PANDU UJI: Perodua Myvi 1.3 Premium X - mobilnya sejuta umat!

oleh Mohamad Hanif|
Sebagai seorang yang sukakan segala benda 'straight to the point' dalam segala genap sudut kehidupan, sudah tentu aspek pemanduan juga menjadi satu bahagian yang memerlukan pemilihan yang tepat dan menyenangkan.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Bukanlah penulis tidak gemarkan cabaran, namun ada masa tertentu penulis mahukan suatu benda yang mudah dikendalikan, menyenangkan pemikiran dan memudahkan urusan seharian. 

 

Perodua Myvi 1.3 X ini diberikan kepada penulis hujung minggu lepas untuk memenuhi tugasan di utara selama lima hari dan tidak salah untuk penulis katakan, ia merupakan antara kereta yang memenuhi citarasa penulis katakan di dalam perenggan atas sebentar tadi. 

Rasanya, tidak perlu untuk penulis terangkan dengan lebih lanjut sejarah Myvi yang kini sudah memasuki generasi ketiga dengan rekaan in-house oleh para pereka tempatan yang diketuai oleh Muhamad Zamuren Musa. 

 


Secara asasnya, ia masih mengguna pakai platform yang sama seperti generasi terdahulu, namun rombakan besar dilakukan ke atas rekaan, styling luaran dan dalaman tanpa meniru mana-mana model daripada Toyota mahupun Daihatsu. 

Seperti mana yang anda lihat, styling Perodua Myvi generasi ketiga ini sebenarnya jauh lebih mengancam, meninggalkan imej 'rebadge' ke belakang. 

Rekaan yang boleh dikatakan seimbang daripada bahagian hadapan terus ke belakang, tanpa sebarang garisan badan yang sibuk dan dengan ciri bumbung yang direndahkan sedikit, menampakkan ia sebuah 'proper hatchback' yang sangat sporty walaupun tanpa sebarang kit badan pada model 1.3 X ini. 
 


Memasuki ruang kabin, rekaan papan pemuka yang serba baharu menyambut ketibaan pemandu dan penumpang. 

Kali ini, pujian harus diberikan kepada jurutera rekaan Perodua kerana telah menghasilkan satu produk yang berorientasikan pemandu, dengan sistem audio dan sistem pendingin hawa direka supaya menghadap kepada pemandu. 

Apa jua sistem pengoperasian mudah untuk ditukar dan dicapai dari kerusi pemandu tanpa perlu kerap mengalihkan pandangan dari hadapan. 
 


Tambah menyenangkan ialah sistem pendingin hawa jenis digital dengan fungsi memori memudahkan kita menetapkan suhu yang diingini terutama ketika cuaca panas melanda ataupun ketika memandu secara santai di malam hari mencari sesuap nasi. 

Sistem hiburan pada pendapat penulis, biasa-biasa sahaja, cukup sekadar memberikan muzik latar belakang ketika menunggu di dalam kesesakan lalu lintas di Kuala Lumpur. 
 


Tempat duduk Myvi 1.3 X ini hadir dengan kemasan fabrik rekaan ala bucket yang memegang kemas pemandu di atas jalan, dengan ciri muslihat bagi menampakkan lagi ruang kabin yang luas. 

Untuk penggunaan seharian ulang alik kerja melibatkan perjalanan jarak dekat, ia sudah memadai. 
 


Seiring dengan usia Myvi yang kini sudah generasi ketiga, reka bentuk meter Optimus Prime, maaf, Optitron telah dicampak jauh-jauh dan digantikan dengan panel meter yang lebih ringkas dan lebih matang, tiada warna-warni fancy yang bakal menyakitkan mata memandang. 

Cuma penulis harap, pihak Perodua boleh memperbaiki lagi panel meter ini oleh kerana pencahayaan yang agak terang pada waktu malam tanpa sebarang punat yang mampu mengubah kadar keterangan panel meter tersebut. 

Namun, sebenarnya ia tidaklah silau sesilau zaman Saga kereta kebal dengan warna biru sampai kereta sebelah pun boleh perasan. 
 


Ketika memulakan pemanduan dari Perodua HQ, terdapat beberapa selekoh sempit yang penulis kira cukup untuk melihatkan prestasi pengendalian Myvi baharu ini. 

Dengan sistem stereng jenis elektrik yang sama digunakan pada Bezza dan Axia, jurutera Perodua telah menala kembali supaya ia terasa lebih "direct" dan "straight to the point". 

Myvi bukanlah direka supaya pengendalian yang mantap seperti kereta mewah, namun pengendalian pada Myvi kali boleh dipuji kerana ia melakukan kerja dengan baik, malah ia sebenarnya lebih responsif terutama ketika mendaki dan menuruni kawasan Terowong Menora.
 


Apa yang pasti, enjin 1.3 liter Dual VVT-i empat silinder 1NR-VE yang sama digunakan pada Bezza 1.3 dengan kuasa 94 hp dan 121 Nm daya kilas menjalankan kerja-kerja mengedarkan kuasa dengan baik ke roda hadapan tanpa memberikan perasaan kurang kuasa yang ketara.

Dan ada ketikanya, penulis lupa bahawa model yang penulis pandu ini merupakan model 1.3 disebabkan ia sangat suka duduk di lorong kanan lebuhraya bersama-sama adik beradiknya yang lain. 
 


Gandingan bersama transmisi automatik empat kelajuan itu sebenarnya sudah lebih daripada mencukupi untuk kegunaan seharian, daya kilas yang mudah dicapai dan pecutan yang memadai, ia bukan dikhaskan untuk berlumba ya tuan-tuan dan puan puan. 
 


Ditambah pula dengan berat bersih Myvi di bawah lingkungan satu tan sahaja, pecutan mampu dilakukan dengan mudah dan ia memberikan bacaan penggunaan bahan api secara purata yang menjimatkan, sekitar 16.3 km/liter.

Ini bermakna, setangki penuh Myvi mampu memberikan jarak pengoperasian sejauh 586 km, atau dengan bahasa mudahnya anda mampu bergerak dari Klang ke Perlis memandu dengan sopan santun tanpa perlu kerap berhenti mengisi bahan api. 

Perlu diingatkan, angka tersebut tidaklah 100% tetap dan mungkin berbeza mengikut kadar keberatan kaki kanan seseorang. 

Ditambah pula dengan ciri Eco Idle yang membolehkan enjin dimatikan sementara ketika berhenti seketika di dalam kesesakan lalu lintas (dan di plaza tol, penulis terpaksa matikan fungsi ini sementara) menambahkan lagi tahap penjimatan bahan api untuk Myvi yang sudah tersedia jimat ini. 


Kadar kesenyapan kabin memang berbeza dengan ketara, oleh kerana penggunaan cermin hadapan jenis akustik menapis sebarang bunyi daripada menerobos masuk ke ruang dalam, bahkan bunyi enjin ketika pedal minyak ditekan juga hampir menyerupai bunyi mesin vakum yang sangat halus. 

Pertuduhan utama kepada penjahat bunyi bising bolehlah diajukan kepada permukaan jalan raya Malaysia yang multi-bangsa, maksud penulis dengan kualiti yang pelbagai, ada yang kasar, halus, sedang elok dan jerawat batu di bulan. 
 


Namun, ada satu kekurangan yang nyata pada Myvi baharu ini. 

Disebabkan berat bersih Myvi ini hanya sekitar 985 kg sahaja, ia mudah cenderung untuk terkesan dengan pukulan gelombang angin daripada kenderaan yang lebih besar seperti lori treler dan bas. 

Jangan salah faham, atas lebuhraya Myvi memang sudah ditala untuk lebih kestabilan berbanding model terdahulu, namun ketika berselisih dengan bas dan lori, pemandu yang kurang berpengalaman mungkin terpaksa bersilat lebih di belakang stereng bagi memastikan kenderaan sentiasa tepat di dalam lorong asal. 

Mungkin sekiranya kenderaan sarat dengan penumpang tidak memberikan kesan yang ketara berbanding penulis yang menggunakan Myvi bersendirian ketika ke Pulau Pinang tempoh hari. 

 


Pada waktu malam, lampu hadapan jenis LED memberikan pencahayaan yang sekata menerangi jalan di hadapan, dan perlu diingatkan supaya sentiasa memastikan lampu hadapan tidak silau menyuluh pemandu dari arah bertentangan. 

Terus terang cakap, lampu jenis ini penulis kurang gemari oleh kerana pencahayaan yang terlalu terang sekiranya ditenung dari arah hadapan. 

Bagi mereka yang ada silau malam, kemungkinan besar akan menyumpah mana-mana pemilik Myvi yang tidak mengguna pakai suis mengubah ketinggian suluhan lampu hadapan di tempat pemandu. 
 


Sistem keselamatan pasif yang didatangkan pada Myvi 1.3 X ini sewajarnya dipuji kerana ia hadir dengan sistem ABS, EBD, Stability Control, cagak ISOFIX dan paling menakjubkan empat buah beg udara hadapan dan sisi, bukannya dua buah beg udara seperti kelaziman pengeluar pada model varian terendah.

Ia membolehkan Perodua Myvi kini menerima penarafan lima bintang menerusi ujian kenderaan baharu oleh Asean NCAP, naik satu bintang dari model terdahulu!

Syabas kami ucapkan kepada Perodua kerana telah menetapkan standard baharu kepada kenderaan segmen B hatchback ini untuk diikuti oleh pengeluar-pengeluar yang lain. 
 


Ciri-ciri unik dan mesra rakyat Malaysia juga turut didatangkan seperti cangkuk anti-ragut pada kerusi penumpang hadapan, serta cangkuk untuk menyangkut teh tarik kurang manis ikat tepi dari kedai mamak berhampiran. 

Dunia digital masa kini memerlukan pengguna aktif online sepanjang masa (Malaysia antara pengguna internet paling aktif di dunia) dan oleh itu, pihak Perodua memberikan ruang meletak smartphone pada kerusi hadapan digandingkan dengan port pengecasan USB untuk penumpang belakang. 

Cukup praktikal dan pada masa yang sama, menjimatkan penggunaan ruang tanpa wayar yang berselirat di dalam kenderaan. 
 


Penggunaan ruang yang pintar juga turut dipraktikkan pada ruang kargo di belakang kerana memberikan ruang sebesar 277 liter antara yang terbaik di dalam kelasnya dan masih mampu memuatkan tayar simpanan bersaiz penuh, berbanding sesetengah pengeluar yang hanya mendatangkan tayar simpanan jenis space-saver dan ruang boot yang lebih kecil. 
 


Kesimpulan mudahnya, Myvi semua orang sudah tahu tahap prestasi, track recordnya yang sangat cemerlang dan harga jualan pasaran terpakai yang kekal utuh menjadi bualan dan pujaan ramai peminat automotif di dalam negara. 

Dengan Myvi baharu generasi ketiga ini, ia telah menetapkan satu aras atau standard baharu yang kini menyukarkan model pesaing untuk mencapai tahap tersebut. 
 


Harga Perodua Myvi 1.3 Premium X ini bermula dari RM45,581.32 di atas jalan tanpa cukai jalan, insurans dan pendaftaran yang berkaitan dan didatangkan dengan jaminan pengeluar selama lima tahun atau jarak perbatuan 150,000 km (yang mana terdahulu). 

Perodua juga turut menawarkan beberapa kit Gear Up yang mampu menaikkan lagi seri Myvi anda pada harga bermula dari RM320 sahaja.

Berbaloi?


Ya, ia sebenarnya sudah mencukupi untuk anda yang olskool, tidak mahukan sebarang teknologi yang canggih manggih, dan masih perlukan sebuah kereta praktikal yang mudah dan murah untuk digunakan untuk membawa anda dari poin A ke poin B.  

Ditambah pula dengan betapa larisnya jualan Myvi yang sehingga kini sudah mencatatkan tempahan melebihi 115,000 unit dengan 65,000 unit kini sudah berjaya didaftarkan di atas jalan

Dan Ya! Inilah kenderaan sejuta umat rakyat Malaysia!
 

Berita Berkenaan

Telah Diuji
Siapa yang tidak kenal dengan SUV Honda CRV yang merupakan SUV terbesar dalam kalangan keluarga SUV…
Telah Diuji
Varian tertinggi terbaharu ini merupakan gabungan trenkuasa hibrid antara petrol dan motor elektrik…
Telah Diuji
Selain daripada jenama automotif Jepun, mereka yang mahukan kelainan boleh mendapatkan SUV jenama…