PANDU UJI: Honda HR-V 1.8L V - Praktikaliti dan keselesaan di bawah satu bumbung

oleh Mohamad Hanif|
Honda HR-V ini sememangnya tidak perlu diperkenalkan lagi oleh kerana model popular ini sudah banyak dilihat melata di atas jalan Malaysia.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01

Bersaing dengan jenama seperti Mazda CX-3, Renault Captur dan Peugeot 2008 (sekadar menyebut beberapa jenama), ternyata Honda HR-V ini pantas mendapat tempat di kalangan masyarakat. 

Honda menawarkan tiga varian untuk HR-V, iaitu S, E dan varian tertinggi V dengan harga jualan di atas jalan bermula dari RM98,060. 

Kami diberi kesempatan selama empat hari untuk menguji varian paling lengkap di dalam penawaran model HR-V iaitu varian V dengan tanda harga jualan bermula dari RM117,430.


Dibina menggunakan platform Honda Jazz/City, Honda HR-V ini dilihat membawa masuk beberapa ciri praktikaliti yang ada pada adiknya itu dengan tambahan ciri menarik bagi membezakan fungsi sebenar Honda HR-V sebagai sebuah crossover sejati. 

Dengan jarak kelegaan tanah yang dibina lebih tinggi (170 mm), ia memudahkan pemandu mengendalikan Honda HR-V pada keadaan jalan yang kurang memuaskan tanpa perlu risau kemungkinan merosakkan lantai bawah crossover ini. 

Ditambah lagi dengan penggunaan rim sebesar 17 inci, ia menampakkan lagi imej gagah dan sporty Honda HR-V. 
 


Honda HR-V ini dijana menggunakan enjin petrol empat silinder 1.8 liter menghasilkan kuasa sebanyak 140 hp dan kuasa tork 172 Nm, ia cukup mudah untuk menggerakkan crossover ini dari pegun walaupun ngauman dari CVT ketika proses memecut agak sedikit mengganggu ketika pemanduan. 

Walaupun begitu, dari segi pengendalian, Honda HR-V ini amat senang dikendalikan baik di dalam bandar mahupun semasa melayan selekoh di Bukit Putus. 

Penulis mendapati walaupun dengan penggunaan stereng berkuasa elektrik ini, kereta amat mudah patuh kepada arahan pemandu ketika mengelak lubang-lubang yang sememangnya sinonim dengan jalan raya Malaysia yang serba indah ini.

Tiada perasaan palsu dikesan ketika memandu, walaupun ada ketikanya stereng dirasakan sedikit berat ketika pemanduan halaju rendah di kawasan parkir pusat membeli belah. 
 


Namun, ia bukan suatu perkara yang besar, oleh kerana HR-V ini sememangnya mudah dikendalikan dengan bantuan kamera undur yang tepat memberikan jarak di antara halangan dan juga badan kereta. 

Memandu HR-V di kelajuan yang tinggi di lebuhraya juga tidak mendatangkan masalah oleh kerana pengendalian yang baik serta tidak terasa kadar olengan yang ketara. 

Dari segi sistem gantungan, HR-V ini menggunakan topang McPherson di hadapan dan torsion beam di bahagian belakang yang di tala sedikit lembut bagi memberikan keselesaan kepada penumpang mengharungi pelbagai permukaan jalan. 
 


Satu perkara yang cukup digemari oleh rakyat Malaysia ialah dengan mempergunakan semaksima mungkin ruang di dalam kereta bagi memuatkan hasil membeli belah untuk kegunaan seharian. 

Ciri Seat Ultra yang dibawakan secara terus dari Honda Jazz membolehkan penulis dapat meletakkan hasil borongan membeli belah tadi mengikut citarasa yang diingini.  

Dengan rekaan yang fleksibel, kerusi belakang boleh dilipat ke atas bagi meletakkan barang di tengah, ataupun dilipat ke hadapan bagi memuatkan barangan yang lebih besar seperti almari kaca Detolf Ikea oleh kerana penulis memerlukan ruang tambahan bagi memuatkan diecast dan juga model kit Gundam. 

Ciri ini sememangnya menambah lagi ciri praktikaliti yang ditawarkan oleh Honda HR-V ini. 
 


Tidak cukup dengan itu, Honda juga melengkapkan HR-V ini dengan beberapa ciri storan kecil seperti tempat meletak telefon di tepi konsol tengah dan tempat meletak minuman yang boleh dilaras mengikut keperluan. 

Ciri sebegini tampak kecil, namun ia amat berguna ketika pemanduan jauh untuk pulang ke kampung halaman.
 


Selain itu, Honda HR-V ini turut didatangkan dengan bantuan pencahayaan suram pada bahagian kaki pemandu, penumpang hadapan serta lampu side-steps bagi menambah lagi efek mewah pada crossover ini pada waktu malam.

Turut membantu ketika pemanduan pada waktu malam ialah pencahayaan daripada lampu jenis projektor LED yang cukup terang menyuluh jalan dan kombinasi lampu LED di bahagian belakang membantu pemandu lain mengesan kereta ini ketika cuaca buruk. 
 


Secara keseluruhannya, penulis amat berpuas hati dengan pakej yang ditawarkan oleh Honda HR-V ini sepanjang empat hari penggunaan. 

Penulis berpendapat, Honda HR-V ini sesuai untuk golongan bujang yang memiliki gaya hidup aktif mahupun golongan berkeluarga yang ingin beralih selera daripada sedan kepada sebuah kenderaan keluarga pelbagai guna. 

Gandingan aspek praktikaliti, imej yang sporty, keselesaan yang sememangnya sinonim dengan kenderaan Jepun, dan logo H yang menjadi pujaan rakyat Malaysia, Honda HR-V ini sememangnya berbaloi untuk dimiliki.

Spesifikasi ringkas Honda HR-V 1.8L V
Enjin 1.8 liter DOHC 4 silinder (140 hp/172 Nm tork)
Transmisi CVT, pacuan roda hadapan
Penggunaan bahan api 6.6 L/100 km (NEDC)
Kapasiti tangki bahan api 50 liter
Suspensi MacPherson (depan) dan torsion beam (belakang)
Saiz tayar 225/55 R17
6 beg udara SRS, ABS, EBD, ESC, cagak ISOFIX, Emergency Stop Signal (ESS), Brake Hold, kamera undur multi sudut, brek parkir elektronik
RM117,430.00 atas jalan tanpa insurans.
 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Jelasnya, pemeriksaan yang teliti terhadap keretanya telah dilakukan dan pihak Honda mendapati…
Berita Global
Menurut Consumer Reports, kempen panggil semula perlu dibuat disebabkan oleh risiko keselamatan…
Berita Domestik
Menurut perkongsian Noriya di Facebook, kereta yang diterimanya pada 26 Ogos 2023 mula mengalami…