PANDU UJI: Volvo V40 T5 R-Design - 'Sleeper' minimalis serba pantas

oleh Mohamad Hanif|
Jika diikutkan kepada trend semasa, imej kelajuan lebih sesuai dikaitkan dengan Volkswagen Golf GTi, Honda Civic Type R dan Mercedes Benz A250 (sekadar menyebut beberapa jenama) dan jenama yang satu ini sering kali tenggelam.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01

Namun, tenggelam tidak bermakna tidak berkuasa, kerana ramai yang sering tertipu akan penampilan luaran yang cuba ditunjukkan oleh Volvo V40 T5 ini, yang lebih suka merendah diri dengan imej 'sleeper' dan tidak seperti sebuah kapal angkasa lepas Adudu yang ingin menjajah bumi.

 


Kereta segmen C hatchback daripada Sweeden ini tampil dengan kit R-Design bagi menggantikan V40 T5 Inscription itu tampak lebih tajam rekaannya, namun masih mengekalkan ciri-ciri Scandinavian yang serba ringkas. 

Apa yang membezakan kit R-Design dan kit Inscription ialah rekaan bumper hadapan dan belakang, tip ekzos berkembar yang lebih besar, serta penggunaan rim 5-double-spoke bersaiz 17 inci yang kini lebih kacak berbanding rim sebelum ini. 
 


Tidak ketinggalan, lampu nyalaan siang (DRL) berbentuk tukul Thor di hadapan itu melengkapkan lagi imej V40 yang sememangnya berasal daripada keluarga besar Volvo, disamping menambahkan lagi imej kacak hatchback ini pada pandangan ramai.

Peluang selama empat hari diberikan oleh Volvo Car Malaysia digunakan sepenuhnya oleh penulis bagi menyelami perasaan ketika membawa Volvo V40 ini.
 


Kita mulakan dengan bahagian dalaman terlebih dahulu, dan sepertimana yang anda semua boleh lihat, Volvo V40 facelift ini lebih suka mengekalkan apa yang ada pada model sebelum ini. 

Bak kata orang putih, "If ain't broken, don't fix it".

Rekaan peralatan pemanduan seperti stereng, tombol gear, brek tangan serta suis-suis operasi yang lain memudahkan pemandu mencapai tanpa perlu bergerak dengan banyak dari tempat duduk, malah kualiti sentuhan pada bahan yang digunakan juga sememangnya menunjukkan bahawa Volvo sebuah jenama yang premium. 

 


Paparan meter kelajuan disebalik stereng menggunakan skrin jenis digital dan hadir dengan tiga tema yang boleh diubah mengikut kemahuan pemandu seperti Performance, ECO, dan  Elegance yang boleh diakses menerusi hujung tuil lampu isyarat di sebelah kiri pemandu. 
 


Manakala skrin ditengah papan pemuka pula bukan daripada jenis skrin sentuh yang menampilkan menu-menu tambahan seperti keadaan status kenderaan, akses kepada sistem hiburan serta sistem navigasi yang boleh digunakan tanpa sebarang sambungan ke internet. 

Segala fungsi yang disebutkan itu boleh diakses menggunakan butang di hadapan tombol gear yang dilengkapi dengan butang fungsi serta shortcut kepada sistem yang dikehendaki, bahkan mampu diaktifkan menerusi panggilan suara oleh pemandu!

 


Sistem pendingin hawa pada Volvo V40 ini turut dilengkapi dengan sistem penapis udara CleanZone daripada Volvo bagi menapis partikel udara yang berbahaya daripada memasuki ruang kabin, seterusnya memberikan persekitaran dalaman yang serba bersih lagi sihat. 

Walaupun didatangkan dengan sistem kawalan automatik, Volvo masih memberikan sistem kawalan jenis tombol bagi memudahkan urusan penukaran kelajuan kipas, suhu dan arah tiupan dapat dilakukan dengan mudah tanpa perlu mengalihkan perhatian daripada pemanduan dengan kerap. 

 


Rekaan kerusi pula didatangkan dengan tetapan posisi yang boleh diubah dengan mudah menggunakan kuasa elektrik dengan fungsi memori dan terdapat sokongan pada tulang belakang bagi mengelakkan pemandu cepat letih ketika pemanduan jarak jauh dilakukan. 

Ini menjawab persoalan kenapa Volvo V40 ini sangat sedap untuk dipandu dan tidak memenatkan walaupun sudah seharian penulis mengemudi stereng di atas jalan raya Malaysia yang serba beralun ini. 

Sistem gantungan yang hadir pada Volvo ini tidaklah sekeras yang disangka pada kereta hatchback yang serba laju, kerana ia direka untuk memberikan keselesaan yang lebih kepada para penumpang.

Namun begitu, keselesaan yang diberikan tidak bermakna pengendalian Volvo V40 ini dikorbankan begitu sahaja. 

 


Anda boleh merasakan dengan sendiri bagaimana baiknya sistem pengendalian yang diberikan oleh Volvo V40 ini ketika melalui jalan lama yang berselekoh, di mana kereta ini mampu dipaksa pada kelajuan yang sewajarnya tanpa memberikan sebarang olengan yang kurang menyenangkan. 

Stereng pula telah ditala dengan sedikit berat memberikan lagi keyakinan kepada pemandu untuk mengawal kenderaan ke arah yang diingini, dimudahkan cerita, ke mana arah anda memutar stereng, disitu arah kenderaan akan pergi. 

Di atas lebuhraya pula, disini karakteristik 'harimau yang sedang tidur' atau dalam bahasa yang lebih mudah 'sleeper' Volvo V40 dikejutkan.

 


Dengan enjin 2.0 liter turbo yang menghasilkan 245 kuasa kuda dan daya kilas maksimum 350 Nm yang masuk pada julat putaran enjin 1,500-4,800 rpm, ia sudah cukup untuk membuka mata para pencabar di luar sana bahawa Volvo V40 T5 ini bukan calang-calang kereta untuk dicabar. 

Gandingan transmisi automatik dengan lapan nisbah kelajuan, anda boleh merasakan kedua-dua sistem enjin dan transmisi tersebut 'tidak serasi' pada awal fasa pendikit minyak ditekan, namun kuasa yang hadir selepas itu mampu membuatkan pemandu Honda Civic Type-R acah-acah dibelakang hanya mampu menelan air liur dan asap. 

Malah, sekiranya mod Sport dipilih, senyuman pemandu menjadi semakin lebar dek kerana tujahan kuasa yang diberikan menjadi semakin agresif, terutama ketika membelah laluan paling kanan di lebuhraya. 

Walaupun diberikan enjin yang berkuasa, dari segi penggunaan bahan api pula, Volvo mendakwa ia mampu mencapai tahap penggunaan sebanyak 6.1 liter per 100 km perjalanan, dan dibantu dengan penawaran tangki bahan api yang besar, sekitar 60 liter. 
 


Penggunaan ruang pada Volvo ini tidaklah mengecewakan seperti mana tipikal sebuah hatchback di mana ruang but mampu memberikan 335 liter dibantu dengan bukaan pintu belakang yang luas dan kerusi belakang yang boleh dibaringkan. 

Bagi penulis yang sudah terbiasa memandu kereta yang lama tanpa sebarang kamera undur, jadi mengendalikan kereta hatchback V40 ini di kawasan parkir tidak mendatangkan sebarang masalah, disebabkan pandangan keluar dari arah pemandu sebenarnya luas walaupun kelihatan kecil daripada arah luar. 

Ketiadaan kamera undur pada Volvo V40 ini sebenarnya telah ditambah baik dengan sistem sensor pengesan keliling yang turut dipaparkan pada skrin tengah, serta ciri Park Assist Pilot yang membolehkan anda memasuki ruang parkir tanpa sebarang bantuan ataupun input daripada pemandu. 

Buat mereka yang sudah mahir, fungsi ini sebenarnya sering kali diabaikan. 
 


Tidak perlu untuk penulis ulas dengan lebih lanjut kenapa Volvo ini sebuah kereta yang selamat kerana spesifikasi keselamatan yang cukup lengkap seperti 7 buah beg udara (termasuk beg udara lutut), sistem pengesan titik buta (BLIS), amaran lintasan trafik (CTA), brek kecemasan automatik, kawalan kestabilan, kawalan cengkaman serta active bending lights. 

Tidak hairanlah mengapa penulis merasakan pemanduan di dalam Volvo V40 ini memberikan perasaan yang lebih selamat berbanding pengeluar yang lain, oleh kerana dibantu oleh imej pandangan pertama jenama Volvo itu sendiri yang kini merupakan pengeluar kenderaan-kenderaan yang paling selamat di atas muka bumi. 

 


Buat mereka yang berminat untuk mendapatkan Volvo V40 T5 dengan kit R-Design ini, Volvo Car Malaysia menetapkan harga RM170,022.17 atas jalan tanpa insurans, cukai jalan serta yuran pendaftaran, menjadikan ia salah sebuah Volvo yang mampu milik.  

Apa yang pasti, dengan imej yang minimalis, pengendalian dinamik, pakej kuasa, keselamatan dan keselesaan yang ditawarkan, Volvo V40 T5 R-Design ini boleh dikatakan "tick almost all the checkboxes" ciri-ciri yang anda cari untuk sebuah hatchback 'sleeper' yang berkuasa tanpa perlu mengorbankan lebih banyak wang ringgit.

 

Berita Berkenaan

Berita Global
  Ini sebenarnya adalah kali kelima berturut-turut Volvo Cars berjaya memecahkan rekod jualan.…