Polis buru pemandu Wira langgar kenderaan JPJ

oleh Penyumbang Rencana|
Tindakan seorang pemandu kereta Wira bertindak melanggar kenderaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebelum melarikan diri membawa padah apabila diburu susulan kejadian di Jalan Klang-Banting itu pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Ahmad Ridhwan Mohd Nor@Saleh berkata, laporan berkaitan kejadian dibuat oleh anggota JPJ yang bertugas.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

"Siasatan dijalankan mendapati kejadian kira-kira jam 12.45 tengah hari itu berlaku ketika anggota berkenaan terserempak dengan sebuah kereta jenis Proton Wira yang dipandu suspek dalam keadaan mencurigakan.

"Anggota terbabit kemudiannya menyalakan lampu beacon serta mengarahkan kereta itu berhenti, namun suspek tidak mengendahkan arahan itu dan terus memecut melarikan diri," katanya menerusi kenyataan di Sinar Harian pada Selasa.

Katanya, anggota JPJ berkenaan kemudian terus mengejar kereta tersebut sebelum berhenti kerana kesesakan lalu lintas.

"Suspek kemudian bertindak mengundurkan kenderaannya sehingga melanggar kenderaan JPJ serta dua buah kenderaan orang awam sebelum melarikan diri sekali lagi.

"Bagaimanapun, kenderaan suspek itu berhenti di hadapan sebuah sekolah di kawasan Telok Panglima Garang akibat masalah enjin," katanya.

Menurutnya, suspek kemudiannya bertindak meloloskan diri menerusi pintu sebelah penumpang hadapan.

"Anggota JPJ yang bertugas bagaimanapun tidak sempat memberkas suspek yang dipercayai melarikan diri ke kawasan perumahan berhampiran.

"Siasatan berhubung kejadian dijalankan bawah Seksyen 188 Kanun Keseksaan," katanya.

Ahmad Ridhwan menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian yang boleh mengganggu siasatan.

"Mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil ke mana-mana balai polis berhampiran.

"Sebarang maklumat lanjut boleh juga disalurkan dengan menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat di talian 03-31872222," katanya.

 

Berita Berkenaan

Informasi
“Buat masa ini kes masih dalam siasatan. “Dan setakat ini masih belum ada tangkapan dan maklumat…
Berita Domestik
"MPV SL 63 menghampiri dua lelaki tersebut dan mengarahkan untuk menghentikan motosikal yang…
Berita Domestik
“Hasil siasatan polis mendapati sebuah lori treler membawa muatan besi yang dalam perjalanan dari…