Pandu Uji: Volkswagen Polo 1.6 - pemanduan Eropah tanpa peningkan kepala

oleh HEZERI SAMSURI|
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Ramai di antara kita yang berminat dengan kenderaan Eropah, tetapi tidak begitu berani untuk beralih angin.

Kebanyakannya risau akan penjagaan, walaupun semua tahu kenderaan Eropah sekarang hadir dengan waranti yang lama dan banyak juga yang diberikan pakej servis percuma.

Jangan risau kerana kami di Careta amat faham masalah itu. Untuk anda yang mahu merasa keistimewaan kenderaan Eropah tanpa risau ia akan mendatangkan masalah, kita ada Volkswagen Polo 1.6L.

 

 

Dari sekilas pandang, Polo ini memang terbukti sebuah kereta Eropah. Rekabentuk santai tetapi dengan garisan-garisan berani, muka hadapan yang bersahaja tetapi tegas dan lampu belakang yang ringkas memang membuktikan Polo ini dari Eropah.

Kenderaan Jepun selalunya mempunyai rekabentuk yang sedikit lembut dan penuh dengan pelbagai garisan atau lekuk, umpama perekabentuk itu risau kereta itu tidak cukup cantik.

Kereta Eropah ringkas, padat dan lantang.

 

 

Keistimewaan Polo ini ialah ia adalah sebuah model kemasukan (entry level) dan ia direka untuk menawarkan sebuah hatchback yang ringkas.

Enjin 1,598cc 4-silinder ini tidak mempunyai sebarang pengecas turbo. Cuma ada sistem pancitan multi-point dan transmisi ialah 6-kelajuan automatik bersama fungsi TipTronic.

Tenaga terhasil ialah 105 PS dan 153 Nm - sahihnya ia bukan nombor yang besar tetapi ia mempunyai jumlah tork yang paling tinggi.

Model kereta Kuasa PS Tork Nm
Honda Jazz 1.5L 120 145
Mazda2 1.5L 114 148
Perodua Myvi 1.5L 103 136
Proton Iriz 1.6L 107 150
Volkswagen Polo 1.6L 105 153

Dari segi prestasi, Polo yang ringkas ini masih mampu merembat dari 0 ke 100 kmsj dalam masa 11.1 saat sehingga ke kelajuan maksimum 184 kmsj.

 

 

Penggunaan bahan api ialah 6.3L untuk setiap 100 km, mengikut kiraan NEDC yang menjadi ukuran rasmi digunapakai oleh Malaysia.

Kabin Polo ini juga seringkas luarannya, tetapi ia bukan calang-calang ringkas. Ia masih nampak elegan, nampak kontemporari dan dalam basah mudah orang Melayu, ia nampak mahal.

Dan oleh kerana kita terlalu biasa dengan susun atur suis dan tuil kenderaan Jepun, kelengkapan tersebut terasa "premium" dan "lain" di dalam Volkswagen ini.

 

 

Contohnya, suis pengawal lampu hadapan ialah punat rotari besar di sebelah kanan stereng - terasa seperti sebuah Mercedes-Benz atau BMW.

Begitu juga dengan tempat duduk fabrik yang dibekalkan. Bukan sahaja baunya berlainan dari bau plastik kenderaan Jepun, fabrik yang digunakan terasa tahan lasak dan span dalam keras menjamin postur badan yang betul.

Butang pada stereng juga menarik dan mengawal pelbagai informasi di skrin LCD, sementara kawalan pendingin hawa dan audio juga lebih ke aras rekabentuk modern berbanding dengan dari jenama Jepun yang terlalu "fancy" tidak bersebab.

 

 

Pendekata, Polo ialah sebuah kereta dengan rekabentuk yang solid, tampan dan tidak melampau atau meleweh-leweh.

Berkata tentang radio, memang sistem audio dari model R340G ini berbeza. Ia mempunyai kemampuan input USB, fungsi interaksi iPod, input AUXm Bluetooth, 4 speaker dan App-Connect.

Untuk membuktikan ia sebuah kenderaan Jerman, sistem audio itu juga dilengkapi dengan slot kad SD - popular antara kenderaan di negara maju itu.

 

 

Di atas jalan, Polo menampilkan pemanduan bersahaja. Enjinnya lancar dan kuat untuk melakukan pecutan ketika sedang memandu santai. Ini membolehkan pemandu mudah untuk memotong kenderaan di hadapan.

Sistem gantungan juga terasa mat-saleh; ia sedikit keras di bonggolan dan keadaan tidak rata tetapi di selekoh, ia selamba mengikut hala tuju stereng. 

 

 

Brek Polo tidak sehebat Golf atau Passat, tetapi memadai untuk tenaganya. Respon dari stereng juga boleh dikatakan linear dan tidak terasa terlalu palsu.

Pemanduan laju di lebuhraya juga baik, seperti yang dijangkan oleh sebuah kenderaan Jerman.

 

 

Yang paling penting, kita terus dilihat sebagai seorang yang fasih berkaitan kenderaan - atau terus dilabel sebagai "penggemar kereta sejati" kerana menggunakan kenderaan Jerman.

Mungkin mereka merasakan kita mempunyai kebolehan untuk membaiki Polo ini bila ia rosak tetapi yang mereka tidak tahu ialah Polo ini adalah selasak kereta Jepun mereka juga. Jadi tidak ada keperluan untuk membuka bonet bagi memeriksa enjin.

 

 

Untuk pemanduan ringkas dengan citarasa Eropah sejati, Polo memang pilihan tepat. Ditambah pula dengan harga dari RM77,646 (tanpa insurans), ia memang berbaloi.

I Polo you! 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Panggilan semula produk dilakukan oleh pihak pengeluar apabila terdapat penemuan isu keselamatan…
Uncategorized
  Pelanggan ditawarkan dua jenis bateri iaitu 79 kilowatt-jam (kWj) atau 86 kWj. Dari segi…
Berita Global
   Volkswagen ID.3 GTX Hatchback elektrik ini ditawarkan di dalam dua varian iaitu ID.3 GTX dan…