Dalam masa yang sama, ia juga turut meraikan penyertaan jentera 911 GT3 Cup di Porsche Carrera Cup Asia yang akan berlangsung di Sepang pada hujung minggu ini.
Porsche 911 membawakan rekaan profil perlumbaan yang ikonik, serba moden dan tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas.
Rekaan papan pemuka menampilkan kombinasi harmoni elemen tradisional dan teknologi terkini seperti meter rev analog yang diapit dengan dua skrin paparan bersaiz 7 inci yang memberikan maklumat pemanduan semasa.
Di bahagian tengah pula terdapat skrin infotainmen bersaiz 10.9 inci Porsche Communication Management yang mampu dioperasikan dengan cepat dan tanpa gangguan.
Enjin flat-six turbo generasi baharu yang telah ditambah baik dan kini mampu menjana tambahan 30 kuasa kuda dan 30 Nm lebih berbanding enjin terdahulu, terima kasih kepada penggunaan sistem suntikan, pengecas turbo dan sistem penyejukan charge air.
Ini bermakna, Porsche 911 kini mampu menghamburkan kuasa setinggi 450 hp @ 6,500 rpm dan daya kilas 530 Nm yang masuk penuh pada putaran enjin 2,300-5,000 rpm.
Kuasa tersebut disalurkan kepada roda menerusi transmisi klac berkembar PDK lapan nisbah kelajuan, dengan masa pecutan 0-100 km/j dalam masa 3.7 saat (3.6 saat untuk model Carrera 4S).
Kelajuan tertinggi bagi Porsche 911 Carrera S dan Porsche 911 Carrera 4S pula dicatatkan pada 308 km/j dan 306 km/j, manakala bacaan penggunaan bahan api pula mampu mencapai serendah 8.9 liter untuk setiap 100 km.
Harga jualan adalah seperti berikut:
Porsche 911 Carrera S: RM1,150,000.00
Porsche 911 Carrera 4S: RM1,220,000.00