PENDAPAT: Projek Kereta Nasional Baharu, Isu Sebenar

oleh Mohamad Hanif|
Projek kereta nasional 3.0 kini sudah menampakkan sedikit demi sedikit bayangan untuk dilaksanakan berdasarkan kepada beberapa perkembangan menarik yang berlaku kebelakangan ini.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Sebelum ini kami ada menyiarkan artikel pendapat daripada bekas Pengarah Urusan Proton, Tan Sri Nadzmi Salleh yang menyarankan projek kereta nasional 3.0 ini memulakan langkah pertama dengan menggunapakai idea kenderaan elektrik (EV) sebagai produk sulung mereka. 

Tidak dinafikan, projek kereta nasional 3.0 ini juga turut mendapat kritikan dan pandangan yang menginginkan kerajaan lebih memfokuskan kepada pembangunan sektor pengangkutan awam yang dilihat lebih kritikal berbanding kereta nasional.

 


Kali ini, kami ingin berkongsi nukilan pendapat daripada Ketua Eksekutif Institut Automotif Malaysia (MAI), Dato' Madani Sahari berkenaan projek kereta nasional dari sudut pandangan yang berbeza. 

 


Merujuk kepada kejayaan (lebih tepat cubaan) Thomas Edison di dalam menghasilkan lampu mentol, beliau berkata, "Saya tidak gagal 700 kali, malah saya telah menemui 700 cara untuk tidak membuat lampu mentol!"

Walaupun ramai yang mempertikaikan jumlah sebenar usaha yang beliau lakukan, adalah lebih wajar sekiranya kita melihat mesej yang tersirat daripada kata-kata pereka tersebut. 

Tugas terbesar saya kali ini adalah pelaksanaan rangka kerja dan dasar yang spesifik kepada industri automotif Malaysia, yang mana ia berdasarkan kepada strategi yang jelas dan selaras degnan halatuju makro-ekonomi kerajaan. 

Sepanjang perjalanan tugas, satu cabaran yang saya amati di dalam bidang ini adalah mengenepikan prasangka dan andaian di dalam pendekatan sebarang isu, dan meneliti pandangan daripada semua pihak sebelum membentuk sesuatu pendapat. 
 


Oleh itu, izinkan saya untuk mendalami pendebatan mengenai projek kereta nasional baharu. 

Akan tetapi, sebelum meneliti isu yang amat rumit ini secara adil, terdapat beberapa andaian yang perlu diperjelaskan kepada umum. 

Pertama, kita perlu nyatakan fakta-fakta mengenai senario industri automotif negara. 

Sehingga kini, terdapat lebih daripada 25 pengeluar (OEM) dan 700 vendor yang membentuk sebahagian daripada ekosistem automotif tempatan. 

Kata kunci di sini adalah “ekosistem”. Walaupun pengeluar dan vendor lazimnya dibincangkan di khalayak ramai, ekosistem automotif sebenarnya lebih luas dan mendalam daripada itu.
 


Sebagai contoh, sektor automotif telah membangunkan pembuat alat dan acuan, pengeluar bahan mentah, pembuat mesin, pengedar alat ganti, perniagaan aksesori, bengkel, pengitar semula dan pembuatan semula. 

Perusahaan-perusahaan ini bergantung kepada lebih 700,000 rakyat Malaysia yang bekerja sebagai pereka bentuk, jurutera, juruteknik, operator pengeluaran, mekanik, dan pelbagai lagi jawatan bukan teknikal – kesemuanya mempunyai kebolehan dan kemahiran di dalam suatu sektor berteknologi tinggi.

Walaupun pengeluar menjadi sebahagian daripada ekosistem ini, diskusi mengenai industrialisasi tidak wajar dihadkan kepada pengeluar sahaja. Ia perlu dilihat secara menyeluruh, dan mengambil kira seluruh rantaian nilai industri.
 


Kedua, walaupun terdapat hujah-hujah bernas di kedua-dua jurang isu kereta nasional baharu, hujah-hujah ini sering berasaskan andaian bahawa projek ini hanyalah suatu ulangan sejarah dan strategi yang diambil pada masa lalu.

Akibatnya, pelbagai spekulasi disebarkan mengenai harga kereta, prestasi pasaran, tuduhan anti-liberalisasi dan sebagainya, meskipun projek kereta nasional masih berada di peringkat kajian dan konsultasi agar seiring dengan halatuju ekonomi kerajaan – pada tahap makro.

Bagi melihat isu kereta nasional secara adil, kita perlu melihat kepada matlamat ekonomi negara secara menyeluruh. 
 


Walaupun sebelum ini, kita mempunyai kelebihan di dalam sektor pertanian dan industri berasaskan komoditi, kita telah memutuskan bahawa menjadi negara pengguna adalah tidak cukup, dan kita perlu melalui industrialisasi untuk menjadi sebuah negara maju.

Industrialisasi, di dalam konteks ini, bukan hanya bermaksud mempunyai kilang. Ia bermaksud kita bebas, merdeka serta bergantung kepada diri sendiri di dalam bidang-bidang teknologi utama. Kesemua negara maju di dunia menunjukkan sifat yang sama.

Bagi Malaysia, industri automotif dipilih bagi menjana kemerdekaan tersebut. Kebolehan penuh rekabentuk automotif – dari lakaran ke pengeluaran akhir – perlu dibentuk bagi membangunkan suatu ekonomi maju, yang seterusnya membawa kesan susulan kepada industri-industri lain.

Sebagai contoh, jika kita berkemampuan membuat komponen plastik automotif, pengetahuan kejuruteraan dan kemahiran yang sama dapat diaplikasikan kepada industri berasaskan plastik yang lain. Tanpa industri automotif, kita masih dapat menghasilkan produk plastik, tetapi terhad kepada pembuatan yang mempunyai hasil dan halangan (barrier) yang rendah.
 


Kita sedia maklum bahawa pasaran halangan rendah (low barrier markets) merupakan pasaran yang tidak menentu, yang membawa risiko kepada semua pemain. Kejatuhan pasaran bijih timah sekitar tahun 1985 menjadi satu pengajaran kepada kita semua.

Di sini, idea kereta nasional baharu memainkan peranannya. Sebagaimana Proton menjana fasa pertama industrialisasi Malaysia, kereta nasional baharu boleh menjadi penjana fasa industrialisasi yang seterusnya.

Lebih menarik, pasaran automotif dunia sedang melalui suatu peralihan. Di waktu teknologi dunia beralih dari kebergantungan bahan api fossil  kepada elektrifikasi dan kereta pandu sendiri, pasaran automotif kian berubah menjadi lautan biru (blue ocean). 

 


Siapa sangka syarikat-syarikat seperti Apple dan Google akan mempertimbangkan beralih kepada pasaran automotif sebagai pengeluar, dan kini pelbagai petikan dan spekulasi dapat dilihat mengenai rancangan-rancangan mengeluarkan kereta mereka sendiri.

Untuk terus bersaing, Malaysia perlu meneliti semua sudut dalam membawa industri ke tahap seterusnya. Sepertimana yang tertulis di dalam ruangan saya (di portal MAI), unsur-unsur kejayaan semakin ketara, walaupun halatuju automotif negara masih lagi dirangkum.

Kereta nasional baharu sudah tentu akan berpaksikan pengalaman yang telah dibina ekosistem automotif sehingga kini, bersesuaian dengan trend global di pasaran dunia. Lautan biru yang di sebut di atas membuka peluang transformasi kearah kenderaan generasi baharu dan mobiliti terhubung, seiring dengan tren di masa hadapan.

Bagi mengekalkan keseiringan dengan norma perdagangan global, pilihan-pilihan yang ada termasuk memperkasakan jenama nasional yang sedia ada, memanfaatkan perkongsian semasa di antara pengeluar tempatan dan asing, ataupun kolaborasi langsung di antara pengeluar tempatan bersama pemain utama automotif di serata dunia.

Ianya perlu mengoptimasikan pelaburan langsung yang tersedia ataupun akan datang, sama ada dari luar mahupun dalam negara (FDI & DDI), agar kepentingan pelabur dan penyertaan bermakna rakyat Malaysia di dalam industri automotif mencapai keseimbangan yang sihat.
 


Sewaktu teknologi berkembang, kedudukan Malaysia sebagai hab automotif serantau kian berubah. Walaupun mempunyai jumlah pengeluaran yang kecil, industri ini telah menarik pelaburan dengan nilai berbillion ringgit, membolehkan penyertaan rakyat Malaysia di dalam aktiviti-aktiviti nilai tinggi di sepanjang rantaian nilai automotif – menjadikan Malaysia sebuah negara pilihan bagi kolaborasi serantau di dalam bidang pembangunan automotif.

Sebagai contoh, pengumuman projek kereta ASEAN baru-baru ini disusuli pemeteraian memorandum perjanjian di antara MAI dan Institut Otomotif Indonesia (IOI) bagi meningkatkan kolaborasi di antara vendor-vendor automotif di kalangan kedua negara jiran, sebagai persediaan membangunkan kereta ASEAN.

Dengan kelebihan yang diperoleh daripada pengalaman dan peluang-peluang yang terbuka, kereta nasional menjadi satu pilihan yang baik bagi menjana fasa pembangunan automotif seterusnya.

Saya menyeru agar kita membenarkan perdebatan yang sihat berlaku – kita perlu memberi masa dan ruang untuk idea-idea dinyatakan, dengan mengenepikan prasangka yang ada.

Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pandangan sebenar careta.my terhadap isu yang disentuh. 

Dipetik daripada artikel asal bertajuk The New National Car Project, The Real Issues karangan Dato Madani Sahari yang disiarkan di laman MAI.

Berita Berkenaan

Berita Domestik
"Jika fokus adalah kepada kenderaan elektrik, memang wujud peluang untuk UK bekerjasama dengan…
Berita Domestik
Kementerian Pembangunan Usahawan pada fasa akhir menyenarai pendek syarikat yang akan bekerjasama…
Berita Domestik
Laman web tersebut, DSK Industry turut mengaku mereka sedang menyiapkan kereta elektrik pintar yang…