Pandu Uji - Subaru XV baharu tepati citarasa pemanduan ekstrem

oleh Afandi Che Muhamad|
Bagi berlaku jujur, penulis tidak menafikan bahawa tiada yang sempurna dalam kehidupan kita. Namun, penulis pasti setiap daripada kita sentiasa mencuba untuk menghampiri kepada konteks tersebut baik daripada aspek apa pun.

Begitu juga soal pemilihan kenderaan, setiap daripada kita pasti inginkan sebuah kenderaan yang mampu memenuhi setiap keperluan, kehendak dan corak kegunaan. Di mana kita hendak dapatkan semua pakej itu?
Merdeka Bonanza

Seperti diketahui, setiap kenderaan dicipta berlandaskan tujuan spesifik. Justeru, sukar untuk kita mencari sesebuah kenderaan yang lengkap didatangkan bersama penawaran pakej rekaan, prestasi dan praktikaliti terbaik.

Sebenarnya ada. Penulis berani mencadangkan model Kenderaan Utiliti Sukan (SUV) baharu, Subaru XV kerana ia dilihat hampir memiliki semua pakej yang disebutkan tadi.

Berkesempatan memandu uji unit crossover itu, penulis bersama pengamal media tempatan lain dibawa mengharungi perjalanan sejauh lebih 300 kilometer bermula dari Petaling Jaya menuju ke Melaka International Motorsport Circuit (MIMC) di Durian Tunggal, Melaka semalam.

Sebelum perjalanan bermula, pandangan penulis terlebih dahulu terpukau ke arah rekaan luaran Subaru XV baharu yang cukup sporty dan ranggi.

Melihatkan rekaan dimiliki crossover ini sahaja sudah cukup untuk membuatkan penulis begitu teruja untuk memandunya di jalan raya.

Untuk makluman, ini merupakan kali pertama penulis berpeluang meneroka kepintaran kenderaan Pacuan Semua Roda (All Wheel Drive) seperti Subaru XV. 

Tanpa berlengah, penulis terus mendapatkan anak kunci bagi membuka pintu tempat duduk pemandu yang berkunci daripada kakitangan Subaru semalam.

Subaru XV baharu ini tidak didatangkan dengan sistem akses tanpa kunci dan cuma mempunyai butang penghidup enjin seperti kebanyakan model saingannya yang lain.

Tidak sabar rasanya penulis untuk menghidupkan enjin 2.0 liter Boxer dimiliki SUV baharu ini.

Melangkah masuk ke bahagian kabin, elemen keselesaan jelas dapat dirasai ketika penulis merehatkan tubuh di atas kusyen tempat duduk dimiliki model berkenaan.

Melihatkan susun atur suis-suis kawalan di dalam ruang kabin crossover ini yang sengaja dibina berhampiran satu sama lain, ia ternyata memudahkan capaian penulis.

Sebaik enjin dihidupkan, penulis bersama peserta lain langsung memulakan perjalanan menuju ke destinasi ditetapkan di dalam tentatif program tersebut.

Memulakan perjalanan, penulis tertarik dengan kehalusan prestasi enjin yang menggerakkan crossover tersebut. Suasana di dalam kabin terasa cukup senyap.

Satu hal yang penulis sedari, crossover baharu Subaru ini mempamerkan tindak balas responsif sebaik pedal minyak dipijak.

Merentasi trafik sesak sepanjang laluan Petaling Jaya ke Jalan Klang Lama, impak hentakan ketika tayar SUV berkenaan berlanggar dengan bonggol atau lubang tidak terlalu dirasai.

Sistem suspensi yang dipasangkan ternyata berhasil meningkatkan aspek keselesaan pada model tersebut.

Tiba di titik pemeriksaan pertama (check point) di Eagle Ranch Resort dekat Port Dickson, penulis dipertontonkan dengan satu demonstrasi bagi menguji ketangkasan Subaru XV di laluan pendakian yang tinggi dan licin.

Laluan tanah merah itu jika dilihat cukup mencabar kemampuan dimiliki model ini. Sebagai perbandingan, beberapa model saingan seperti Honda HRV dan Mitsubishi ASX turut sama diuji bersama dengannya dalam meredah laluan berkenaan.

Ternyata, sistem X-MODE yang disediakan untuk crossover ini memudahkan ia melepasi cerun berkenaan dengan begitu mudah sementara dua lagi SUV lain gagal.

Terima kasih diucapkan kepada kecekapan sistem cengkaman tayar (X-MODE) tersebut kerana berjaya membuktikan crossover tersebut berupaya meredah apa jua permukaan sekali pun.

Selesai ujian tersebut, perjalanan kemudian diteruskan ke check point terakhir di MIMC.

Ketika mengambil selekoh di laluan luar bandar yang bengkang-bengkok sekitar Linggi hingga ke Lubok China, olengan kerangka Subaru XV tidak begitu dirasai. 

Kehadiran kerangka jenis pacuan semua roda simetri (Symmetrical All Wheel Drive) jelas menawarkan corak kestabilan yang baik walaupun dipandu dalam keadaan agresif.

Lebih setengah jam memandu dari Port Dickson, penulis akhirnya tiba di MIMC dan di sini prestasi pemanduan sebenar dapat diadili sepenuhnya.

Dalam ujian litar tersebut, penulis berpeluang melakukan perbandingan antara Subaru XV dengan Honda HRV dan Mitsubishi ASX.

Sukar untuk dipercayai, Subaru XV tetap unggul di hadapan dua pencabarnya itu. 

Apa yang ketara, aspek pemanduan Subaru XV dibantu dengan kehadiran ciri-ciri kejuruteraan canggih lain antara kelebihan utama yang melonjakkan crossover tersebut mengatasi Honda HRV dan Mitsubishi ASX.

Bermula daripada fasa penyaluran kuasa dari ruang enjin ke gandar roda sehingga ke input stereng, prestasi dicorakkan Subaru XV berada pada skala kecekapan tertinggi jauh dibandingkan dengan model saingannya itu.

Selesai sahaja ujian tersebut, peserta bersiap untuk berangkat bagi perjalanan pulang ke Petaling Jaya.

Dalam perjalanan pulang, konvoi peserta diuji apabila hujan lebat mulai turun menghempas jalan raya.

Situasi tersebut sekali lagi menguji kemampuan Subaru XV terutamanya aspek cengkaman tayar model berkenaan.

Tidak keterlaluan dirasakan jika penulis melabelkan situasi tersebut tidak terlalu ekstrem bagi Subaru XV.

Ia direka dengan kelebihan ciri-ciri kejuruteraan selain aspek kelepasan permukaan (ground clearance) yang agak hebat, jadi tidak menghairankan jika pemanduan crossover itu cukup meyakinkan penulis sepanjang perjalanan tersebut.

Tidak dinafikan, pengalaman memandu Subaru XV merupakan pengalaman manis bagi penulis.

Ia merupakan sebuah SUV crossover moden dan sportif sesuai untuk kegunaan pelbagai peringkat umur, tidak kira tua mahupun muda.

Add new comment

banner articles

Berita Berkenaan

Uncategorized
Bukanlah penulis tidak gemarkan cabaran, namun ada masa tertentu penulis mahukan suatu benda yang…
Telah Diuji
Perkembangan ini amat menarik perhatian oleh kerana pihak pengeluar sudah mempercayai kualiti…
Kereta
Berikut merupakan input ringkas sepanjang dua hari memandu Nissan Serena S-Hybrid serba baharu ini…