“Ia merupakan jumlah yang paling rendah pernah dilaporkan berbanding pada tahun 2019 iaitu sebanyak 564 unit, 2018 (534), 2017 (654) dan 2016 (1,214).
“Selain Proton Wira, satu lagi kereta keluaran Proton iaitu Iswara menjadi pilihan pencuri apabila sebanyak 273 unit dilaporkan hilang akibat dicuri sepanjang tahun lalu,” kata laporan itu.
Tambahnya, kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux pula menjadi model ketiga paling banyak dicuri apabila sebanyak 209 unit dilaporkan dicuri sepanjang tahun lalu.
Menurutnya, ia diikuti kereta jenis Perodua Myvi iaitu sebanyak 131 kes, Perodua Kancil (114), Proton Saga (110) Proton Waja (104), Honda Civic (85), Honda City (75) dan kenderaan pelbagai guna Toyota Vellfire (60).
“Secara purata 20 unit kenderaan pelbagai jenis telah dilaporkan hilang setiap hari bersamaan 7,300 kes sepanjang 2020.
“Kereta tempatan menjadi sasaran pencuri apabila alat ganti asal bagi model Proton Wira tidak lagi dikeluarkan sekaligus menjadikan komponennya menjadi mahal,” katanya.
Kenderaan seperti Toyota Hilux dan Vellfire pula kerap dicuri kerana ia disukai pembeli kerana nilai jualan di pasaran gelap terutama di Thailand amat rendah sekitar RM100,000 sebuah berbanding RM180,000 di pasaran biasa.
Dalam pada itu, seorang pemilik bengkel, Muhammad Haikal Che Wil berkata, Proton Wira digilai kerana ia merupakan salinan daripada model Mitsubishi Lancer keluaran syarikat terkenal dari Jepun.
“Ia jenis yang tahan lasak kerana itu ia masih bertahan sehingga kini. Salah satu sebab ia dicuri ialah kerana sindiket mahu menjual komponennya yang bernilai tinggi,” katanya.
Tambahnya, harga enjin terpakai Proton Wira untuk model 1.3 dan 1.5 liter mencecah RM3,000 dan banyak lagi jualan komponen yang tidak masuk akal.
Menurut Muhammad Haikal, reka bentuk dan komponen Proton Wira yang turut mempunyai pelbagai keluaran khas antaranya model 1.8 liter, Piala Thomas serta keluaran bagi pasaran Eropah menjadikan ia terus menjadi buruan pencuri.
“Jika permintaannya tinggi, maka kadar kecurian bagi mendapatkan alat ganti juga tinggi. Alat ganti model ini jika ada yang baharu sekalipun adalah bukan yang asli,” katanya.