Polis diseret kereta suspek samun ketika buat penahanan

oleh Hamimah Hamid|
SEORANG anggota polis diseret ketika cuba menahan kereta dipandu penjenayah yang dipercayai terbabit kes samun bersenjata di Masjid Labu Kubong, Teluk Intan.

Kejadian berlaku ketika anggota berkenaan mendekati Perodua Myvi dinaiki dua suspek berusia 28 dan 31 tahun, yang diekori dari Ipoh selepas menerima maklumat kejadian samun bersenjatakan parang.
AION MREC Banner Campaign May 2024

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, ACP Ahmad Adnan Basri berkata, ketika proses tangkapan suspek tiba-tiba membuat pusingan U dan mengundurkan kereta hingga melanggar kenderaan polis, menyebabkan dua anggota keluar daripada kenderaan.

 

"Seorang anggota cuba membuka pintu belakang kereta suspek untuk menahan lelaki yang duduk di tempat duduk belakang.

 

"Bagaimanapun, suspek yang memandu bertindak mengundur kereta secara berbahaya hingga menyeret anggota, menyebabkan tembakan dilepaskan ke arah cermin hadapan kereta itu untuk mempertahankan diri dan suspek luka di bahu kanan terkena tembakan" katanya.

 

Ahmad Adnan berkata, suspek terus memandu secara mengundur sebelum dihalang sebuah kenderaan lain dan ketika itu polis berjaya menahan suspek yang duduk di tempat duduk belakang.

 

Suspek yang memandu kereta sempat melarikan diri dari lokasi, tetapi dia akhirnya berjaya diberkas oleh pasukan polis di Kampung Rapat Ipoh," katanya.

 

Ahmad Adnan berkata, semakan mendapati suspek yang memandu kereta mempunyai 24 rekod kesalahan lampau, manakala seorang lagi suspek ada 11 rekod.

 

Katanya, polis menemui peket disyaki berisi dadah jenis heroin serta peralatan yang dipercayai digunakan untuk menyamun.

 

"Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 39 Akta Senjata 1960," katanya.