Polis saman geng kereta mewah konvoi halang trafik Jambatan Kedua Pulau Pinang

oleh Penyumbang Rencana|
tangkap layar dari tiktok
Kesemua pemandu kereta mewah yang didakwa memandu perlahan dan menghalang lalu lintas di atas Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah (JSAHMS) atau jambatan kedua Pulau Pinang seperti yang tular dalam satu rakaman video sejak Jumaat telah disaman.


Perkara itu disahkan oleh Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Deputi Superintenden Mohd. Norazmi Abd. Ghapar dalam kenyataan di Batu Kawan pada Ahad.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

 

Terdahulu, katanya, rakaman video berdurasi kira-kira dua minit dan 50 saat itu telah dimuat naik ke dalam akaun Tik Tok milik seorang pengguna atas nama ‘panglimaperang’ kira-kira pukul 9 malam kelmarin.

Beliau berkata, rakaman itu menunjukkan deretan kereta mewah dipandu secara perlahan dan menghalang lalu lintas seperti yang didakwa.

“Siasatan lanjut mendapati, kejadian berlaku pada 9 Jun (Jumaat) kira-kira pukul 12.30 tengah hari bermula dari KM (Kilometer) 3.8 dari arah Batu Kawan sehingga KM9.0 arah ke Batu Maung.

“Polis mengesahkan telah menerima laporan mengenai kejadian tersebut dan kertas siasatan juga telah dibuka di bawah Kaedah Lalu Lintas 1959 iaitu Kaedah 16 (1) LN 167/59 kerana melakukan halangan lalu lintas,” katanya.

Bagaimanapun, kata Mohd. Norazmi, kira-kira pukul 12.10 tengah malam Sabtu, kesemua pemandu berkenaan telah hadir ke ibu pejabat polis daerah (IPD) SPS untuk memberikan keterangan dan telah dikenakan saman.

“Dalam hal ini, polis sama sekali tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melakukan kesalahan lalu lintas.

“Masyarakat juga diminta supaya sentiasa mematuhi peraturan jalan raya dan melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya terdapat mana-mana pihak yang melakukan kesalahan lalu lintas di atas jalan raya,” ujar beliau. 

 

Utusan Malaysia