PANDU UJI RINGKAS: Kia Optima GT - Khas untuk haters meroyan.

oleh HEZERI SAMSURI|

Sebut sahaja jenama Korea, akan muncul haters-haters (pembenci) dengan alasan-alasan lapuk kenapa kenderaan Korea perlu dijauhi.

Sebelum mereka mulakan, mari kita bantu mereka dengan menyenaraikan terus alasan tak kreatif mereka.

  1. Harga jual balik rendah
  2. Harga alat ganti tinggi
  3. Kereta tidak lasak
  4. Penggunaan bahan api tinggi

Itu adalah empat alasan utama yang sering diberikan oleh "pakar kereta" yang bencikan jenama Korea.

Kia Optima GT 1

 

Tidak mengapa kerana di sini kami senaraikan kenapa anda harus pertimbangkan Kia Optima GT yang kami pandu uji dari bandaraya Johor Bahru serba sempurna dan penuh kemajuan yang dibina oleh syarikat bumiputra tempatan untuk balik ke pekan Kuala Lumpur.

Enjin 2.0L atau 2,000 cc (masih ada yang tak faham rupanya beza antara liter dan cc ini) 4-silinder dengan pengecas turbo T-GDI (Turbo - Gasoline Direct Injection) menghasilkan 242 hp dan 350 Nm. 

Kia Optima GT memang jauh lebih bertenaga dari pesaing Jepunnya. Berbanding dengan Toyota Camry Hybrid yang menghasilkan 158 hp dan 213 Nm atau Honda Accord 2.4L dengan 173 hp dan 225 Nm. Kerana itu, harganya juga lebih tinggi pada RM179,888.

Transmisi 6-kelajuan automatik adalah dari jenis torque converter yang menjadi lazim. Tidak ada teknologi dwi-klac yang merisaukan poket.

Kia Optima GT 2

 

Kia Optima GT mampu melakukan pecutan dari kosong ke 100 kmsj dalam masa 7.4 saat. Perlahan? Honda Civic 1.5T yang lebih kecil dengan sticker Type R, Mugen, Sepun dan hood hitam bamper lebam yang sering dipandu oleh pelumba Formula 1 litar PLUS highway itu melakukan pecutan 0-100 kmsj dalam masa, ehemm ...8.2 saat. Proton Satria GTI dahulu melakukan pecutan yang sama dalam masa 8.2 saat juga (yang mungkin mampu dilakukan oleh pemandu ujian Proton sahaja).

Lawan sebenar Kia Optima GT ialah Volkswagen Passat 2.0 TSI yang melakukan pecutan 0-100 kmsj dalam masa 6.7 saat dan halaju maksimum 246 kmsj. Halaju Kia Optima GT yang kami dapat capai ialah dalam 220 kmsj. Namun Passat 2.0 TSI berharga dalam RM200,030 atas jalan tanpa insuran.

Di antara Passat, Camry, Sonata dan Accord, nyata Kia Optima GT nampak paling muda dan ganteng.

Lampu-lampu pada Kia Optima GT sangat modern - lengkap dengan lampu LED dengan teknologi Dynamic Bending Light (mengikut gerakan stereng), DRL jenis LED dan lampu belakang LED sepenuhnya.

Kia Optima GT 3

 

Gril Kia Optima GT berbeza dari Kia Optima varian pakcik anda. Kia Optima GT juga lengkap dengan bodykit, dua corong ekzos bujur telur dan roda aloi 18-inci yang dibalut dengan tayar Perancis Michelin Pilot Sport 3 bersaiz 235/45 R18. Lazat bukan? 

Bahagian kabin pula dibalut dengan kulit merah yang mengingatkan penulis kepada model Alfa Romeo yang seksi mengalahkan selebriti tempatan bergaya di tepi kolam renang.

Papan pemuka tidak begitu mengghairahkan sebenarnya, tetapi lebih sporti dari pesaing Jepunnya. Kelengkapan canggih termasuk pendingin hawa dengan Clean Air Ioniser, tempat duduk hadapan kawalan elektrik dengan fungsi penyejuk yang baik untuk punggung yang cepat panas, sistem navigasi yang kini obsolete kerana wujudnya Waze dengan suara Altimet, sistem start/stop tanpa kunci dan mod pemanduan (drive mode - Normal, Eco and Sport).

Kia Optima GT 4

 

Ia juga ada tempat pengecas tanpa wayar untuk telefon bimbit, bumbung panoramic, skrin sesentuh 4.3 inci TFT LCD, enam beg udara dan ESC, ABS, EBD serta Automatic Brake Hold.

Di atas jalanraya, Kia Optima GT ini tidak sekeras seperti yang disangka. Jalanraya sekitar bandar Johor Bahru, terutama jalan Wong Ah Fook yang acapkali dibaiki tidak begitu terasa kasarnya. Walaupun dengan tayar senipis itu, Kia Optima GT terasa selesa.

Bunyi ngauman enjin V8 itu benar-benar palsu dan datang dari speaker. Hairan juga mengapa masih ada yang ingatkan itu bunyi sebenar dari enjin kerana sekali imbas, kita sudah tahu ia setulen kasut Abibas di downtown dahulu.

Kia Optima GT 5

 

Tukaran gear lancar dan sistem komputer membantu menurunkan nisbah secara automatik bila ia mengesan pemanduan agresif di kawasan berselekoh. Ini membantu dan jika masih mahu kawalan, transmisi itu memberikan tukaran gear secara manual tetapi tidak secepat kotak gear DSG.

Dalam mod Sport, pemanduan dalam bandar terasa terenjut-enjut kerana RPM enjin dibiarkan tinggi. Lebih baik letak dalam mod Normal atau Eco bagi melancarkan pemanduan.

Mod Sport hanya dirasakan berkesan bila di lebuhraya atau bila kita memang mahu agresif. Bunyi deruman palsu enjin dikuatkan (harap ia boleh dilenyapkan terus kerana penulis tidak sanggup berpijak di bumi tidak nyata dengan bunyian fake itu) dan pendikit menjadi sensitif kerana menggunakan graf yang lebih sporti. 

Kia Optima GT 6

 

Pecutan mid-range hasil bantuan pengecaj turbo memang terasa - ia mampu meluncur laju dari kelajuan 110 kmsj hingga ke 220 kmsj, tanpa sebarang masalah lelah. Contohnya Honda Civic Turbo mula terasa semput selepas kelajuan mencecah 165 kmsj tetapi Kia ini, dengan enjin yang lebih besar, terus naik ke halaju maksimum sambil membuatkan penulis ternganga dan menjerit kecil Oh Oh. Bukan, terus membuatkan penulis beristighfar sebenarnya kerana prestasi Kimchi ini sudah layak menjadi saingan dari Jerman, bukan jenama lazim Jepun.

Dalam kelajuan tinggi itu, ia tidak begitu ada masalah "floaty" atau melayang tetapi ia juga tidak terasa se-solid kereta Jerman. Dan di antara banyak-banyak buatan Jerman, lagak pemanduan Kia Optima GT ini lebih mirip kepada Audi dan Volkswagen kerana ia sebuah FWD. 

Kia Optima GT 7

 

Masalah besar yang wujud pada Kia Optima GT ialah ia langsung tidak dihormati oleh pemandu sedan besar jenama Jepun dan Jerman. Masing-masing mengingatkan ini pastinya Optima standard gaban dipandu oleh pemandu poyo perasan power. Oleh itu, kesabaran diperlukan kerana ini adalah sebuah kenderaan yang hanya akan dihargai oleh peminat-peminat automotif sebenar.

Untuk menjawab empat alasan popular haters dari kumpulan J-Pop itu, ini jawapannya.

Harga jual-balik rendah?
Mereka yang memberi alasan itu memang tidak teringin untuk memiliki jenama BMW, Mercedes-Benz dan Audi kerana jenama itu akan terus hilang 20 peratus dari nilai mereka sebaik sahaja meninggalkan dewan pameran masing-masing.
Naza Kia pula kini menawarkan pakej Kia K5 di mana Naza Kia memberikan jaminan nilai kenderaan itu pada 50 peratus harga belian selepas lima tahun. Jadi dalam masa lima tahun, nilai jual balik Kia Optima GT ini dikunci pada RM90,000, sama atau lebih tinggi dari nilai 5-tahun pesaingnya. Tidak ada jenama lain yang memberi jaminan nilai jual balik begini di Malaysia.

Harga alat ganti tinggi?
Naza Kia telah berjaya menurunkan harga-harga alatganti mereka agar sama atau lebih murah dari jenama Jepun. Yang menariknya, kebanyakan model baharu Kia datang dengan pakej servis alatganti percuma selama tiga tahun!

Kereta tidak lasak?
Ini kelakar kerana sampai sekarang anda lihat Naza Citra, Naza Ria, Kia Forte, Kia Sephia dan Kia Spectra merayau di sekeliling negara. Tak apa, untuk memuaskan hati mereka, model-model baharu Kia datang dengan jaminan waranti 5-tahun tanpa had perbatuan.

Penggunaan bahan api tinggi?
Mereka yang beri alasan ini sebenarnya tidak tahu beza bentuk karburetor dengan mesin pengasah pensel. 
Enjin-enjin Kia sudah setanding dengan teknologi Jepun. Contohnya, Kia Sportage 2.0 AWD GT CRDi menghasilkan 183 hp dan 400 Nm tetapi menggunakan 6.5 liter bahan api untuk setiap 100 km (atau 15.4km setiap liter).

Kia Optima GT 8

 

Kerana itu, jika anda hendak membeli Kia Optima GT atau mana-mana Kia, dan ada pakar datang dan memberikan alasan, senyum, tundukkan kepala dan terus jalan ke hadapan.

Tinggalkan mereka di dalam kepompong mereka dengan kereta-kereta boria. 

Sambil itu, jika anda bekerja di Naza Kia, Careta mahu meminjam lagi Kia Optima GT ini untuk pandu uji yang lebih lama kerana rasanya ada lagi perkara-perkara istimewa berkaitan model sporti ini yang kami belum terokai.

Kia Optima GT

 

 

Add new comment