Pemandu Mercedes Benz berdepan denda RM1 juta seludup minyak petrol

oleh Hamimah Hamid|
SEORANG lelaki bertindak licik mengubah suai bahagian belakang bonet kereta Mercedes Benz untuk menyeludup minyak petrol di sebuah stesen minyak di Pengkalan Hulu.

Lelaki berusia 55 tahun itu bagaimanapun berjaya ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) selepas mendapati kenderaan itu dalam keadaan mencurigakan.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, lelaki berkenaan telah ditahan dan dibawa ke Kem Batalion 18, Briged Utara PGA Jalan Baling selepas pihak berkuasa menemukan tangki tambahan atau tangki yang telah diubah suai pada bahagian belakang bonet Mercedes Benz berkenaan.

 

"Hasil siasatan awal didapati tangki yang telah diubah suai itu mampu mengisi minyak petrol sebanyak 60 hingga 70 liter bagi sekali pembelian.

 

"Pemandu Mercedes Benz itu kemudian akan berulang-ulang setiap hari dengan membawa dan menjual bahan api kawalan itu ke negara jiran," katanya.

 

Tegas beliau, pemandu Mercedes Benz terbabit bakal berdepan denda RM 1 juta.

 

"Kes disiasat dibawah Akta Kawalan Bekalan 1961. Sekiranya disabitkan dengan kesalahan di bawah akta ini boleh dikenakan penalti seperti, bagi mana-mana orang perseorangan didenda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

 

"Bagi kesalahan oleh pertubuhan perbadanan, akan didenda tidak melebihi RM2 juta dan bagi kesalahan yang kedua didenda tidak melebihi RM5 juta,” jelasnya lagi.