

Sampai di rumah ladang di dalam kawasan ternakan lembu yang lebih besar dari Ireland itu, penulis dibawa ke lokasi untuk sesi high-speed offroad.

Di sini Raptor Ranger benar-benar menunjukan kebolehannya berbanding dengan trak-trak pikap Jepun/China/Jerman yang lain. 

 

 

Kawasan offroad laju ini mempunyai cabaran seperti laluan selekoh dengan pasir dalam, laluan pasir keras dan pasir lembut serta jalan lurus untuk halaju tinggi,diakhiri dengan beberapa siri loncatan.

Ia lebih mirip kepada perlumbaan Baja 1000 atau Dakar Rally, bukannya offroad Borneo Safari atau Rain Forest Challenge.

Jarak roda yang lebar dan sistem gantungan canggih (serta sangat mahal) oleh Fox membantu penulis untuk membuat pemanduan gaya rally.

Pembaca Careta pasti arif akan aksi-aksi agresif yang sering dipamerkan oleh penulis di dalam video-video trak pikap Careta. 

 

 

Untuk melompat, tidak susah kerana dengan sudut satah yang betul dan kelajuan yang tepat, semua kenderaan akan melompat.

Yang menjadi masalah ialah apabila ia kembali turun ke bumi. Antara risiko yang boleh terjadi ialah sistem gantungan yang kurang baik dan membuatkan kenderaan memantul ke tepi dan terbalik.

Kebanyakan loncatan yang dilakukan penulis ialah dengan kelajuan rendah, membuatkan sedikit sukar untuk kenderaan mendarat dengan keempat-empat roda mencecah bumi serentak.

 

 

Di Darwin ini, penulis girang sakan kerana laluan yang diberikan memang memungkinkan Ford Ranger Raptor itu melompat dalam kelajuan lebih dari 100 kmsj.

Ranger Raptor mendarat dengan hentakan lembut dan tidak ada langsung tindakan memantul dari sistem gantungan. Ia seolah-olah mencabar penulis dengan soalan "Itu sahaja ke?".

Memang geram. Sistem penyerap hentakan Fox ini memang membuktikan ia adalah jenama "legend". 

 

 

Di selekoh-selekoh tajam, mod pemanduan Baja menjadikan ia lebih mudah untuk penulis melungsurkan Ranger Raptor ke sisi dan stereng dipusing lawan arah (counter steer) untuk memastikan muncung trak pikap sporti ini menghala arah yang betul.

Tidak perlu dipujuk untuk melungsur dengan bantuan brek parkir (handbrake) - cuma pastikan kelajuan cukup tinggi dan stereng dihayun (flick) dan biarkan momentum menarik ekor agar menggelungsur dengan cantik.

Tukaran gear menggunakan paddle-shifters dibuat dari aloi magnesium memberikan rasa seperti memandu sebuah Ford Focus untuk perlumbaan rally.

 

 

Sekali-sekala mencuba juga teknik Scandinavian-flick, di mana penulis membalas ke kiri dan kemudian ke kanan semula agar momentum bahagian belakang lebih kuat.

Sekali lagi Raptor ini melakukannya dengan bersahaja, tanpa sebarang kerisauan. Sebenarnya, penulis yang risau kerana takut tidak mahu memulangkan Raptor itu. 

Di laluan berpasir dalam, terasa juga Ranger Raptor ini memerlukan lebih tenaga untuk menariknya keluar dari kekangan pasir. 

 

 

Ada juga media asing yang mendakwa enjin itu belum cukup kuat untuk kawasan pasir sedalam itu tetapi menurut pemandu profesional Ford, cara sebenar mengambil selekoh itu perlu betul supaya trak "tidak terperangkap" di situ.

Kali pertama, penulis sendiri mengalami masalah itu. Pedal pendikit ditekan habis dan nisbah gear diturun serendah mungkin tetapi pasir yang dalam itu nyata cemburu dan tidak mahu melepaskan Ranger Raptor penulis.

Untuk pusingan kedua, penulis menyerang selekoh yang sama dengan kelajuan yang lebih tinggi dan nisbah gear yang lebih rendah.

"Carry more speed! More! More! More!" jerit pemandu profesional Ford dengan manja kepada penulis.

Hasilnya Ranger Raptor itu melepasi perangkap pasir dalam dengan lebih pantas.

 

 

Tork pada kadar 500Nm yang mulai masuk pada kelajuan enjin serendah 1,750 RPM itu digunakan dengan sebaik mungkin. Locking Rear Differential juga membantu memberikan tenaga yang lebih fokus.

Bangga juga bila jurulatih pemandu profesional dari Ford memuji cara pemanduan penulis, walaupun penulis yakin pujian itu diberikan kepada semua media yang bersama beliau. 

Bagaimanapun penulis memang anak Melayu paling tampan di sana hari itu.

 

 

Di dalam pasaran Asia sekarang, memang tidak ada trak pikap yang mampu menandingi prestasi Ranger Raptor ini. 

Sebelum ini, Ranger haters sering mencemuh trak pikap Ranger tidak seganas seperti trak pikap mereka yang dibawa melompat ke sana ke sini (ada yang ralit sangat melompat sampai tak sedar kerangka sudah retak dan bengkok kerana tidak tahu batasan kerangka trak mereka).

Sekarang, mereka tidak boleh berkata apa kerana trak pikap bangsawan ini memang direka untuk melompat dan mengambil selekoh offroad dalam kelajuan tinggi. 

Malah, memang ini ialah trak bangsawan bertaraf dunia. Bukan jenis yang ditambah dengan aksesori dari Thailand dan diberi nama-nama agresif.

 

 

Adakah Ranger Raptor ini berbaloi dengan harga melebihi RM200,000?

Tepuk dada tanya selera - Ranger Raptor tidak ada pesaing di dalam kategori ini dan hanya mereka yang mampu sahaja dapat merasai kelebihan trak prestasi tinggi ini.

Selamat Datang Ford Ranger Raptor!

 

 

Spesifikasi Ford Ranger Raptor 2.0L Bi-Turbo 4X4 10AT

Enjin
1,996cc diesel 4-silinder 16-injap BiTurbo dengan intercooler

Transmisi
Automatik 10-kelajuan
Locking Rear Differential
4X4 with lower transfer case
Terrain Management System

Kuasa maksimum
213PS @ 3,750 RPM

Tork maksimum
500Nm @ 1,750 - 2,000 RPM

Saiz tayar
285/70 R17

Sistem gantungan
Double wishbone aluminium dengan internal bypass damper jenis Fox Racing Shox dan Anti Roll Bar (hadapan)
Coil-over dengan damper Fox Racing Shox dengan internal bypass dan tangki (reservoir) dan Watt's link (belakang)

 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Selepas itu, Latihan Kemahiran 4WD Sarawak 4x4 Training Academy (Sar4Trac) pula akan diadakan, yang…
Berita Global
Isuzu D-Max menjadi kenderaan ketiga paling popular di negara kangaroo itu, dengan jualan sebanyak…
Berita Global
  Selain itu, XR3 dijual pada harga yang berdaya saing dan gabungan ciri-ciri tersebut…