Kalau diikutkan sejak CX-5 generasi kedua ini mula dilancarkan pada tahun 2017, sudah enam kali model ini dikemaskini demi memastikan ia terus kekal malar segar di dalam pasaran.
Jika anda perasan, CX-5 juga merupakan antara model penting Mazda di sini.
Lihat saja betapa banyak kelibat model-model CX-5 ini di atas jalan, baik dari model generasi pertama, sehinggalah kepada model CX-5 yang telah dilancarkan sebelum pandemik melanda.
Untuk sesi pandu uji kali ini, kami diberikan peluang untuk bercinta dengan model CX-5 2.5T AWD secara lebih mendalam, dan ini merupakan hasil dapatan kami:
1. Rupa paras luaran yang kekal premium dan elegan
Jika dibandingkan dengan model pesaing, CX-5 merupakan antara model yang tidak memerlukan perubahan rekaan yang ketara untuk kekal relevan.
Ia masih lagi membawakan elemen rekaan Kodo yang menjadi identiti jenama Mazda sejak sekian lama.
Elemen pembaharuan yang dibawakan termasuklah unit lampu utama yang lebih nipis, lampu nyalaan siang DRL LED berbentuk L berkembar seakan model BMW, struktur jeriji yang lebih kompak, serta penggunaan warna krom yang tidak keterlaluan.
Unit lampu belakang juga turut diberikan pendekatan yang hampir sama dengan lampu depan, menghilangkan terus identiti grafik lampu berbentuk bulat yang terdapat pada model terdahulu.
Mengakhiri perubahan di bahagian luar ialah set rim aloi rekaan baharu bersaiz 19 inci yang lebih aerodinamik.
Sesetengah orang mungkin berpendapat ia merupakan satu perubahan yang tidak perlu, namun bagi penulis tiada salahnya Mazda CX-5 ini diberikan kemaskini seperti yang disebutkan tadi.
Setidak-tidaknya, Mazda CX-5 facelift ini membawakan penampilan yang kekal premium dan elegan jika dibandingkan dengan model pesaing.
2. Kabin kekal minimalis
Salah satu ciri yang penulis suka pada mana-mana kereta Mazda ialah susun atur papan pemuka yang ringkas dan minimalis.
Ia tidak memerlukan elemen rekaan yang 'fancy' dan ranggi sehingga boleh mengganggu tumpuan pemanduan.
Secara standard, CX-5 dibekalkan dengan skrin infohibur sebesar lapan inci, sistem kamera keliling 360 darjah, roda stereng balutan kulit, skrin MID TFT bersaiz tujuh inci, dan paling penting ia kini menyokong sambungan Apple CarPlay secara nirwayar.
Tiada perubahan yang ketara dibawakan, namun Mazda CX-5 masih lagi mengekalkan kualiti binaan yang sukar untuk ditandingi bagi memastikan pemanduan yang selesa sepanjang perjalanan.
Selain ruang kabin yang cukup luas, Mazda CX-5 turut menawarkan ruang kargo sebesar 442 liter - sesuai untuk memuatkan segala macam barangan dan keperluan semasa pulang bercuti.
3. Enjin 2.5 turbo, sangat berkuasa!
Satu kelebihan yang ada pada varian CX-5 yang kami pandu uji ini ialah penggunaan enjin Skyactiv-G 2.5 liter turbo dengan hamburan kuasa yang tertinggi di dalam kelasnya.
Secara standard, kuasa setinggi 228 hp dan 420 Nm itu disalurkan kepada sistem pacuan semua roda (AWD) menerusi kotak gear automatik enam kelajuan.
Gandingan enjin, transmisi dan sistem pacuan AWD ini sangat mudah untuk dikendalikan, dengan kuasa yang mudah untuk dikawal sewaktu permulaan pergerakan menjadikan pemanduan yang lebih lancar terutama di dalam bandar.
Karakter sebenar CX-5 turbo ini sebenarnya lebih terserlah apabila jalan raya berubah menjadi laluan tiga lorong yang lurus.
Kuasa yang terpendam itu sedia untuk dieksploitasi (dan disalahgunakan) pada bila-bila masa diperlukan, tekan saja pendikit minyak dan ia mampu untuk memalukan SUV acah terpaling turbo di laluan kanan lebuh raya.
Sepanjang tempoh pandu uji, penulis beberapa kali membayangkan bagaimana rasanya jika enjin 2.5 liter turbo ini disumbatkan dalam Mazda3 liftback - mungkin sekali ia bakal menjadi salah satu hot hatch yang sangat seronok untuk dipandu....
Angan-angan itu percuma.
4. Sistem AWD yang cekap, namun dipadankan dengan tayar yang salah
Entah kenapa, SUV AWD dengan nadi turbo ini dipadankan dengan tayar yang tidak menyokong sebarang usaha untuk menikmati pemanduan berprestasi tinggi.
Ya, ia masih lagi mampu menawarkan pemanduan yang senyap tanpa mengira kualiti jalan yang digunakan. Dengan sistem AWD, tahap pecutan dan cengkaman yang diberikan juga adalah jauh lebih baik.
Sistem brek juga beroperasi dengan cemerlang untuk menghentikan pergerakan SUV ini terutama dalam situasi yang lebih memerlukan.
Atas laluan lebuh raya, Mazda CX-5 2.5T ini juga menunjukkan tahap kestabilan yang agak baik dengan olengan badan yang minima.
Namun, tayar standard Toyo Proxes yang digunakan pada keempat-empat sudut ini mula menunjukkan hadnya apabila meter kelajuan menunjukkan tiga angka yang tidak boleh diberitahu nilai sebenarnya di sini.
Malah perasaan yang sama turut dialami apabila SUV ini dipandu di laluan berselekoh yang menyeronokkan seperti litar Kuala Lumpur-Karak, di mana penulis terpaksa patuh memandu pada kelajuan yang lebih selamat untuk dikawal.
Agak ralat juga bila sebuah SUV yang agak berkuasa dipadankan dengan set tayar yang salah.
Secara teorinya, ia boleh pergi dengan lebih pantas, namun anda memerlukan balutan getah yang lebih sesuai.
Jadi, antara pelaburan pertama yang perlu anda buat ialah dengan melaburkan duit ekstra untuk set tayar yang jauh lebih baik berbanding tayar standard kilang.
Khas untuk model CX-5 2.5T AWD ialah kehadiran mod pemanduan Off-road yang boleh dipilih menerusi tombol suis Mi-Drive pada konsol tengah.
Sangat membantu terutama ketika sedang menempuh laluan yang tidak rata, berpasir atau berlumpur semasa mencari lokasi 'healing' hujung minggu.
5. Anda sedia berkawan dengan stesen minyak?
Satu kekurangan yang nyata ada pada Mazda CX-5 2.5 Turbo AWD ini ialah kadar penggunaan bahan api yang tidak begitu menjimatkan.
Walaupun dengan kemahiran memandu secermat mungkin, agak sukar untuk mendapatkan tahap penjimatan yang terbaik apabila memandu CX-5 turbo ini.
Namun, pada pendapat penulis tahap penggunaan bahan api CX-5 turbo ini adalah jauh lebih baik jika dibandingkan dengan sebuah lagi SUV segmen C buatan tempatan.
Jika anda bukan seorang kaki pecut, dan tidak memerlukan sistem pacuan semua roda, pilih saja varian CX-5 yang lain.
6. CX-5 Turbo, antara pilihan SUV yang selamat
Selain daripada ciri keselamatan asas seperti enam beg udara, ABS, EBD, Bantuan Brek, dan Bantuan Mula Mendaki, CX-5 2.5T AWD juga didatangkan dengan Sistem Kawalan Cengkaman yang dibantu dengan Offroad Traction Assist - ciri yang sangat berguna untuk pemanduan off-road yang ringan.
Tidak ketinggalan, segala fungsi bantuan pemandu termaju (ADAS) termasuklah sokongan brek pintar dalam bandar (SCBS), amaran lintasan trafik belakang (RCTA), sistem pemantauan titik buta (BSM), kawalan suluhan tinggi (HBC), Mazda Radar Cruise Control (MRCC) dan Cruising & Traffic Support (CTS).
Untuk makluman, Mazda CX-5 2.5T AWD versi pemasangan tempatan ini dijual pada harga bermula dari RM188,760.40.
Spesifikasi ringkas Mazda CX-5 2.5T AWD 2024
Enjin empat silinder sebaris Skyactiv-G, 2.5L turbo
228 hp @ 5,000 rpm, 420 Nm @ 2,000 rpm
Kotak gear automatik enam nisbah kelajuan
Sistem pacuan semua roda (AWD)
Kapasiti tangki bahan api 58 liter
Suspensi topang MacPherson/Multi-Link
Jarak kelegaan tanah 193 mm
Harga: RM188,760.40