Sijil akreditasi itu telah disampaikan oleh Ketua Pengarah Jabatan Standard Malaysia, Shaharul Sadri Alwi, kepada Pengarah Kejuruteraan Proton, Hazrin Fazail Haroon.
MS ISO/IEC 17025:2017 ialah piawaian yang mengukur kecekapan makmal ujian dan penentukuran, di mana ia digunakan untuk membangunkan sistem pengurusan kualiti, dan untuk menilai kecekapan mereka sendiri.
Pensijilan terdiri daripada mengukur dan memastikan keputusan ujian memenuhi tahap yang diperlukan dalam tempoh masa ditetapkan.
Manakala keperluan dokumentasi untuk mematuhi terdiri daripada manual kualiti, prosedur operasi standard, aliran arahan kerja, dan beberapa kriteria lain.
Memandangkan ISO 17025 ialah pentauliahan standard yang diiktiraf di peringkat global, Pusat Ujian Proton kini memenuhi keperluan ujian untuk kenderaan yang dibangunkan bersama dengan Geely, malah membuka kemungkinan ujian untuk model Geely yang lain.
Hazrin Fazail Haroon berkata, “Akreditasi yang diterima oleh Pusat Ujian Proton adalah pengiktirafan atas kerja yang dijalankan pasukan kejuruteraan dan ujian di Proton untuk meningkatkan tahap keupayaan teknikal kami supaya sejajar dengan rakan kongsi kami, Geely.”
“Ia juga membolehkan kami mengurangkan kos pembangunan produk kami kerana tidak perlu lagi menghantar komponen untuk diuji ke luar negara serta membantu menguruskan garis masa pembangunan model dengan lebih baik.”
“Dengan akreditasi, pusat ujian kini memenuhi kedua-dua keperluan kecekapan teknikal dan keperluan sistem pengurusan yang diperlukan untuknya menyampaikan keputusan ujian secara konsisten dan penentukuran yang sah secara teknikal.”
“Akhirnya, ini akan menghasilkan kenderaan Proton yang lebih berkualiti, yang akan memberi manfaat kepada pelanggan kami yang dihargai.”