Pandu Uji: Honda CR-V 1.5 Turbo AWD - Masih berbaloi untuk tahun 2023

oleh Mohamad Hanif|
Ketika artikel ini ditulis, berkemungkinan besar golongan muda sedang berkira-kira untuk menyambar SUV terkecil Honda, iaitu model WR-V yang baru sahaja dilancarkan.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Ya, sekarang ini semua orang mahukan SUV. Baik golongan muda, golongan pertengahan, serta geng-geng cikgu pencen.

Yang muda-muda, pilihan mereka sememangnya WR-V dan HR-V yang sedia moden itu, tapi ada satu SUV yang sangat-sangat sesuai untuk dipandu oleh golongan dewasa serta yang sedang mula untuk menikmati kehidupan pasca pekerjaan.

Honda CR-V.
 

crv


Tidak perlu diperkenalkan lagi, memang Honda CR-V salah satu SUV yang popular di atas jalan.

Pergi ke mana sahaja, anda akan terserempak dengan CR-V. Tanpa mengira generasi, tanpa mengira warna. Boleh dikatakan Honda CR-V ini satu pilihan kereta yang lalai (default).  

Setelah seminggu lebih memandu uji Honda CR-V ini, penulis dapat menyimpulkan lima perkara yang membuatkan model ini masih lagi sangat berbaloi untuk dimiliki.
 

1. Bukan SUV geng pencen!

crv


Satu perkara yang membuatkan CR-V menjadi pilihan ramai ialah reka bentuknya yang sedia sporti sejak dari mula (khas untuk generasi kelima dan ke atas).

Tidak perlu ubahsuai berlebihan, malah penulis beranggapan rupa paras CR-V ini sudah cukup menawan sejak keluar dari kilang.
 

crvv


Unit lampu LED yang cukup terang untuk pemanduan malam, lampu belakang dengan efek asap, tip ekzos trapezoid berkembar, serta rim 18 inci dengan corak kelopak bunga.

Sesuai sangat untuk dipandu geng-geng pencen yang nak merasai jiwa muda.


2. SUV yang sangat praktikal

crv


Selain daripada rupa paras yang sporti, Honda CR-V juga mempunyai satu kelebihan yang sukar ditandingi oleh mana-mana SUV – pakej yang praktikal.

Secara standard, CR-V menawarkan ruang kargo sebesar 522 liter yang boleh diakses menerusi pintu tailgate bebas tangan.

Tidak cukup dengan itu, anda boleh pulang dari IKEA dengan membawa muatan perabot di ruang belakang sebesar 1,084 liter, dengan syarat tempat duduk baris kedua dilipat.

Honda CR-V juga sangat tidak kedekut ruang untuk menyimpan barang.
 

crb


Terdapat ruang pada panel pintu, konsol tengah yang boleh memuatkan cawan minuman yang besar, serta ruang tambahan di bawah tempat merehatkan lengan.

Pakej praktikal itu turut disekalikan dengan ruang kabin yang sangat selesa untuk memuatkan lima orang pada satu-satu masa.

Sesuai untuk seisi keluarga berjalan-jalan dan makan angin.

 

3. Pakej kuasa yang berpadanan

crv


Unit yang kami pandu uji merupakan unit Honda CR-V 1.5 liter turbo i-VTEC dengan hamburan kuasa 193 PS dan 243 Nm yang dipadankan dengan sistem pacuan semua roda (AWD) dan transmisi CVT.

Secara asasnya, bagi mereka yang memiliki jiwa kesederhanaan, kuasa yang ditawarkan itu sudah lebih daripada memadai untuk pemanduan seharian.

Cuma dalam keadaan tertentu, anda mungkin dapat merasakan SUV ini mengambil masa untuk menyalurkan tenaga kepada empat roda terutama semasa memotong kenderaan atau sedang memecut untuk mengelakkan lampu isyarat segera bertukar merah.
 

crv


Di atas lebuh raya, SUV ini memang selesa dengan kadar NVH (kebisingan, gegaran, kekasaran) dikekalkan pada tahap minimum, dan amat mudah untuk mengekalkan kelajuan malar terutama selepas jarum meter melepasi tiga digit.

Seperkara yang membuatkan penulis kagum ialah talaan terhadap sistem stereng, di mana ia amat mudah untuk dioperasikan, tidak terlalu berat atau terlalu ringan sehinggakan terpaksa bersilat untuk mengawal SUV ini.

Dengan bantuan sistem pacuan semua roda, ia memberikan tahap cengkaman yang sangat-sangat dihargai terutama apabila kita sedang memasuki laluan yang tidak rata.

 

4. Kelengkapan yang boleh memudahkan urusan harian

crv


Selain daripada ciri-ciri praktikaliti yang disebutkan tadi, Honda CR-V AWD ini turut dilengkapi dengan skrin paparan TFT digital tujuh inci, skrin Display Audio sebesar tujuh inci lengkap dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, kawalan iklim dua zon automatik, serta sistem audio dengan lapan pembesar suara yang boleh tahan sedap juga lantunan bunyi dan iramanya.  

Biarpun skrin paparan tersebut nampak kecil (dan mungkin ada yang beranggapan ketinggalan zaman), akan tetapi sistem infohibur CR-V ini sangat mudah untuk digunakan terutama apabila anda memautkan peranti Apple secara terus menggunakan wayar pengecas USB.
 

crv


Enjin CR-V juga kini boleh dihidupkan dari jarak jauh dengan hanya menekan butang pada fob kunci. Ciri yang sangat berguna untuk memastikan ruang kabin sedia dan selesa untuk dipandu terutama di bawah keadaan cuaca yang panas terik pada ketika ini.

Akhir sekali, susun atur tempat duduk yang masih lagi mampu menawarkan ruang kepala dan kaki yang luas baik untuk penumpang depan dan juga belakang.

Senang cerita, anak-anak anda takkan merungut punya bila bapa kesayangan mereka memilih untuk membeli Honda CR-V sebagai kereta keluarga.

 

5. SUV selamat, keluarga selamat

crv


Tidak dilupakan, ciri keselamatan yang menjadi salah satu faktor penting dalam pemilihan kereta keluarga yang ideal.

Untuk makluman, Honda CR-V AWD ini merupakan varian tertinggi yang ditawarkan oleh Honda Malaysia dengan membawakan kelengkapan Honda SENSING secara standard.

Terdapat ciri seperti Amaran Keluar Lorong (LDW), Sistem Bantuan Pengekalan Lorong (LKAS), Mitigasi Keluar Jalan (RDM), Sistem Brek Mitigasi Pelanggaran (CMBS), Amaran Pelanggaran Hadapan (FCW), Kawalan Jelajah Adaptif (ACC), Bantuan Mengikut Kelajuan Rendah (LSF) dan Bantuan Suluhan Tinggi Automatik (AHB).

Ciri yang disebutkan itu melengkapi ciri keselamatan pasif seperti enam beg udara, Bantuan Kestabilan Kenderaan (VSA), Bantuan Pengendalian Lincah (AHAH), ABS, EBD, Bantuan Brek, serta Bantuan Mula Mendaki.
 

cr


Ciri Honda LaneWatch juga turut ditawarkan secara standard, namun pada pendapat penulis, adalah lebih baik jika Honda membawakan terus sistem pemantauan titik buta (BSM) supaya pemandu dapat mengetahui benda-benda yang ‘terselindung’ di sebalik medan penglihatan yang terhalang di bahagian kiri dan kanan kenderaan.

Ini kerana di atas jalan raya, kita sebenarnya bukan saja perlu berdepan dengan bermacam-macam kereta, SUV dan trak pikap, kita juga perlu peka dengan kehadiran motosikal yang ada kalanya suka bersembunyi pada titik buta kenderaan.

 Ciri Honda LaneWatch cuma membantu mengingatkan kita tentang kehadiran kenderaan dari arah belakang kiri, dan tiada sebarang bantuan atau amaran berbentuk audio untuk memberikan kita amaran tentang kemunculan kenderaan dari arah belakang kanan.
 

crv


Penulis fikir ia bukanlah satu kelemahan yang ketara, lebih baik ada (ciri Honda LaneWatch) daripada tiada langsung.

Sekurang-kurangnya kita boleh mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku di atas jalan raya.

Secara kesimpulannya, ini merupakan lima sebab kenapa kami rasakan Honda CR-V AWD ini masih lagi satu pembelian yang sangat berbaloi terutama untuk mereka yang sedang mencari kenderaan keluarga yang praktikal.

 


Untuk makluman, Honda CR-V generasi kelima ini sedang menunggu masa yang sesuai untuk digantikan dengan model generasi baharu yang dijangka akan dilancarkan secara rasmi pada tahun ini.

Spesifikasi ringkas Honda CR-V AWD
Enjin 1.5 liter turbo i-VTEC
193 PS, 243 Nm
Sistem pacuan semua roda (AWD)
Transmisi CVT Automatic
Harga RM171,400

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Kali ini giliran Perodua dan Honda pula untuk berpeluh di dahi kerana Careta mendapat tahu bahawa…
Berita Global
Dalam erti kata lain, ia lebih banyak menghabiskan masa di pasaraya dan pusat membeli-belah dari…
Pelancaran
Rekabentuk gril bertemakan bintang dan planet Zuhal beserta "cincinnya" sementara roda aloi bersaiz…