Pandu uji VW Jetta 1.4 TSI - Tidak lekang dek masa

oleh Muhammad Md Tajudin|
Pasaran kereta penumpang segmen C seperti Honda Civic, Toyota Corolla dan Nissan Sylphy sebenarnya sedang tersepit sekarang ini. Bukan kerana kurang pembeli tetapi lebih kepada begitu banyak tawaran menarik pada harga setara.

Dua segmen utama yang menghimpit model-model sebegini ialah kereta segmen B seperti Honda City, Toyota Vios, Nissan Almera dan Proton Persona.

Memandangkan harga kereta segmen C telah menganjak ke sempadan lebih dari RM 100,000, model-model popular seperti Honda City, Toyota Vios dan Proton Persona yang boleh dimiliki pada lingkungan harga RM 60,000 hingga RM 90,000 tampak lebih menarik.

Tambahan pula kereta segmen B mempunyai saiz interior dan ruang bagasi yang besar berbanding generasi sebelum ini.

Satu lagi segmen yang dilihat menggangu kereta segmen C ialah SUV kompak dan sederhana seperti Honda HR-V/CR-V, Mazda CX-3/CX-5, Kia Sportage, Hyundai Tucson dan Nissan X-Trail.

Pada harga yang lebih kurang sama dan dengan pelbagai kelebihan seperti jarak penglihatan lebih baik dan praktikaliti, SUV juga adalah satu alternatif yang baik. 

Berdasarkan pelbagai tawaran menarik di atas, memang nampak kereta segmen C sedang terancam.

Namun pemerhatian ini tidaklah 100 peratus tepat kerana masih terdapat ramai penggemar kereta segmen C.

Lihat sahaja jumlah Honda Civic generasi kesepuluh (FC) yang begitu banyak di atas jalan raya.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01

 

Alternatif dari Jerman

Jika anda bosan dengan tawaran dari negara Asia, Volkswagen telah lama menawarkan sesuatu yang berbeza dan lebih canggih lama sebelum Civic FC diperkenalkan.

VW Jetta adalah alternatif terbaik untuk kereta Continental di mana ia telah pun menggunakan enjin canggih twincharge supercaj dan turbo dengan transmisi klac berkembar (DSG) lama sebelum Civic Turbo diperkenalkan.

 

Jetta on the road

 

Setelah enam tahun berada di pasaran, VW telah mengubah langsung enjin dan mengemaskini Jetta pada tahun 2017.

 

Apa yang baharu?

Kebanyakan pengeluar Eropah mengambil jalan berbeza daripada pengeluar Asia. Cara mereka ialah perubahan yang minimum. Ini apa yang dibuat oleh VW, model-model wajah baharu kelihatan sama sahaja seperti model pengenalan.

Untuk Jetta wajah baharu, VW mengambil pendekatan sama dengan perubahan visual yang kecil seperti gril ala Passat B7, bampar depan baharu serta lampu depan dan belakang baharu.

Dari pandangan jauh dan dekat, VW mahu mengekalkan identiti Jetta sebagai sebuah kereta dengan reka bentuk elegan dan ringkas.

Reka bentuk begini biasanya tidak akan memenangi hati pelanggan serta-merta tetapi ia jenis makin lama makin jatuh hati. 

Apabila ditenung lama atau berselisih berkali-kali di atas jalan raya, anda mungkin dapat menangkap di mana kecantikan kereta ringkas begini terletak.

Ia tidak merobek mata seperti kereta dengan reka bentuk Transformers atau dramatik tetapi lama kelamaan baru ia menangkap di mata dan jiwa seterusnya menarik perhatian terhadap reka bentuk sebegini. 

 

Ruang dan rekaan dalaman

Reka bentuk dalaman Jetta tampil ringkas dan karakter begini dilihat kena dengan peredaran masa. Jetta sudah berusia enam tahun tetapi dari segi rasa material, susun atur suis dan butang dan ergonomik masih kekal relevan.

Ringkas tetapi tidak membosankan. Mungkin perubahan paling jelas boleh dilihat ialah stereng flat bottom yang memberikan imej sporti selain sedap dipegang.

Kerusi pemandu pula tegap menyokong badan cuma disebabkan talaan suspensi yang sedikit keras penumpang belakang mungkin akan terasa gegaran apabila kereta di pandu di jalan berlopak.

Dari segi saiz interior, Jetta tidak mempunyai masalah, mengikut standard kereta segmen C hari ini, saiz Jetta berada pada skala yang baik. Ia tidak besar sehingga membazir ruang atau terlalu kecil sehingga kereta segmen B terasa lebih besar.

Saiznya sedang elok manakala ruang bagasi pula bersaiz 510 liter yang memadai untuk mengisi beg pulang ke kampung.

 

Enjin turbo tanpa supercaj

Apabila VW mula memasuki pasaran tempatan beberapa tahun dahulu, mereka memasukinya dengan gah. Nadi kuasa yang ditawarkan begitu canggih dan asing untuk pasaran tempatan.

VW memperkenalkan teknologi twincharge moden yang menggabungkan turbo dan supercaj pada kereta umum. Teknologi canggih enjin tersebut dipadankan pula dengan transmisi klac berkembar (DSG).

Pada masa itu, pasaran hanya dihidangkan dengan enjin aspirasi normal (n/a) dan transmisi automatik empat kelajuan.

Sambutan pasaran terhadap jenama VW meletup-letup dan ia ibarat satu prestij baharu. 

Selepas enam tahun di pasaran, Jetta tetap tampil dengan enjin canggih tetapi tanpa supercaj. Jetta kini dikuasakan oleh enjin baharu 1.4 TSI yang dikuasakan turbo dan mengeluarkan kuasa sebanyak 148 hp dan tork 250 Nm.

Enjin ini ternyata jimat bahan api (5.0 l/100km) dan ditambah pula dengan penggunaan fungsi henti/mula automatik (stop-start) dan brek generatif menjadikannya layak untuk diiktiraf sebagai kenderaan cekap tenaga (EEV).

Setelah lama di pasaran, VW benar-benar menggunakan tempoh itu untuk mengkaji produknya di samping tabiat pemandu bagi menambah baik Jetta.

 

Pemanduan dan pengendalian

Walaupun Jetta wajah baharu ini terasa matang tetapi ia masih mengekalkan sifat pemanduan kereta Eropah.

Sistem gantungan terasa sedikit keras berbanding kereta buatan Asia tetapi anda dapat merasakan bagaimana jurutera kereta ini mengimbangkannya dengan keselesaan.

Walaupun dengan reka bentuk yang bersahaja, Jetta masih kekal dengan jatidirinya di mana pemanduan dan pengendalian mempunyai 'feel' supaya ia tidak menjadi kereta yang membosankan.

Sewaktu pandu uji, kuasa enjin terasa natural dan beradab di mana ia tidaklah melonjak sesuka hati. Kuasa enjin datang apabila pedal diterjah tetapi ia masih dalam kawalan manakala transmisi tujuh kelajuan DSG pula melakukan tugas dengan baik.

Terasa sedikit perbezaan dari segi watak yang lebih matang dan bersahaja dan bukan sebuah kereta yang ego dan mahu menerkam tidak kira masa.

Jika ditanya apa kesimpulan memandu kereta buatan VW ini, saya tidak boleh memberi jawapan dengan mudah.

Namun saya bersyukur kerana pernah memandu Honda Civic 1.5 VTEC Turbo dan Proton Prevé CFE seterusnya dapat membandingkan ketiga-tiga kereta dalam segmen sama ini.

Saya juga pernah memandu uji Nissan Sylphy dan ia tertolak dalam perbandingan ini memandangkan kereta tersebut dikuasakan oleh enjin aspirasi normal.

Saya suka memandu Civic 1.5 VTEC Turbo dan walaupun ia serba moden tetapi ada satu keistimewaan pada VW Jetta.

VW Jetta walaupun sudah hampir berusia tujuh tahun tetapi ia masih relevan tidak kira sama ada dari segi reka bentuk mahu pun nadi kuasa.

Ia memberi definisi sebuah kereta, tidak perlu reka bentuk dramatik pun, cukup dengan enjin yang memberi kuasa apabila diperlukan, sistem gantungan yang boleh diharap dalam kelajuan tinggi mahu pun di selekoh serta ruang dalaman dan bagasi yang memadai untuk fungsinya.

Ini adalah definisi sebuah kenderaan VW sejati dan tidak sukar untuk jatuh hati dengannya.

 

Spesifikasi ringkas VW Jetta 1.4 TSI

  • 1.4 (1395 cc) TSI (Turbo)
  • Transmisi DSG DQ200 tujuh kelajuan (klac kering)
  • 150 hp, 250 Nm
  • 0 - 100 km/j @ 8.6 saat
  • Kelajuan maksimum 220 km/j
  • Enam beg udara, ESC, Intelligent Crash Response System (ICRS), dan fungsi hill-hold assist
  • Empat warna: Candy White, Platinum Grey, Reflex Silver dan Deep Black 
  • Lima tahun waranti pengilang
  • Harga; RM 109,578 (Trendline), RM 118,578 (Comfortline), RM 129,578 (Highline)

Penulis: Muhammad Md Tajudin

Berita Berkenaan

Berita Global
Simbol ‘R’ ini kebanyakkanya telah digunakan pada model Arteon dan T- SUV Roc, Tiguan dan Touareg…
Berita Domestik
Panggilan semula produk dilakukan oleh pihak pengeluar apabila terdapat penemuan isu keselamatan…
Uncategorized
  Pelanggan ditawarkan dua jenis bateri iaitu 79 kilowatt-jam (kWj) atau 86 kWj. Dari segi…