Polisi kereta lama - tak mungkin berlaku sekarang

oleh HEZERI SAMSURI|
Kawasaki Legend Reborn

Desas-desus polisi End Of Live Vehicle atau Usia Lupus Kenderaan (ELV) timbul kembali apabila Menteri Pengangkutan sekali lagi menaikkan isu itu bulan Oktober lalu.

Sebelum itu, Menteri di Kementerian Perdanganan dan Industri Antarabangsa, Datuk Seri Mustapa Mohamed pernah berkata dalam tahun 2009 bahawa polisi ini belum boleh dilakukan kerana rakyat tidak bersedia.

Akibat dari desas-desus ini, informasi yang sebenar tidak banyak dikongsi oleh laman web berbahasa Malaysia dan dari kajian komen-komen netizen, ramai sebenarnya tidak begitu faham akan polisi ELV ini.

Ramai berfikiran kereta-kereta lama akan terus diharamkan dari penggunaan, dan ramai yang enggan atau tidak faham kenapa ia dilakukan selain dari "sengaja mahu menyusahkan rakyat".

Di sini, Careta cuba ringkaskan apa itu ELV dan senaraikan kebaikan dan keburukannya serta masalah-masalah yang akan dihadapi.
 

 

  • ELV ialah satu polisi yang dilakukan di kebanyakan negara maju. Jepun contohnya mempunyai polisi yang sangat ketat, dan untuk menyimpan kenderaan lama, kosnya sangat tinggi.
  • Negara maju mengamalkan polisi ELV untuk mengawal pencemaran udara. Kenderaan lama tidak mengikut piawaian asap terkini dan jika masih banyak berada di atas jalanraya, ia tidak membantu negara itu untuk mencapai objektif sebuah negara yang bersih. 
  • Negara maju juga menggunakan alasan kadar keselamatan kenderaan. Kenderaan lama mempunyai ciri-ciri keselamatan yang lebih rendah. Negara maju mahukan hanya kenderaan yang mempunyai ciri-ciri keselamatan terkini sahaja untuk berada di atas jalanraya.
  • Negara maju mahu mempromosikan penjualan kenderaan baharu agar industri automotif dan industri sokongan akan terus berkembang maju.
  • Negara maju mempunyai insentif untuk membantu rakyat mereka melupuskan kenderaan-kenderaan lama. Antaranya, mereka dibayar jika kenderaan itu dilupuskan. Harga bergantung kepada jenis dan usia kenderaan itu.
  • Negara maju TIDAK menghalang penggunaan kenderaan lama, selagi ia diuji keselamatannya setiap tahun dan mempunyai polisi insurans (seringnya, lebih tua kenderaan itu, lebih mahal premium insuransnya kerana risiko lebih tinggi).

 

  • Bagi ELV di Malaysia, pihak kerajaan pada asasnya mahukan kenderaan lama yang hendak digunakan di atas jalanraya selamat bagi kepentingan pengguna lain.
  • Menurut Maybank Investment Bank Research, lebih kurang suku dari 13.3 juta kenderaan persendirian di atas jalanraya ialah kenderaan yang berusia lebih dari 10 tahun.
  • Oleh itu, cadangan asal ialah untuk meminta kenderaan yang berusia lebih dari 10 tahun diperiksa setiap 12 bulan bagi mendapat kelulusan. 
  • Ini bakal menimbulkan masalah kerana pusat pemeriksaan yang berdaftar dengan kerajaan hanyalah milik Puspakom dan Puspakom hanya mempunyai 55 pusat pemeriksaan berkomputer di seluruh negara. Jumlah itu sangat kecil.
  • Masyarakat di Malaysia juga tidak begitu arif akan aspek keselamatan pada kenderaan lama, dan konsep pencemaran udara juga adalah sesuatu yang dipandang remeh, seperti isu duit kopi yang pada sesetengah antara kita, bukan satu kesalahan dan bukan dosa besar.

 

  • Masalah yang juga dihadapi oleh kerajaan Malaysia ialah penjualan kenderaan baharu yang nampaknya dilihat sudah mencapai titik tepu. Oleh itu, sesuatu perlu dilakukan agar jualan kenderaan baharu meningkat.
  • Pasaran kenderaan di Malaysia pula sudah lama dibiasakan dengan pinjaman yang mudah dah panjang. Pinjaman kenderaan selama sembilan tahun (antara paling lama di dunia) dengan kadar faedah yang rendah (paling rendah di Asean) menjadikan ramai membeli kenderaan yang sebenarnya tidak mampu untuk mereka. Di negara Asean yang lain, hanya yang benar-benar mampu akan membeli kenderaan.
  • Pinjaman lebih mudah, murah dan panjang pula lebih kepada kenderaan baharu, dan bukan kenderaan terpakai. 
  • Namun begitu, kenderaan sudah menjadi keperluan untuk ramai rakyat Malaysia. Pengangkutan awam hanya bertumpu kepada bandar-bandar besar. Bayangkan jika sebuah keluarga mempunyai empat orang anak yang bersekolah dan semua menaiki bas sekolah. Berapakah bayaran untuk bas sekolah sahaja sebulan?


  •  

 

  • Malaysia juga tidak ada pilihan kenderaan awam yang murah seperti tuk-tuk di Thailand, bajaj, angkut dan becak di Indonesia atau jeepnie di Filipina. Di Malaysia, bas ialah yang paling murah tetapi ia tidak ada di semua kawasan. Prebet sapu ialah pilihan selepas bas tetapi ia tidak dikawal dan tidak mempunyai perlindungan insurans yang lengkap.
  • Ramai penduduk luar bandar menggunakan kenderaan yang sudah berusia lebih 10 tahun. Perlu disediakan pusat pemeriksaan kenderaan di kawasan itu agar mereka masih boleh menggunakan kenderaan berusia.
  • Industri insuran yang telah diliberalisasikan ini juga akan memainkan peranan yang penting. Kenderaan berusia yang mempunyai tahap keselamatan yang rendah bakal dikenakan premium yang lebih tinggi kerana risiko yang lebih besar. Ini normal untuk mana-mana negara maju.

 

  • Beberapa tahun lalu, skim scrapping atau menjual kenderaan lama untuk mendapat rebat RM5,000 membeli Perodua atau Proton baharu telah pernah dilakukan. Sayangnya ia diberhentikan kerana kenderaan lusuh terkumpul tidak dapat diproses menjadi besi buruk dan skim itu sudah kehabisan punca kewangan.
  • Pihak kerajaan juga dirasakan belum bersedia untuk memberikan rebat atau bayaran untuk mereka yang mahu melupuskan kenderaan mereka. Malah, tempat pelupusan kenderaan juga belum benar-benar diwujudkan.
  • Pendek kata, Careta yakin pihak kerajaan tidak mampu memulakan ELV ini dalam masa setahun dua lagi. Ada banyak yang perlu dilakukan dan disediakan dan selagi pengangkutan awam yang lebih baik dan murah tersedia di seluruh negara, sukar untuk ELV ini dijalankan. 
  • Dan jika Pak Menteri masih perlu memulakan ELV ini, mungkin pihak kementerian boleh mulakan dengan lori-lori pengangkutan dahulu, terutamanya lori-lori recond dan rebuilt.

Add new comment

banner articles