Proton dan isu bumiputera - di mana hadnya?

oleh HEZERI SAMSURI|
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Beberapa hari kebelakangan ini, rakyat Malaysia yang begitu patriotik tentang Proton telah melemparkan kritikan terhadap Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema) berikutan kenyataan pro Bumiputera yang dibuat oleh persatuan itu baru baru ini. Persepsi yang telah tertanam di kalangan rakyat Malaysia ialah objektif perniagaan untuk Bumiputera memang diakui sebagai punca masalah Proton yang tidak berkesudahan.

Namun begitu, jika difikirkan secara lebih mendalam, ada juga benarnya isu yang diketengahkan oleh Pekema ini.

Walaupun sejujurnya Pekema tidak ada kena mengena di dalam isu ini dan mungkin hanya mahu memancing kembali wang tabung AP yang dicarum oleh mereka secara paksa-rela, isu-isu mengenai pengedar Proton dan juga vendor Proton memang ada kedengaran di belakang tabir. 

Mari kita cuba kaji isu ini dari perspektif perniagaan supaya kita dapat melihat Proton sebagai sebuah badan korporat  atau pengeluar automotif  – seperti mana sepatutnya sejak duhulu lagi.

 

 

Latarbelakang

Sejak awal-awal ditubuhkan, model perniagaan Proton sudah dipersoalkan. Antara yang menjadi persoalan ialah Proton hanya dibenarkan membuat kenderaan tetapi yang menjualnya ialah syarikat lain.

Apabila terbukti Proton tidak mendapat keuntungan yang mencukupi agar mereka mampu melakukan R&D sendiri, konsep itu ditukar dan Proton mendapat hak mutlak untuk menjual produk mereka.

DRB Hicom kemudiannya mengambil alih dengan membawa perubahan struktur pengurusan agar Proton boleh  mengubah persepsi dan pendekatan perniagaan. Walaupun ia tidak sempurna, tapi jelas Proton telah dapat diurus dengan lebih sempurna berbanding rejim terdahulu.

Namun begitu, dengan desakan pasaran terbuka, kerajaan telah mengubah dasar insentif agar ia lebih kompetitif dan mampu menarik lebih banyak pelaburan asing dan mewujudkan peluang pekerjan.

Insentif kini ditawarkan bukan hanya kepada syarikat-syarikat kenderaan tempatan, tetapi juga kepada syarikat luar. Keputusan ini telah menyebabkan pasaran Proton semakin merudum.

Antara Dasar Automotif Kebangsaan (NAP) adalah memberikan insentif kepada pembuat kereta bukan nasional, dengan syarat mereka melabur di Malaysia untuk jangka masa panjang, menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan dan segala penjimatan dari pengurangan duti serta cukai akan memberi faedah kepada rakyat Malaysia.

 

 

Apabila Tan Chong Motor mengambil peluang melalui strategi kerajaan ini, mereka berjaya menjual produk popular meraka, Almera di bawah paras harga RM70,000.  

Tan Chong memberikan apa yang dikehendaki oleh pasaran tempatan dan membuka peluang kepada rakyat Malaysia untuk kembali mampu memiliki kereta buatan luar.

Tindakan Tan Chong terus diikuti oleh jenama luar yang lain dan hasilnya mereka menikmati jualan yang laris walaupun Malaysia mengenakan standard homologasi dan keselamatan yang ketat berbanding negara-negara jiran.

Skim pembiayaan kenderaan yang mudah (jangka masa bayar-balik sehingga sembilan tahun, 90 peratus pinjaman dan faedah yang rendah) di Malaysia juga menjadi satu lagi sebab yang membantu oenjualan kenderaan. 

Liberarisasi pasaran yang diubah secara beransur-ansur ini adalah sejajar dengan pelan jangka panjang kerajaan demi perkembangan  automotif negara kerana jika tidak dilakukan, Malaysia akan jauh ketinggalan.

Walaupun dengan ekosistem yang lebih berdaya saing, jualan Proton terus menurun, malah lebih rendah dari sebilangan jenama bukan nasional.

Daripada  sebuah syarikat yang mampu mengeluarkan 200,000 unit kereta setahun pada awal milenium, kedua-dua kilang Proton yang memiliki tenaga kerja yang begitu ramai hanya mampu menjual 70,00 unit kereta setahun.  

Model perniagaan konvensional Proton sudah tidak lagi berdaya maju. Proton terpaksa melupakan fokus perancangan mengembangkan perniagan ke luar Malaysia kerana mereka lebih dahulu terpaksa berfikir bagaimana hendak terus hidup di dalam negaranya sendiri.

Sudah tentu para penjual kereta Proton berada dalam keaadan yang amat tertekan dengan prestasi jualan yang teruk itu. Ada yang terpaksa gulung tikar dan sebilangan yang lain pula terus cuba bertahan dengan segala upaya untuk terus hidup.

 

 

Dengan adanya rakan niaga baru, peluang untuk bangkit kembali cerah tetapi kita harus ingat beberapa perkara penting ini :

1. Geely telah mengeluarkan modal yang banyak untuk dapat menjadi rakan niaga Proton.

Oleh itu sudah tentu Gelly mahukan pulangan kepada pelabuaran itu. Geely adalah sebuah syarikat antarabangsa. Sekiranya anda tahu tentang falsafah MNC China, anda akan faham bahawa demi menempa kejayaan, mereka tidak memilih bulu.

Lihat sahaja bagaimana “orang luar – Mat Saleh” memimpin Volvo milik syarikat China sehingga ia mampu keluar dari kancah kejatuhan dan Mat Saleh itu terus kekal dalam Volvo. Tunjukkan kemampuan anda dan kepercayaan Geely akan diperolehi.

 

2. Dengan adanya  rakan niaga yang baharu, Proton tidak mendapat apa-apa kelebihan sebagai pengeluar kereta nasional.

Proton dilayan sama rata seperti syarikat syarikat kereta yang lain.  Dengan kata lain sekiranya ada pelaburan di dalam Malaysia, insentif akan lebih tinggi.

Pada masa ini , pembuat kereta asing seperti Honda, Toyota, Nissan, Mazda, Mercedes-Benz, BMW dan Volkswagen menikmati insentif yang tinggi kerana mereka membuat pelaburan yang banyak di Malaysia.

 

3. Pengedar Proton bukan terdiri dari Bumiputra sahaja.

Sebaliknya, ia melibatkan pelbagai bangsa.  Begitu juga halnya dengan pembeli. Sebarang perancangan pengembangan Proton oleh struktur Proton yang baharu akan memastikan tiada diskriminiasi kerana sekiranya wujud polisi perniagaan seperti  sebelum ini, maka tiada peningkatan akan dapat dilihat.

Berdasarkan itu, mari kita lihat isu yang berulangkali  diutarakan oleh sesetengah pihak.

 

 

Pengedar perlu naik-taraf jika mahu mendapat produk baharu Proton

Proton mahu pengedar mereka mengembangkan operasi dengan menaik tarif dewan pameran 1S untuk menjadi 3S atau 4S sekiranya mereka berminat untuk menjual produk produk baru Proton-Geely.

Menurut laporan Pekema, permintaan itu dikatakan tidak adil kerana tempoh naik-taraf yang diberikan adalah terlalu singkat. Kenyataan dari Proton pula ialah perancangan perkembangan itu bermula dari sekarang hingga tahun 2020.

Jika kita lakukan perbandingan dengan jenama-jenama lain yang sudah besar dan mempunyai pasaran yang kuat, apa yang diminta oleh Proton itu adalah satu permintaan yang memang selari dengan perkembangan dunia automotif di seluruh dunia.

Bagi mereka yang telah menjadi pengedar lebih dari 10 tahun, seharusnya mereka sedar bahawa konsep 1S sudah tidak lagi relevan bagi syarikat syarikat kereta di negara ini  sejak beberapa tahun lepas lagi. Kesemua jenama kereta mahu beralih ke konsep 3S atau 4S untuk pengedar mereka  kerana sejumlah besar keuntungan adalah dijana dari khidamat selepas jualan. 

Perodua juga sebenarnya turut mempunyai perancangan sama untuk para pengedar mereka, tetapi melihat kepada perkembangan sekarang sudah pasti Perodua akan mengambil sikap neutral dan memendam hasrat mereka.

Memang benar masih ada pusat pameran 1S yang dilakukan oleh jenama lain, tetapi jumlahnya semakin kecil dan kadar keuntungan yang diberikan juga adalah lebih rendah. 

Kita juga harus bersikap adil. Memandangkan Proton ialah syarikat kenderaan nasional yang pertama, fungsi kewujudannya juga ialah untuk membuktikan kepada rakyat akan kebolehan negara.

Kerana itu, Proton sejak dari awal lagi mempunyai banyak dewan pameran 1S yang diletakkan di segala ceruk rantau kampung dan pekan agar rakyat mudah untuk melihat dan memiliki produk negara itu. 

Seadilnya memang agak tidak munasabah untuk pengedar 1S di pekan kecil untuk bersaing dengan pengedar yang berda di bandaraya kerana perbezaan pasaran yang terlalu besar. 

Kerana itu Proton membenarkan pengedar yang belum mampu untuk melabur itu untuk masih boleh menjual produk baharu Proton. Caranya ialah mereka mengambil stok dari pengedar-pengedar Proton besar yang berdekatan.

Ia adalah satu keputusan perniagaan yang wajar kerana Proton perlu menarik pengedar untuk melabur dengan pihak syarikat. Imbuhan mereka yang melaburkan jutaan RM tentunya perlu lebih menarik dari insentif untuk mereka yang membuat pelaburan yang rendah.

Apa yang Proton lakukan adalah sejajar dengan apa yang dilakukan oleh syarikat  automotif global yang lain dan kebanyakan pengedar sudah mempunyai pengalaman cukup lama untuk menyedari akan fakta itu.

Tindakan untuk mengurangkan pusat 1S juga adalah baik dalam usaha Proton untuk mengawal kualiti dan imej mereka. Senario masuk ke dewan pameran Proton tetapi keluar dengan pembelian kenderaan dari jenama lain bukanlah sesuatu yang baharu. Pemilik perniagaan pusat 1S juga mempunyai ramai pemilik yang tidak begitu serius dan tidak pernah mahu untuk mengembangkan perniagaan.

Untuk bangkit, Proton mahukan komitmen yang lebih serius. 

Jika mahukan perniagaan yang tidak begitu mementingkan khidmat selepas jualan, mereka boleh memohon untuk mendapatkan AP kenderaan import terpakai kerana anda boleh menjual pakej waranti dari syarikat insurans dan tidak perlu kisah mengenai sebarang isu panggil-semula atau recall. 

 

Proton mengurangan kadar keuntungan untuk pengedar

Kenyataan itu turut melaporkan yang Proton mengurangkan margin keuntungan dan itu menyukarkan para pengedar untuk meneruskan perniagaan mereka.

Menurut sumber kami, Proton memberikan margin sebanyak empat peratus kepada pengedar yang menjual lebih daripada 40 unit kenderaan sebulan. Laporan Pekema menyatakan pengedar kecil  biasanya menjual 20 hingga 30 unit sebulan sahaja.

Ini bermakna secara teknikal, pengedar-pengedar itu tidak layak untuk mendapat margin empat peratus tersebut.

Bagaimanapun, difahamkan Proton memutuskan untuk mengubah skim tersebut dan menurunkan ambang margin bagi membantu pengedar-pengedar itu. Harus diingat, bantuan ini akan memberi kesan kepada pendapatan Proton juga.

Produk Proton sudah semakin baik dan tahap pembuatan peralatan juga semakin tinggi.  Pastinya, ia melibatkan kos yang tinggi untuk Proton menghasilkan kereta sebegini.

Mungkin laporan ini terlupa untuk menyatakan bahawa Proton menawarkan Bayaran Selepas Pendaftaran (Payment After Registration - PAR) untuk pengedar-pengedar Bumiputra.  

Ini bukan amalan standard industri dan jelas ia ditawarkan bagi membantu pengedar-pengedar tersebut untuk dapat bertapak dengan lebih kukuh. Ia tidak boleh dianggap sebagai satu penyelesaian kekal dan seperti insentif yang lain, ia ada had masa.

Sekiranya ada yang berpendapat bantuan ini seharusnya kekal kerana ia adalah "hak" mereka, sememangnya bidang perniagaan bukan untuk mereka ini.

 
Ramai yang terlupa bahawa Proton perlu membayar balik pinjaman mereka kepada kerajaan. Proton juga  memiliki seramai 9,000 orang kakitangan. 

Adakah wajar untuk mengorbankan mereka semata mata kerana mahu menyelamatkan segelintir Bumiputra? 

Careta ialah sebuah syarikat seratus peratus milikan Bumiputra. Kami bersaing dengan penerbitan Bahasa Malaysia lain yang dimiliki oleh bukan Bumiputra. 

Adakah pernah kami meminta sebarang bantuan istimewa untuk terus wujud?  Malah, sebenarnya, agensi kerajaan langsung tidak pernah mengiktiraf industri penerbitan sebagai sebuah industri penting pun. Cuma bila dapat "bad press", barulah terkial-kial. 
 

 

Penurunan kos 30 peratus untuk vendor komponen?

Dilaporkan juga bahawa Proton meminta para vendor untuk menurunkan harga komponen sehingga 30 peratus.

Sebilangan vendor akur dengan permintaan tersebut kerana yakin ramalan jualan akan dapat mengatasi kerugian manakala segelintir lagi yang telah berada dalam keadaan genting kerana penurunan penjualan Proton akan merasakan permintaan ini tidak munasabah.

Samada kita suka atau tidak , ini merupakan isu yang nyata.  Di arena pembuatan global, jumlah atau volume merupakan faktor penting dalam menentukan harga alat ganti. Vendor memang berhak untuk merasa was-was  berkaitan dengan langkah terbaharu Proton ini.  

Mereka telah mengalaminya sebelum ini dan telah juga menerima akibatnya. Mereka juga kurang mendapat tunjuk ajar bagaimana hendak menurunkan kos dan meningkatkan kualiti produk mereka.

Namun begitu vendor dan pihak kerajaan harus ingat bahawa penyebab utama kita memiliki pembuat komponen automatif bertaraf global di Malaysia ini adalah Proton.

Sekiranya ada vendor mendakwa penurunan harga 30 peratus itu sukar dicapai, maka Proton dan agensi kerajaan harus melihat perkara ini secara mikro dan bantuan diberikan kepada mereka yang benar-benar serius tanpa mengira kaum.

Ada juga yang berpendapat bahawa langkah ini merupakan helah Geely untuk membawa masuk komponen dari China atau rakan niaga mereka untuk memulakan perniagaan di Malaysia.

Ini tidak benar. Jika komponen diimport, maka insentif cukai akan berkurangan dan harga kenderaan akan meningkat.

Namun seharusnya kita sedar tentang fungsi dan peranan yang dipegang oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industr (MITI)  dan Institut Automotif Malaysia (MAI) selaku agensi- agensi yang memantau industi ini.

Perlu diingat bahawa bukan mudah untuk mana-mana pihak asing untuk datang membuka kilang pengeluaran alat ganti di Malaysia. Kami diberitahu sekiranya telah ada beberapa syarikat pengilangan yang menghasilkan produk yang sama,  maka MITI dan MAI tidak akan membenarkan lagi syarikat asing untuk masuk.

Persaingan adalah sesuatu yang positif tetapi kerajaan memang tidak akan membiarkan syarikat yang sudah sedia ada untuk merudum jatuh.

MAI sebagai contoh memiliki pangkalan data pembuat dan syarikat alat ganti di Malaysia. Ia umpama buku senarai  (Yellow Pages) untuk industri automotif dan jangan terkejut jika diberitahu bahawa Malaysia memiliki banyak syarikat kejuruteraan moden dan kemudahan fasiliti untuk menghasilkan komponen kenderaan bagi jenama-jenama terkemuka seperti Audi, BMW, Mercedes-Benz, Ferrari, Harley-Davidson, Ducati dan lain-lain.

 

 

Kesimpulan

Sekiranya kita mahukan Proton berjaya, maka kita harus melihat dan menganggap Proton sebagai sebuah syarikat global. 

Bantuan yang diberikan kepada Proton harus sejajar dengan bantuan yang diberikan kepada syarikat yang lain agar Proton lebih berdaya saing.

Begitu juga sebaliknya di mana Proton boleh memberi bantuan tetapi hanya kepada mereka yang benar-benar serius dan layak. 

Bantuan juga tidak boleh bersifat kekal kerana antara tujuan Proton ialah untuk membimbing syarikat baharu. Jika sudah lebih 20 tahun berniaga, itu bukan syarikat baharu. Hendak masuk Pemuda pun ada had umur maksimum.

Sesuatu yang amat menjelikkan bagi Bumiputera alaf baru ialah sekiranya ada yang mencetuskan “hingaq” dan menjatuhkan imej jutaan Bumiputera yang lain.

“Kami sentiasa berdaya saing. Kami bekerja keras untuk berada di tahap kami berada sekarang. Jika wira wira Bumiputera ini ingin membantu, sila berhenti memperlekehkan Bumiputra seolah-olah ia adalah satu bangsa yang suka mengeluh dan perlukan subsidi selama-lamanya, “ kata seorang usahawan Bumiputera apabila ditanya tentang isu Proton – Bumiputera ini.

Dunia sudah berubah. Jika kita sudah tidak mampu menari bersama, maka tarik kerusi dan duduk di tepi. 

Biarkan darah muda bangkit untuk mengganti.

*Versi asal ialah di dalam Bahasa Inggeri. SIla baca artikel tersebut di pautan ini. 

http://careta.my/article/proton-lets-focus-on-the-real-thing

 

Berita Berkenaan

Hezeri Samsuri
Ini sudah mula dirasakan oleh Eropah di mana Kesatuan Eropah (EU) mula mempersoalkan harga-harga…
Berita Domestik
Dalam usaha pengembangan keupayaan pemasangan cermin gelap sendiri, kemudahan baharu itu mampu…
Berita Domestik
Pengadaptasian tenaga hijau tersebut yang telah dilancarkan dua tahun lalu telah membolehkan PROTON…