Dengan kemenangan untuk tiga kali berturut-turut serta yang kelima secara keseluruhan perlumbaan S1K, Proton menjadi syarikat pengeluar berjaya dalam sejarah acara itu.
Pemandu wanita pula berjaya menamatkan perlumbaan di tempat ketujuh. Terdapat tiga penyertaan dari pasukan Proton R3 bagi perlumbaan S1K pada tahun ini dan kereta ketiga terdiri daripada pasukan wanita.
Nurul Husna dan Faye Kusairi dipilih melalui peraduan Pencarian Pemandu Wanita MSFR3 yang memberi peluang kepada pelumba-pelumba wanita yang bercita-cita untuk bersaing di dalam perlumbaan S1K.
Pemandu utama pasukan itu ialah Leona Chin, merupakan pelumba wanita terpantas di Malaysia.
Isu teknikal yang berlaku semasa pusingan kelayakan membuatkan pasukan Proton Saga 2019 memulakan perlumbaan di kedudukan ke-26. Walaupun begitu, pelumba-pelumba wanita tersebut berjaya menamatkan perlumbaan di tempat ketujuh secara keseluruhan dan yang pertama di kalangan semua pemandu wanita.
"Untuk berjaya di dalam perlumbaan permotoran memerlukan model-model kereta yang bersesuaian untuk perlumbaan, kemahiran juruteknik sehinggalah kepada pemandu serta pelaburan dari segi masa serta kewangan dan kejayaan pasukan R3 merupakan pelaburan dan langkah yang bijak," kata Dr. Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif Proton.
Dr. Li Chunrong turut memuji pasukan pemandu wanita dengan berkata bahawa mereka telah membuktikan keupayaan mereka untuk bersaing di arena sukan permotoran yang didominasikan oleh lelaki dan Proton berbangga telah memberikan peluang untuk menonjolkan bakat mereka.