Proton Saga baharu, ejen pengubah stigma generasi terdahulu!

oleh Afandi Che Muhamad|
Populariti dikecapi Proton Saga sejak dilancarkan bekas Perdana Menteri keempat, Tun Mahathir Mohamed kira-kira 33 tahun lalu sememangnya tidak dapat disangkal lagi.
Merdeka Bonanza

Menyingkap kembali sejarah Proton Saga, model generasi pertama dibina berlandaskan platform Mitsubishi Lancer Fiore dan penggunaan nama Saga pula diilhamkan daripada seorang pesara tentera iaitu Allahyarham Ismail Jaafar yang baru sahaja menghembuskan nafas terakhir pada 13 Januari lalu akibat sakit tua.

Dianggap sebagai model ikonik Proton, pelancaran model Saga generasi pertama ketika itu begitu pantas memikat hati pengguna di Malaysia.

Sehingga kini, Proton Saga masih kekal sebagai salah satu karya terbaik daripada pengeluar kereta nasional itu meski pun sudah tiga dekad lamanya mewarnai industri automotif tempatan.

Keunikan Proton Saga terletak pada indentiti yang tersendiri.

Sekali pandang sahaja, anda pasti dapat mengenalinya dan tidak mungkin tertukar dengan mana-mana model jenama lain walaupun sudah mengalami evolusi tahun demi tahun.

Sudah memasuki generasi ketiga, Proton Saga baharu yang dilancarkan pada tahun 2016 menerima banyak penambahbaikan dari setiap aspek pembinaan.

Ia jauh lebih baik berbanding model generasi kedua seperti Saga FLX.

Didatangkan dengan tiga varian seperti Standard (MT & CVT), Executive CVT dan Premium CVT, Proton Saga baharu boleh dipilih dalam warna hitam, merah, putih, kelabu, biru atau perak.

Bagi mengetahui perbezaan antara Proton Saga 2016 dan Saga FLX, penulis menyatakan hasrat untuk mencuba model baharu berkenaan minggu lalu.

Saiz dan keluasan kereta juga bertambah yang mana ia 74 milimeter (mm) lebih panjang dan 9mm lebih lebar (1,689 mm) berbanding Saga FLX.

Kewujudan faktor berkenaan sudah pasti menjadikan ruang kabin Proton Saga baharu lebih selesa.

Tanpa berlengah, penulis mula melangkah masuk ke dalam ruang kabin kereta berkenaan sebelum mendapati komposisi panel instrumen yang terdapat pada papan pemuka tersusun kemas dan teratur selain memiliki rekaan lebih kompak.

Tidak terhad menerusi penawaran itu, Saga baharu turut dilengkapi dua pengecaj USB di belakang, pemain radio/CD/MP3 (tiga dalam satu), dua beg udara di hadapan, ISOFIX, sambungan Bluetooth, 10 ruang simpanan merangkumi dua pemegang cawan dan empat pemegang botol, tempat duduk pemandu boleh laras (ketinggian sahaja), pelaras stereng dan tempat duduk belakang jenis boleh lipat (untuk semua varian), kamera undur beserta sensor keliling.

Menarik bukan? Ciri-ciri tersebut menambah nilai pada pakej gaya dan keselamatan dalam masa sama bagi Proton Saga baharu ini.

Usah risau jika anda dan keluarga membawa barangan yang banyak dalam perjalanan, satu hal yang perlu diketahui adalah Proton Saga baharu kini direka dengan ruang bagasi berkeluasan 420 liter.

Jauh lebih besar dan luas berbanding ruang bagasi dengan kapasiti 413 liter yang terdapat pada Saga FLX sebelum ini.

Ruang berkenaan mampu memuatkan dua bagasi bersaiz sederhana dan dua bagasi bersaiz kecil.

Memulakan perjalanan ke Kedah sebelum seterusnya berangkat ke Kelantan pada hari yang sama, saya rasakan tahap pengurangan bunyi bising, getaran enjin adalah lebih baik berbanding model Saga generasi kedua itu (Saga FLX).

Suasana di dalam ruang kabin lebih senyap biar pun ketika dipandu pada kelajuan sekitar 180 kilometer sejam (kmsj) di Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS).

Memasuki laluan bengkang-bengkok dengan struktur jalan yang kurang rata di Lebuh Raya Timur-Barat bermula dari Gerik menuju ke Jeli, kadar kesenyapan masih rendah.

Pujian harus diberikan kepada sistem suspensi Proton Saga baharu ini kerana ia efisien mengalas tugas menyerap hentakan selain memastikan pengendalian lebih stabil.

Sekali pun mendaki bukit, nadi enjin 1.3 VVT dimiliki sedan yang tergolong dalam segmen A ini mempamerkan prestasi luar biasa.

Enjin tersebut tidak melahu tidak tentu hala setiap kali pedal minyak dipijak penulis, berbeza sekali dengan Saga FLX yang seakan meneran ketika berdepan situasi sama.

Oh ya! Penulis suka untuk memaklumkan bahawa Proton Saga baharu mampu memecut dari titik pegun hingga 100 kmsj dalam tempoh 12.2 saat sahaja, 1.4 saat lebih pantas berbanding Saga FLX (perbandingan antara varian CVT).

Setiap pengguna inginkan kenderaan cekap minyak. Jika anda juga inginkan perkara sama, Proton Saga baharu merupakan pilihan paling tepat.

Teknologi VVT yang digunakan efisien dalam menjimatkan penggunaan bahan api sebanyak 14 peratus, meningkat dua peratus berbanding Saga FLX.

Jika anda mengekalkan corak pemanduan pada kelajuan purata sekitar 120 kmsj dan ke bawah, anda dapat menyaksikan sendiri nyalaan mod ECO dengan bacaan penggunaan petrol sebanyak 5.6 liter setiap 100 kilometer (km) bagi varian CVT.

Meneliti kesemua aspek, apa yang dapat disimpulkan penulis adalah Proton Saga baharu serba-serbi lengkap baik dari aspek mekap gaya dan juga prestasi.

Nampaknya, Proton Saga baharu menjadi ejen pengubah stigma model terdahulu. Mana tidaknya, penampilan yang mewah namun masih mengekalkan harga di bawah bajet rakyat marhaen itu meletakkan ia sebagai model pilihan orang ramai.

 

Info dan Spesifikasi Proton Saga 1.3L Premium CVT 2016

 

Enjin: Enjin empat silinder DOHC 16V VVT
 

Sesaran: 1,332cc
 

Tenaga maksima: 94Hp pada 5,750rpm
 

Tork maksima: 120Nm pada 4,000rpm
 

Transmisi: Automatik CVT

Add new comment

banner articles

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Sejak melakukan debut global baru-baru ini, model crossover kompak Toyota itu mendapat sambutan…
Berita Domestik
Menurut laporan supercars.com, kereta tersebut digunakan Jamie Whincup yang berjaya merangkul…
Berita Domestik
Pada pertandingan itu nanti, kereta Hidrogen ciptaan ketujuh-tujuh pasukan dari Malaysia yang…