Perodua mahu perkenal kereta hibrid paling murah di Malaysia

oleh Mohamad Hanif|
Siang tadi (08/02/2023) Perodua telah menjemput para pengamal media permotoran untuk melihat sendiri rupa sebenar Perodua Axia 2023 di Hotel Movenpick, Sepang.

MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Semasa sesi sidang media berlangsung, CEO Perodua Dato' Sri Zainal Abidin Ahmad ada berkongsi beberapa info menarik berkenaan Axia 2023.

Salah satu daripadanya ialah penggunaan platform moden DNGA (Daihatsu New Global Architecture) sebagai satu langkah Perodua menuju ke arah elektrifikasi.

Biarpun tidak mengulas lanjut, Zainal mengakui platform yang digunakan oleh Axia ini berkeupayaan untuk menerima trenkuasa hibrid.

Untuk makluman, platform DNGA ini turut digunakan oleh model Daihatsu Rocky, dan versi hibrid Daihatsu Rocky e-Smart Hybrid dilancarkan secara rasmi di Jepun pada tahun 2021, sebelum ia dibawa masuk ke pasaran Malaysia menggunakan nama Ativa Hybrid.
 

Ativa


Selain daripada itu, Perodua juga kini sedang mengkaji julat harga yang bersesuaian sekiranya sudah tiba masa untuk mereka memperkenalkan model hibrid kelak.

"Dari segi harga, kami perlu membuat kajian terlebih dahulu, dan jika kami akan memperkenalkan model hibrid pada masa akan datang, sasaran kami ia akan menjadi model hibrid yang paling murah di Malaysia," jelasnya lagi.

Buat masa ini, Perodua Ativa Hybrid hanya boleh didapati menerusi program langganan di mana ia terhad kepada 300 orang pelanggan terpilih sahaja.

Hasil daripada keberkesanan program ini akan menjadi batu loncatan untuk Perodua melancarkan program langganan yang lebih menyeluruh pada masa akan datang.