Petronas Carigali umum enam penemuan minyak dan gas di Sarawak

oleh Penyumbang Rencana|
gambar hiasan
Petronas Carigali Sdn Bhd, unit milik penuh Petroliam Nasional Bhd (Petronas) pada Isnin mengumumkan kejayaan mencatat enam penemuan minyak dan gas (O&G) di lima blok di kawasan luar pantai Sarawak.

Penemuan itu merangkumi masing-masing telaga Gedombak di Blok SK306 dan telaga Mirdanga di Blok SK411 di wilayah Balingian; telaga Sinsing di Blok SK313, telaga Machinchang dan Pangkin di Blok SK301B serta telaga Kalung Emas di Blok SK315 di wilayah Luconia Barat.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

"Kesemua enam penemuan itu adalah daripada kelompok medan minyak baharu serta sedia ada yang mempamerkan tahap bahan cemar yang rendah," kata syarikat minyak nasional itu dalam satu kenyataan.

Menurut Petronas, penemuan terbabit adalah menerusi usaha cari gali domestik secara intensif yang dijalankan pada akhir 2022 yang turut membawa kepada penemuan Nahara-1 di Blok SK306.

Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Huluan Petronas Datuk Adif Zulkifli berkata kejayaan itu juga membuktikan potensi lembangan Malaysia yang masih belum diterokai dan menunggu masa untuk ditemui oleh syarikat yang bersedia menggunapakai kaedah baharu serta inovatif.

"Kami berharap ini akan menjadi pendorong bagi menarik lebih banyak syarikat untuk menyertai serta melabur dalam sektor huluan Malaysia, terutama di peringkat eksplorasi," katanya.

- Syabas dan tahniah Petronas -

 

 

Bernama