Pasukan Proton R3 juara keseluruhan bagi S1K 2017

oleh DIANA ISMADI|
Pasukan PROTON R3 merangkul gelaran Juara Keseluruhan pada perlumbaan Sepang 1000km Endurance 2017 (“S1k”) selepas permulaan hebat mengalahkan pesaing kuat dari Maxxoil Mayhem Team dan Tedco Racing yang masing-masingnya memandu kereta Honda dan Suzuki.

Admi Shahrul dan James Veerapen yang memandu kereta Proton Suprima S R3 bernombor 82 menamatkan saingan jauh di hadapan juara S1k tahun lalu, Tengku Djan Ley dan Keifli Othman. Proton Iriz R3 bernombor 81 yang dipandu Syafiq Ali dan Farique Hairuman tamat di tempat kelima selepas melalui 171 pusingan yang panjang dan mencabar di perlumbaan ini.

“Pasukan PROTON R3 menunjukkan kerjasama berpasukan yang sangat baik di sebalik tidak berlumba pada perlumbaan S1k tahun lalu. PROTON memiliki pasukan pelumba, jurutera dan kakitangan teknikal yang sangat berdedikasi untuk pembangunan kereta R3 serta sukan permotoran, dan saya amat berbangga dengan apa yang telah mereka capai pada malam ini. Persediaan, perancangan dan analisis risiko yang telah mereka buat, selain kereta yang baik dan Petronas sebagai penaja, telah membuahkan kemenangan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr Li Chunrong.

 

Proton R3 S1K


“Ramai peminat sukan permotoran mengakui akan pengendalian yang baik pada kereta Proton, di samping berupaya menahan cabaran seperti perlumbaan ini. Kereta Proton tahan lasak dan pada malam ini, pelumba berpengalaman kami mengendalikan kereta ke tahap yang paling optimum untuk menonjolkan kebolehannya. Pasukan R3 berlumba dengan baik dan keputusan yang diterima merupakan perkara yang manis bagi kemunculan semula kami di sukan permotoran. Ini tentunya titik tolak yang baik bagi Proton,” tambah Chunrong.

 

Proton R3

 

Add new comment