Menurut Homendy, siasatan NTSB juga akan menyelidik maklumat berkaitan pengeluaran, pengangkutan, pemasangan serta pemeriksaan kualiti sepanjang proses itu.
"Buat masa ini, kami tidak mempunyai petunjuk di mana dalam proses ini ia terjadi. Ia (kesilapan) boleh berlaku di mana sahaja sepanjang proses dan kami tidak hanya menumpukan pada pengeluaran," katanya.
Minggu lalu, portal berita Oregon Public Broadcasting (OPB) melaporkan, seorang guru sekolah di Portland menemui pintu pesawat yang tercabut di halaman belakang rumahnya.
OPB melaporkan bahawa Bob Sauer turut melihat nombor siri pintu dan maklumat pengeluaran lain, seperti 'Made in Malaysia' yang kelihatan ditulis dengan tangan menggunakan pen dakwat kekal.
Pada Khamis, empat penumpang menyaman Alaska Airlines dan Boeing kerana pengalaman ngeri yang mereka alami selepas palam pintu terputus semasa dalam penerbangan, lapor ABC News.
Palam pintu untuk fiuslaj Boeing 737 Max 9 tertanggal beberapa minit selepas penerbangan 1282 Alaska Airlines berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Portland pada 5 Januari.
Bagaimanapun, tiada penumpang yang mengalami kecederaan parah dan pesawat itu melakukan pendaratan cemas dengan selamat.