Pemandu cuai tidak lagi mendapat subsidi - PIAM

oleh HEZERI SAMSURI|
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Liberalisasi insurans memang sudah bermula tetapi kerana kadar perubahan tarif harga yang dihadkan kepada 10 peratus, ramai yang terlupa harga insurans kini berbeza antara satu syarikat insurans dengan syarikat yang lain.

Careta bertemu dengan Pengerusi Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM), Antony Lee di ibupejabat persatuan itu di Brickfields, Kuala Lumpur bagi mempelajari lebih lanjut perubahan dalam industri insurans automotif selepas liberalisasi bermula pada 1 Julai lalu.

Antony: 
Sebelum liberalisasi, tarif atau harga untuk polisi insurans kenderaan sebenarnya ditetapkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM). 

Oleh itu, pengguna pada masa lalu tidak perlu untuk membandingkan harga, tetapi lebih kepada membandingkan cenderamata yang diberikan oleh ejen seperti payung, pelindung matahari dan sebagainya.

Careta:
Tetapi bukankah itu lebih bagus kerana semuanya seragam?

Antony:
Benar, ia memang mudah tetapi ruginya ialah semua orang membayar jumlah yang sama tetapi risiko mereka berlainan.

Careta:
Risiko berlainan? Kenapa risiko berlainan? 

 

 

Antony:
Kriteria pertama sebuah syarikat insurans apabila dihubungi oleh pelanggan adalah mengenalpasti risiko pelanggan tersebut. Risiko ini yang menentukan sama ada pelanggan tersebut perlu membayar premium yang tinggi atau rendah untuk polisinya.

Contohnya, Ahmad dan Abu memiliki jenis kereta yang sama dan dibeli pada masa yang sama. Kedua mereka tidak pernah membuat tuntutan dan keduanya menerima NCB (No Claim Bonus) yang sama.

Ahmad tidak pernah menerima saman trafik tahun lalu sementara rakannya Abu menerima 100 keping saman trafik dalam jangka masa yang sama. Pastinya kita boleh kategorikan Abu sebagai pemandu yang berisiko tinggi. 

Sementara itu, Ahmad pula kita klasifikasikan sebagai pemandu yang berdisiplin dan rendah risiko.

Kerana itu, premium polisi Abu pastinya jauh lebih tinggi daripada Ahmad.

Careta:
Bukankah itu yang berlaku dari dahulu?

Antony:
Tidak. Sebelum Julai tahun ini, Abu dan Ahmad membayar jumlah premium yang sama.

Ini tidak adil untuk Ahmad kerana tabiat pemanduan selamat dan berdisiplin beliau tidak diberi pertimbangan.

Abu pula tidak menerima apa-apa hukuman kecuali denda saman. Dan selagi sistem Kejara tidak beroperasi, beliau tetap dibenarkan memandu walaupun menerima 1,000 saman dalam sehari pun.

 

 

Careta:
Jadi syarikat insurans perlu merujuk kepada pihak berkuasa untuk mengetahui jumlah saman mereka?

Antony:
Ya, dalam liberalisasi insurans, saman yang diterima oleh pemandu akan diambil kira untuk menentukan jumlah premium yang perlu dibayar.

Careta:
Adakah itu dipraktikkan sekarang?

Antony:
Ya, ini dipraktikkan dengan liberalisasi insurans dan juga beberapa faktor lain seperti lokasi kenderaan digunakan, usia pemandu dan jenis kenderaan turut diambil kira. 
Namun begitu, BNM telah meletakkan syarat bahawa sebarang perbezaan harga tidak boleh melebihi 10 peratus dari harga premium sebelum liberalisasi.

 

 

Careta:
Kenapa pula ada batasan 10 peratus?

Antony:
Ini ialah kerana BNM telah mengkaji pasaran dunia lain seperti India dan China yang mana pihak kerajaan telah membuka terus industri insurans mereka tanpa sebarang tarif. 

Apa yang terjadi ialah pengguna bingung dan berlaku masalah dari segi salah faham, tidak cukup perlindungan insurans dan pelbagai masalah lagi kerana pengguna di sana terkejut dengan pakej-pakej rendah tanpa mengetahui perlindungan terhad yang diberikan.

Selepas setahun, pasaran insurans di kedua-dua negara tersebut terus beralih kembali kepada menggunakan tarif harga yang ditentukan oleh kerajaan. 

BNM tidak mahu perkara yang sama berlaku di Malaysia dan PIAM juga bersetuju kerana had 10 peratus memberikan masa kepada semua syarikat insurans untuk mengkaji pasaran, menukar sistem dan menyediakan pakej-pakej yang lebih sesuai.

Had 10 peratus ini juga  membenarkan pengguna untuk membuat perbandingan pakej-pakej insurans yang ada di dalam pasaran.

 

 

Careta:
Selain dari harga yang naik dan turun bergantung kepada risiko pemandu, apa lagi faedah yang wujud akibat liberalisasi insurans?

Antony:
Banyak! Kini anda boleh lihat pakej-pakej tambahan untuk insurans kenderaan bagi mereka yang mahukan perlindungan tambahan.
Kita ada pakej tambahan untuk melindungi pinjaman kenderaan sekiranya kenderaan hilang atau musnah dan baki pinjaman melebihi nilai kenderaan.
Kita juga ada polisi berkaitan banjir, berkaitan sistem peranti anti-kecurian,  bencana alam dan pelbagai lagi.


Careta:
Adakah insurans yang harganya tidak dikawal ini ada digunakan di negara lain?

Antony:
Sebenarnya, semua negara maju mengamalkan liberalisasi insurans kenderaan.
Di sana, harga polisi bergantung kepada ratusan jenis pakej.
Malah, ada yang boleh menghasilkan pakej khusus mengikut kehendak pelanggan!

Careta:
Khusus untuk kehendak pelanggan? Maknanya jika saya mahu pakej paling minima sahaja pun boleh?

 

 

Antony:
Setiap kerajaan akan menetapkan kadar perlindungan minima untuk insurans kenderaan supaya hak semua pengguna dilindungi.

Di Malaysia kita sekurang-kurangnya mempunyai perlindungan Pihak Ketiga di mana kenderaan dan pemandu serta penumpang kenderaan yang kita langgar akan dilindungi oleh insurans.

Namun begitu, di negara maju, anda boleh mendapat polisi yang lebih canggih seperti berdasarkan jarak perjalanan pemandu..

Contohnya, andaikan Ahmad dan Abu memandu kereta yang sama jenis dan sama usia dan tinggal di tempat yang sama.

Ahmad memandu 5,000 km setahun kerana beliau sering menggunakan pengangkutan awam.

Abu memandu 20,000 km setahun kerana beliau sering pulang ke kampung dengan kereta beliau.

Di negara maju, Abu akan membayar premium lebih tinggi.

Ini ialah kerana Abu kerap menggunakan kenderaannya dan ia mempunyai risiko kemalangan yang lebih besar.

Careta:
Jadi ini lebih adil kerana pemandu dikenakan bayaran premium bergantung kepada penggunaannya?

Antony:
Benar, melainkan anda setuju kita memberikan subsidi kepada pemandu yang cuai kerana sepatutnya, siapa yang cuai akan bayar lebih dan siapa yang cermat akan bayar kurang!

 

 

Buat masa ini, BNM dan PIAM hanya menumpukan kepada produk Motor Komprehensif; dan produk Kebakaran dan Kecurian Motor Pihak Ketiga sahaja.

Produk Motor Pihak Ketiga belum lagi termaktub dalam liberalisasi ini.

Pada pendapat Careta, liberalisasi insurans kenderaan adalah adil dan telus kerana kita biarkan pemandu-pemandu yang cuai dan merbahaya ini dihukum dengan cara yang paling sakit - membayar premium insurans yang lebih tinggi.

Ia juga baik untuk pengguna kerana pihak pengguna sendiri yang akan membantu memastikan keselamatan jalanraya lebih baik kerana kita tidak boleh mengharapkan kepada pihak polis, JPJ, SPAD, MIROS, JKJR, MKJR dan beribu lagi pertubuhan lain.

 

Berita Berkenaan

Berita Global
Pada jam 1 pagi (waktu tempatan), polis menerima panggilan mengenai kenderaan yang memandu secara…
Berita Global
Di mana akibatnya pemilik di negara itu kini perlu membayar hampir dua kali ganda premium insurans…
Berita Global
Ini ialah kerana bengkel-bengkel persendirian mampu menawarkan kos penyelenggaraan yang jauh lebih…