Penunggang motosikal maut digilis

oleh Hamimah Hamid|
SEORANG lelaki maut selepas digilis kenderaan berat dipercayai treler dalam nahas di Kilometer 245.4, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara dekat Kuala Kangsar.

Mangsa Muhammad Azren Azih, 24 tahun maut akibat kecederaan parah dalam kejadian pukul 11.55 malam itu.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob berkata, kemalangan berlaku apabila motosikal jenis Honda RS-X ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan.

Menurutnya, motosikal mangsa terlanggar tembok batu di sebelah kanan laluan mengakibatkan kenderaan itu jatuh terseret ke sebelah kiri.

"Pada masa sama datang dua buah motosikal masing-masing ditunggang lelaki berusia 22 dan 24 tahun tidak sempat mengelak lalu melanggar motosikal mangsa sebelum kedua-duanya jatuh ke tepi kiri jalan.

"Tidak lama kemudian, sebuah kenderaan dipercayai treler yang sedang mara di lorong kiri tidak sempat mengelak lalu menggilis mangsa. Kenderaan itu bagaimanapun tidak berhenti dan terus beredar dari lokasi kejadian," katanya 

Omar Bakhtiar berkata, dua lagi penunggang motosikal yang mengalami kecederaan di kaki dan badan telah dihantar ke Hospital Kuala Kangsar untuk rawatan.

Tambah beliau, usaha dijalankan bagi mengesan pemandu treler terbabit dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.