Setelah empat tahun berlalu, kami di Careta telah meminjam sebuah Proton X70 varian 1.8 TGDI Premium semasa Hari Raya Aidilfitri lalu. Dari hasil pandu uji kami di jalan penuh kesesakan, kami rungkaikan hasil 'penyelidikan' kami di bawah ini:-
Pro
1. Masih meluncur tegap tanpa senggokkan
Ini adalah kerana Proton X70 dijana oleh enjin 4G18TB 1.8 liter turbo dengan sistem suntikan terus dan yang paling ketara adalah dari sistem transmisi, didatangkan dengan kotak gear klac berkembar automatik jenis basah tujuh-kelajuan yang telah menggantikan transmisi automatik konvensional enam-kelajuan sebelum ini.
Enjin ini menghasilkan jumlah tork yang lebih 15 Nm dari asal kepada 300 Nm dan kuasa kuda pada tahap 181 hp. Kuasa pecutan dari 0-100 km/j dalam masa 9.5 saat, sesaat lebih pantas dari model CBU sebelumnya.
2. Ruang kabin yang selesa
Warna perang muda di ruang kabin kelihatan premium dengan lima tempat duduk, tiada 'bonjolan' di tempat duduk penumpang dan tiada masalah untuk tiga orang dewasa bersaiz besar mengisi ruang tempat duduk di belakang.
Tiada gajet-gajet pelik di ruang kabin dan ini memudahkan pemandu kendalikan jentera ini. Apatah lagi kerusi di bahagian pemandu didatangkan dengan 'lumbar support'/ sokongan tulang belakang, sememangnya menghilangkan lenguh pinggang menghadap jalan raya yang sesak!
Dan varian premium bahagian tempat duduknya dibalut dengan kulit jenis Nappa, bukan kaleng-kaleng ya...
Sekiranya anda gusar kerana X70 didatangkan dengan sunroof, takut kulit terkena pancaran matahari dan menjadi gelap, nyahkan kegusaran anda kerana tiada pancaran matahari yang berjaya menebusi ruang kabin, malah kami terlupa langsung 'bumbung' X70 cuma cermin dan kain!
3. Suspensi lebih keras
Proton X70 CKD ini menggunakan spring dan absorber yang lebih keras dari model CBU. Percaya lah bila kami katakan ia lebih 'steady' dan body roll amat terkawal. Tidak rasa 'terbuang' atau terumbang ambing yang keterlaluan.
4. Bunyi bising dan bunyi enjin kurang kedengaran
Jika dibandingkan dengan Proton X50, sememangnya X70 ini lebih 'senyap' dan kurang kedengaran bunyi enjin dalam ruang kabin! Sekiranya anda mempunyai telinga ular dan masih terdengar bunyi-bunyian dari luar, apa yang anda perlu lakukan adalah tinggikan pembesar suara, kerana X70 didatangkan dengan sembilan pembesar suara beserta subwoofer!
5. Sistem Keselamatan
Pelbagai sistem keselamatan dilengkapkan pada X70 ini, tidak lah secanggih pencabarnya tetapi ia mencukupi, antaranya adalah seperti ADAS (Sistem Bantuan Pemanduan Termaju), AEB (Brek Kecemasan Automatik), FCW (Amaran Pelanggran Hadapan), ACC (Cruise Control Adaptif), LDW (Amaran Keluar Lorong), BLIS (Sistem Pemantau Titik Buta), DOW (Sistem Amaran Bukaan Pintu), HBC (Kawalan Lampu Tinggi Pintar), empat sensor parkir hadapan, TPMS (Sistem Pemantau Tekanan Tayar) dan dua sensor parkir hadapan beserta kamera 360 darjah.
Sememangnya perjalanan kami terasa selamat, Alhamdulillah.
6. Bonus
Beberapa fungsi yang 'kecil' tetapi kami rasakan menarik adalah seperti apabila anda memandu melebihi 110 km/j, anda akan dinyanyikan dengan bunyian amaran bagi memberikan anda peringatan untuk mengurangkan kelajuan!
Ruang simpanan yang agak banyak untuk anda menyimpan barang-barang kecil serta botol air dan terdapat dua USB port di bahagian tempat duduk penumpang belakang, jadi tidak perlu bergaduh untuk berebut mengecas tablet atau talipon pintar!
Power boot, pasti golongan wanita menghargai fungsi ini!
Kontra
1. Penggunaan bahan api
Rasanya hampir seluruh rakyat Malaysia mengetahui perkara ini. Selepas memandu ke selatan tanah air, Proton X70 telah berjaya 'memakan' minyak yang agak tinggi, secara keseluruhannya hampir 11 liter/100 km. Ini termasuk jalan di lebuhraya dan jalan-jalan persekutuan. Salah satu sebabnya adalah kerana berat badan X70 ini adalah 1.7 tan! Ditambah pula dengan penggunaan rim bersaiz 19 inci, sememangnya laju penurunan indikator bahan api!
2. Ruang but agak sendat dan lantai but yang tinggi
Walaupun ruang but X70 lebih besar, 512 liter dari X50, 330 liter tetapi ia masih agak kecil berbanding persaingannya kecuali Mazda CX-5. Malah lantai but X70 ini berada dalam kedudukan yang tinggi dan ini amat merugikan dan ruang semakin terhad, di samping ia berada pada kedudukan yang tinggi, untuk mereka yang cuma mempunyai ketinggian 5 kaki, ini pasti menyukarkan mereka untuk meletak atau mengeluarkan barang dari but X70.
3. Sistem audio, tiada Apple CarPlay atau Android Auto
Walaupun didatangkan dengan teknologi voice command tetapi untuk anda yang sudah biasa menggunakan Spotify, anda perlu menghubungkan sistem audio ke bluetooth sahaja, tetapi terdapat insiden di mana Spotify anda tiba-tiba membisu!