Penyerap hentak: Ori, Aftermarket, atau Custom?

oleh Mohamad Hanif|
Antara komponen sistem gantungan yang memerlukan penggantian ialah penyerap hentak atau "shock absorbers" atau "damper".
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Ini ialah kerana seperti bilah pengelap cermin, tayar atau bateri, ia mempunyai jangka hayat dan perlu digantikan bila tiba masanya.

Secara dasar kita ada tiga pilihan. Di bawah ialah informasi yang anda boleh gunakan bila mahu membuat keputusan di antara ketiga-tiga pilihan tersebut:

 

1. Penyerap hentak asli

sumber: Wapcar


Penyerap hentak asli termasuk jenis OE yang dibuat oleh syarikat komponen kenderaan khusus untuk model kenderaan tersebut.

Ia datang dengan waranti dan yang paling penting, ia mengikut spesifikasi asal seperti kenderaan itu ketika baharu dibeli.

Ia juga melalui ujian-ujian kualiti dari pengeluar sendiri, bermakna kita tahu berapa lama ia akan tahan.

Jika anda mahukan talaan sistem gantungan seperti yang asal, ini adalah contoh terbaik.
 

2. Penyerap hentak "aftermarket"


Seperti komponen aftermarket yang lain, ia memberikan talaan yang berbeza dari komponen asal.

Dalam hal ini, penyerap hentak aftermarket selalunya menjanjikan pengendalian yang lebih sporty dan sedikit keras.

Jika ia datang dari jenama-jenama terkenal, ia sudah melalui ujian-ujian yang sepatutnya dan diberikan tempoh waranti yang baik (setahun atau 20,000 km contohnya).

Untuk anda yang merasakan sistem gantungan asal terlalu lembut dan bergoyang dan tidak sesuai dengan cara pemanduan dan penggunaan anda, ini adalah pilihan yang baik.

Oleh kerana ia tidak boleh diubah-laras, adalah lebih baik untuk bertanya dengan mereka yang sudah menggunakan komponen tersebut.

Masuk ke forum-forum online atau kumpulan Whatsapp pemilik untuk bertanyakan tentang prestasi pengendalian bila menggunakan penyerap hentak dengan jenama-jenama yang anda berminat.


3. Penyerap hentak "custom"

gambar hiasan: Fawster


Ini ialah untuk mereka yang lebih "cerewet" mengenai pengendalian dan tahu apa yang mereka mahukan.

Penyerap hentak custom boleh datang dalam bentuk baharu dan boleh dilaras (adjustable), atau dalam bentuk penyerap hentak terpakai yang diubah mengikut spesifikasi anda sendiri.

Penyerap hentak adjustable memang paling baik, cuma perlu diingatkan bahawa kedai yang memasang komponen itu perlu menjadi pakar sistem gantungan.

Semua orang mampu memasangnya tetapi penalaan memerlukan ilmu. Penyerap hentak adjustable juga perlu diservis bila sampai waktunya dan tahan lebih lama kerana ia boleh dileraikan dan hanya komponen-komponen yang perlu sahaja akan diganti.

 


Penyerap hentak terpakai yang diubahsuai adalah satu teknik terkini di mana gas, injap pada shim dan gegelang getah-getah boleh ditukar mengikut spesifikasi yang kita perlukan.

Secara ringkas, hanya tiub dan komponen besar pada penyerap hentak itu yang digunakan kembali, sementara komponen lain digantikan. Ini juga memerlukan masa kerana pemasang perlu tahu apakah keperluan anda. Ada juga bengkel yang sudah arif dengan kehendak pelanggan untuk model kenderaan anda dan ini akan membantu memudahkan kerja dan menurunkan kos.

Sebelum anda membuat keputusan, fikirkan apa keperluan anda. Ini sangat penting, terutama untuk pilihan ketiga kerana bengkel perlu tahu apa yang kurang, dan apa yang lebih.

Kekalahan pelumba kereta dan motosikal boleh diakibatkan oleh salah faham antara pelumba dan mekanik. Sama juga kesnya di sini.

Kami juga tidak masukkan penyerap hentak terpakai kerana ia tidak tahan lama dan kita tidak tahu berapa usianya dan keadaan bahagian dalamannya.

Selamat ber-shopping!

Berita Berkenaan

Informasi
Fungsi menyerap hentakan sebenarnya dilakukan oleh spring (coiled spring) tetapi spring pula…