Permohonan lanjut reman tiga anggota trafik minta RM100 ditolak

oleh Hamimah Hamid|
MAHKAMAH Majistret Ipoh hari ini menolak permohonan sambung reman tiga anggota polis yang ditahan berhubung kejadian meminta wang RM100 daripada pasangan pelancong warga United Kingdom (UK) bagi menyelesaikan saman kesalahan trafik, baru-baru ini.

Majistret Siti Nora Sharif membuat keputusan itu terhadap tiga-tiga anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak yang berusia antara 37 hingga 42 tahun.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Ketiga-tiga anggota trafik itu ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan, Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988.

 

Terdahulu, ketiga-tiga suspek tiba di mahkamah pada jam 1.18 tengah hari dan keluar kira-kira 40 minit kemudian.

 

Kesemua mereka yang ditahan tiga hari sejak Selasa lalu tiba dalam keadaan bergari selain mengenakan pakaian gelap, bertutup kepala dan memakai pelitup muka.

 

Sementara itu, Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri memaklumkan kesemua anggota terbabit dilepaskan dengan jaminan polis.

 

Media sebelum ini melaporkan tiga anggota trafik terbabit telah ditahan bagi membantu siasatan dan direman selama tiga hari bermula Selasa lalu sehingga Khamis.

 

Rakaman video berdurasi 50 saat tular memaparkan pasangan warga UK terbabit disaman oleh anggota polis trafik akibat kesalahan memandu laju.

 

Pasangan pelancong terbabit yang dikenali sebagai ‘UK Van Lifers’ telah ditahan disyaki di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands.