PURA Vision - apabila Pininfarina buat SUV (atau e-LUV)!

oleh Muhammad Md Tajudin|
Pininfarina PURA Vision
Pininfarina PURA Vision
Kenderaan utiliti sukan (SUV) dapat membantu sesebuah pengeluar melonjakkan jualan dan tidak perlu contoh jauh, PROTON sendiri berjaya memanfaatkan hakikat tersebut.

Bukan hanya pengeluar kereta kebanyakan, jenama mewah dan berprestasi juga memerlukan SUV dan boleh dilihat pada Porsche dan Lamborghini.

Lotus sendiri yang memegang mantra kenderaan ringan juga mempunyai SUV dan sambutannya luar biasa. 

Tahukah anda? Tempahan Lotus Eletre di pasaran tempatan sudah mencecah 500 unit!
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02
Pininfarina PURA Vision

 

Dari contoh di atas, masuk akal apabila Automobili Pininfarina mempertontonkan kereta konsep PURA Vision.

Automobili Pininfarina setakat ini menawarkan kereta hiper elektrik Battista dengan prestasi luar biasa 1,900 kuasa kuda (hp) dan tork 2,340Nm.

Satu yang menarik ialah Automobili Pininfarina memanggil PURA Vision sebagai Kenderaan Utiliti Mewah elektrik atau e-LUV.

Adakah e-LUV atau SUV bakal menjadi model kedua? Belum ada pengesahan kecuali PURA Vision akan dijadikan inspirasi kepada model generasi baharu Automobili Pininfarina.

 

Pininfarina PURA Vision

 

Reka bentuk malar segar sudah menjadi identiti rekaan Pininfarina selama lebih sembilan dekad dan PURA Vision menggabungkan perkadaran klasik dan perincian unggul.

Tukup depan dibuat rendah dan dapra (fender) direka tinggi dan diilhamkan dari model Cisitalia 1947 yang sememangnya cantik walaupun berusia lebih tujuh dekad.

Muka depan PURA Vision menyerlah melalui bampar yang ternganga dan lampu besar tersorok serta lampu nyalaan siang dengan teknologi nanogentian ultra langsing L.E.S.S.

Seperti biasa, bampar depan direka untuk membantu penyejukan dan aerodinamik. Bahagian atas badan kereta dan dalaman diinspirasi dari kapal layar mewah. 

 

Pininfarina PURA Vision

 

Dari sisi, jelas kelihatan rim aloi besar saiz 23 inci, cermin depan dan belakang yang kecil, bumbung landai dan bahagian belakang yang dramatik.

Nampak moden namun mempunyai identiti kereta klasik yang kuat. Pada bahagian dalam, papan pemuka dibuat ringkas dan bumbung panoramik menambah ciri mewah.

Bahagian bumbung tengah dipanggil biscotto dan mempunyai nyalaan LED.

Kereta ini menggunakan kerusi 2+2 dengan bukaan tanpa tiang tengah dan pintu dibuka ke depan dan ke belakang. Lebih dramatik, cermin sisi boleh dibuka ke atas.

 

Pininfarina PURA Vision

 

Pintu yang dipanggil Lounge Doors diilhamkan dari Lancia Florida dan direka Battista Farina dan menjadi kegemaran beliau.

Tema lampu langsing diteruskan pada bahagian belakang dan bawah bampar dengan gentian karbon terdedah seperti bampar depan.

Selain reka bentuk yang anggun dan menarik, PURA Vision diserlahkan dengan warna badan Bianco Sestriere Gloss.

Nampak besar dan berapa ukuran PURA Vision? Panjang 5,215 milimiter (mm), lebar 2,147 mm dan tinggi 1,641 mm.

 

Pininfarina PURA Vision

 

Automobili Pininfarina tidak berkongsi maklumat rangkaian kuasa dan sebagai rujukan, Battista dibekalkan bateri 120 kilowatt-jam yang menguasakan empat motor pada setiap roda.

Kereta hiper itu boleh dipandu sehingga 476 kilometer (WLTP) dengan sekali cas.

Model produksi yang diilhamkan dari PURA Vision akan direka dan dibangunkan di Itali dan dilengkapi teknologi canggih dari Hab Inovasi Digital Automobili Pininfarina di Jerman.

Penulis: Muhammad Md Tajudin

 

Pininfarina PURA Vision