Polis nafi pukul pesalah trafik dalam op samseng

oleh Hamimah Hamid|
POLIS menafikan dakwaan seorang lelaki dipukul dan dikasari oleh anggota nya dalam Op Samseng Jalanan di Jalan Jelapang, Ipoh seperti yang tular dalam media sosial, Twitter.

Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Yahaya Hassan berkata, dakwaan itu tidak benar dan sengaja disensasikan bagi memberi imej tidak baik kepada pasukan polis.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Menurutnya, dalam kejadian itu lelaki berusia 23 tahun terbabit ditahan selepas pemeriksaan mendapati melakukan kesalahan menunggang motosikal tanpa lesen.

 

"Bapa lelaki itu pada mulanya menunjukkan rasa tidak puas hati terhadap penguatkuasaan polis ke atas anaknya. 

 

"Bagaimanapun, keadaan dapat dikawal dan bapa lelaki terbabit meminta maaf sebelum diberikan amaran polis," katanya. 

 

Yahaya berkata, polis telah mengeluarkan lima saman terhadap lelaki terbabit antaranya atas kesalahan tiada nombor pendaftaran motosikal, tiada cermin sisi, ubah suai ekzos dan aksesori tidak sempurna.

 

Tegas beliau, ibu bapa perlu sentiasa memantau pergerakan anak-anak supaya tidak terlibat dalam aktiviti yang menggugat keselamatan pengguna jalan raya.

 

"Pemilik kenderaan juga diingatkan untuk tidak membenarkan orang lain menggunakan kenderaan tanpa lesen, ini juga satu kesalahan yang boleh dikenakan hukuman di bawah Akta Pengangkutan Jalan," katanya.

 

Video berdurasi 1 minit 22 saat yang tular di TikTok itu memaparkan orang ramai mengerumuni lokasi pemeriksaan operasi samseng.

 

Komen di video terbabit mendakwa polis telah memukul pesalah trafik yang ditahan sehingga menimbulkan rasa marah dan tidak puas hati bapa pesalah terbabit.

 

Dalam operasi bermula jam 3 pagi hingga 6 pagi itu, sebanyak 30 saman trafik telah dikeluarkan hasil pemeriksaan ke atas 27 motosikal dan 32 individu.

 

Sebuah motosikal telah disita manakala seorang remaja berusia 19 tahun warga Thailand ditahan kerana menunggang motosikal secara melulu.