Pandu Uji: Mercedes-Benz EQS 500 4MATIC - lebih bertenaga, tapi....

oleh Mohamad Hanif|
Ketika Mercedes-Benz mula memperkenalkan sedan elektrik pertama mereka semasa dunia sedang mula sembuh dari pandemik, perasaan penulis ketika itu bercampur-baur.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Ya, ia sebuah sedan, namun dengan bentuk badan aneh yang agak mendahului zaman.

Kalaulah flux capacitor dari filem Back to The Future itu wujud, penulis mahu sahaja mencapai kelajuan 88 batu sejam untuk kembali ke masa lalu dan menyuruh pereka Mercedes-Benz mengubah kembali rekaan EQS ini menjadi sedan tiga kotak yang lebih tradisional.

Tapi itu dulu.

Setelah penulis 'bercinta' dengan EQS 500 4MATIC versi pemasangan kilang Pekan ini selama beberapa hari, baharulah penulis faham kenapa sedan EQS sengaja direka sedemikian.

Berikut merupakan ulasan ringkas kami:

 

1. Penyakit kebimbangan jarak padam? Ya!

EQS


Untuk makluman, sebelum ini Mercedes-Benz Malaysia telah melancarkan EQS versi import sepenuhnya dalam varian 450+, membawakan motor elektrik tunggal 329 hp dengan jarak gerak 782 km.

Versi CKD pula nyata lebih mewah, dengan motor elektrik berkembar 449 hp dan 828 Nm, dengan pek bateri 108.4 kWh yang membenarkan jarak pemanduan sejauh 696 km.

Lebih berkuasa, namun jarak pemanduan terpaksa dikorbankan sedikit.
 

EQS


Namun bagi penulis, mana-mana EV dengan jarak gerak melebihi 600 km itu sudah lebih daripada memadai untuk perjalanan dalam bandar, atau sekali sekala membuat perjalanan jauh pulang ke kampung.

Apa yang anda perlu risau ialah kewujudan stesen pengecasan berdekatan dengan destinasi, kerana tak semua tempat ada kemudahan itu.

Sama juga halnya semasa kami berpeluang memandu uji sedan elektrik EQE 350+ tempoh hari.

 

2. Sedan ini tak perlukan pecutan lebih berkuasa, sebenarnya.

EQS


Ya, ini perasaan pelik yang penulis alami apabila mengetahui sedan ini dilengkapi dengan dua motor elektrik.

Ini kerana berdasarkan pandu uji EQS 450+ pada tahun lepas, penulis dapati prestasi pecutan daripada motor elektrik tunggal itu sudah lebih daripada memadai untuk menggerakkan badan sedan seberat 2.5 tan ini.

Jadi, apakah keperluan untuk menambah sebuah lagi motor elektrik selain daripada mengurangkan jarak gerak yang sudah tersedia cemerlang itu? Entah.

Berita kurang enak, anda kini tidak lagi dibolehkan untuk membeli EQS 450+ memandangkan EQS 500 4MATIC versi CKD sudah pun mula ditawarkan di sini.

 

3. Pemanduan rasa mewah?

EQS


EQS senang cerita ialah sebuah S-Class dalam dunia kenderaan elektrik, namun dengan rekaan badan yang aerodinamik.

Dengan kadar pekali seretan serendah 0.20, ia menjadikan EQS salah satu kereta produksi paling aerodinamik dalam dunia, menyumbang kepada jarak gerak yang mampu mencecah 700 km.

Tidak seperti S-Class versi petrol yang tampak lebih elegan, EQS ini tidak memberikan rasa kemewahan yang sebenar jika dilihat dari beberapa sudut, mungkin sekali disebabkan bentuknya.
 

mewah


Namun bila duduk di dalam kabin, elemen 'kemewahan' mula terserlah, dengan ruang dalaman yang lebih luas, suasana yang senyap tanpa sebarang gegaran dan bunyi daripada trenkuasa, malah sistem gantungan udara bertindak baik menapis segala ketidakrataan jalan raya Malaysia yang cemerlang itu.

Susun atur komponen pemanduan pula lebih kurang sama dengan model sedan ICE Mercedes, jadi pemanduan dirasakan tidak begitu janggal walaupun EQS kini sebuah sedan elektrik yang sebenar.

Untuk mula memandu, tekan sahaja butang on/off, dan untuk memandu/mengundur hanya perlu menarik tuil kanan di belakang roda stereng.
 

eqs


Malah, mod pemanduan juga lebih kurang sama sahaja dengan apa yang ditawarkan pada model ICE, kebanyakan masa penulis lebih gemar membiarkan ia pada mod Comfort.

Cuma EQS - sama seperti model EV Mercedes yang lain - cenderung untuk membuai disebabkan tetapan suspensi yang agak lembut, tidak padan dengan berat badan yang ditampung.

Untuk menempuh kebanyakan bonggol yang tidak mengikut spesifikasi kilang, anda ternyata perlu lebih berhati-hati dan perlahan supaya permukaan jalan tar yang tinggi itu tidak mencalarkan bahagian bawah badan sedan elektrik ini.

Seperkara yang penulis suka ialah kehadiran ciri stereng gandar belakang, ternyata ia mampu memudahkan urusan pengendalian sedan yang agak panjang ini di laluan masuk parkir yang sempit, terutama di kawasan kediaman dan pusat membeli belah.

 

4. Duduk dalam rasa mewah?

eqs


Secara standard, EQS 500 4MATIC didatangkan dengan upholsteri balutan kulit Nappa yang selesa, dan untuk pemandu dan penumpang hadapan diberikan sepasang bantal leher yang sangat selesa dan adakalanya terlalu selesa sepanjang pemanduan.

Sama seperti EQS 450+, EQS 500 4MATIC juga mendapat MBUX Hyperscreen yang terdiri daripada tiga skrin berbeza - skrin kluster 12.3 inci, skrin hadapan penumpang 12.3 inci dan skrin tengah sebesar 17.7 inci.

Tidak cukup dengan itu, terdapat dua lagi skrin yang dipasangkan pada bahagian belakang tempat duduk hadapan, serta sebuah tablet kecil yang juga boleh digunakan untuk mengawal sistem MBUX itu tadi.
 

eqs


Pengalaman yang sama dinikmati pada mana-mana model Mercedes - paparan grafik yang cukup jelas dan tajam, dan masih lagi boleh dibaca terutama di bawah sinaran mentari yang terik pada waktu tengah hari.

Bagi penulis, apa yang ditawarkan pada ruang kabin menjadikan EQS kurang mewah berbanding S-Class dan C-Class, disebabkan saiz skrin yang terlalu besar.

Ditambah pula dengan penggunaan kemasan plastik hitam berkilat pada sesetengah tempat yang lebih mudah memerangkap habuk dan cap jari tangan.

Mungkin selepas ini penulis perlu membeli sarung tangan khas untuk memandu sebuah sedan Mercedes-Benz.
 

eqs


Satu kekurangan ketara yang wujud pada sedan EQS ini ialah posisi sistem pencahayaan ambien yang sama paras dengan medan penglihatan - satu disebabkan oleh saiz papan pemuka yang agak memakan ruang dan kedua, penulis gemar duduk rendah disebabkan tidak mahu rasa macam memandu sebuah SUV.

Jika tidak dilaraskan tahap kecerahan pencahayaan ambien tersebut, ia mampu menjadikan EQS ini sekan sebuah kedai tomyam bergerak, di mana cahayanya boleh dikesan oleh radar sebatu jauhnya.

Seperkara lagi ialah butang kawalan sensitif sentuhan pada roda stereng yang ada kalanya sukar untuk dioperasikan.

Penulis sebenarnya rindu pada kemasan yang wujud pada model-model C-Class dan E-Class yang terdahulu. Serius.

 

5. Pengecasan pantas bawah satu jam

eqs


Walaupun EQS 500 4MATIC ini menawarkan jarak gerak  yang jauh, ia juga perlu dicas sama seperti model EV yang lain.

Secara standard, EQS mampu menyokong pengecasan pantas sehingga 200 kW di mana SoC 10 hingga 80 peratus boleh dicapai dalam masa 31 minit.

Jika anda ada kemudahan wallbox (11 kW) di rumah, kapasiti bateri EQS ini boleh dicas penuh sehingga 100 peratus dalam tempoh 10 jam.

Mungkin keperluan untuk mengecas sedan elektrik ini hanya ada pada hujung minggu, jika perjalanan harian anda ke pejabat lebih banyak menempuh kesesakan jalan raya dan jarak gerak tidak melebih 50 km.

 

Poin Ekstra: Kualiti pemasangan tempatan

eqs


Kami ulang, sedan EQS 500 4MATIC yang kami pandu uji ini merupakan sedan pemasangan tempatan (CKD) dari kilang Pekan, Pahang, bagi menggantikan sedan EQS 450+ yang diimport (CBU).

Berdasarkan pemanduan selama beberapa hari, apa yang penulis dapat rasakan ialah kualiti pemasangan yang dilakukan oleh anak-anak tempatan yang konsisten dan selari dengan imej jenama Mercedes-Benz itu sendiri.

Biarpun ada beberapa perkara yang penulis kurang gemar pada sedan EQS ini, namun secara keseluruhan penulis agak berpuas hati memandu sedan elektrik tanpa setitik minyak cemar alam.

Rasa kualiti pemanduan yang sama tidak berubah, spesifikasi yang lebih berkuasa dan anda boleh dapatkan kesemua pakej yang disebutkan di atas pada harga RM50,000 lebih murah.

Satu perkara yang harus anda tahu, Mercedes-Benz EQS 500 4MATIC merupakan sedan elektrik pertama Mercedes yang dipasang di Malaysia, lokasi ketiga di luar Jerman selepas India dan Thailand.

 

Spesifikasi ringkas:

eqs


Mercedes-Benz EQS 500 4MATIC CKD
Dua motor elektrik, 443 hp, 838 Nm
Pecutan 0-100 kmsj 4.8 saat
Kelajuan tertinggi 210 kmsj
Pek bateri 108.4 kWh, Jarak gerak 696 km (data WLTP)

 

Berita Berkenaan

Telah Diuji
Siapa yang tidak kenal dengan SUV Honda CRV yang merupakan SUV terbesar dalam kalangan keluarga SUV…
Telah Diuji
Varian tertinggi terbaharu ini merupakan gabungan trenkuasa hibrid antara petrol dan motor elektrik…
Telah Diuji
Selain daripada jenama automotif Jepun, mereka yang mahukan kelainan boleh mendapatkan SUV jenama…