Pemandu Lamborghini bergelar Datuk didakwa memandu secara merbahaya, gopoh

oleh Penyumbang Rencana|
gambar dari mStar
Pemandu kereta mewah Lamborghini Huracan Coupe bergelar Datuk dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Kota Tinggi, pada Khamis, atas tuduhan memandu kenderaan itu secara merbahaya atau gopoh, bulan lalu.

Tertuduh, Lim Thean Seng, 65, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu selepas ia dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Rashidah Baharom.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Berdasarkan kertas pertuduhan, warga emas itu sebagai pemandu kereta bernombor pendaftaran KV 2369 E didakwa memandu kenderaan terbabit di jalan raya dengan cara merbahaya kepada orang awam di Kilometer (KM) 54.4 hingga KM55.5 Jalan Lebuhraya Senai - Desaru di sini, kira-kira jam 10 pagi, 29 Julai lalu.

Bagi perbuatan itu, lelaki terbabit didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda sehingga RM15,000, jika sabit kesalahan.

Tertuduh turut dihadapkan dengan pertuduhan pilihan iaitu memandu kenderaan mewah itu secara gopoh hingga mungkin menyebabkan bencana kepada seseorang yang lain di lokasi, waktu dan tarikh yang sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 279 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Khairuddin Khalid menawarkan ikat jamin RM10,000 namun dibantah peguam Mohd Syakirin Syazwan Mohd Nayan yang mewakili tertuduh.

Menurut Mohd Syakirin Syazwan, anak guamnya tidak mempunyai tujuan melarikan diri memandangkan warga emas itu masih menjalani pemeriksaan atas pelbagai komplikasi penyakit dihadapinya setiap bulan di sebuah hospital dekat Kuala Lumpur.

"Tertuduh menghidap penyakit kencing manis, pernah menjalani dua kali pembedahan jantung selain pernah mengalami strok.

"Dia juga seorang ahli perniagaan yang menyelia sendiri perniagaannya, jadi dia perlu selalu berada di premis perniagaannya," katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 5 September depan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

 

Astro Awani