Pandu Uji: C 250 AMG - untuk pemandu yang jujur

oleh HEZERI SAMSURI|
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Seperti biasa, bila kita bercerita akan Mercedes-Benz C-Class, pasti akan ada yang bertanya - “Antara C-Class dengan 3-Series, mana lagi best bro?”

Memang, C-Class ini sentiasa dibandingkan dengan BMW 3-Series. Maaflah peminat Audi, masih ramai tak tahu wujudnya Audi A4, ataupun pesaing C-Class dan 3-Series yang lain seperti Lexus IS250 atau Infiniti Q50.

Di dalam kategori sedan segmen C mewah, pemain utamanya ialah Mercedes-Benz C-Class dan BMW 3-Series, dan sememangnya jumlah jualan kedua-duanya sangat tinggi berbanding dengan kompetitor yang lain.

 

 C Class AMG 1

 

Jadi kali ini, Careta diberikan peluang untuk memandu uji C 250 AMG Line yang dipasang di PJ, iaitu Peramu Jaya, Pekan dan bukannya Petaling Jaya.

Kita teruskan dengan pengembaraan Careta bersama “Mecedih” pinjam ini dan mungkin di akhir laporan ini, anda mungkin mendapat jawapan samada anda lebih sesuai dengan C-Class atau dengan 3-Series.

  • Model C-Class generasi keempat ini dikenali dengan nama kod W205 dan ia menjadi model pertama Mercedes-Benz yang menggunakan platform Modular Rear Architecture (MRA). Ia 100 kg lebih ringan dari generasi sebelumnya kerana MRA menggunakan banyak komponen alumnium dan besi high-strength. Ia dikatakan jauh lebih kukuh dari pesaingnya. Dengar ya peminat BMW. Kami ulang - jauh lebih kukuh.
  • Untuk model 2017, sistem transmisi diganti dengan kotak gear 9G-Tronic Automatic - kotak gear automatik dengan sembilan nisbah gear yang pertama di dunia bagi segmen premium. 
C Class AMG 2

 

  • Walaupun ada 9 nisbah gear, transmisi itu menukar gear dengan sangat lancar dan penumpang tidak akan terasa gear bertukar. Dan ia juga boleh meloncat gear agar kita segera dapat memecut dengan laju. Paling menarik, nisbah gear yang tinggi itu memungkin perjalanan di atas lebuhraya lebih lancar, lebih senyap, kurang gegaran dan sangat menjimatkan minyak.
C Class AMG 17

 

  • Enjin pula ialah enjin 2.0L atau 1,991 cc, empat silinder sebaris dengan pengecas turbo dan sistem penyejukan cecair optimum. 
    • - Kuasa maksimum: 211 hp @ 5,500 rpm
    • - Tork maksimum: 350 Nm @ 1,200 - 4,000 rpm
    • - Transmisi: 9G-Tronic Automatic, RWD
    • - Halaju maksimum: 250 kmsj (dibataskan secara elektronik)
    • - Pecutan 0-100kmsj: 6.6 saat
  • Ia mempunyai 4 mode pemanduan yang boleh dipilih melalui program Agility Select. Mode tersebut ialah Eco, Sport, Sport +, Comfort dan mode Individual di mana pemandu boleh menghasilkan mode beliau sendiri.
C Class AMG 3

 

  • Gril AirPanel bermaksud lubang-lubang pada gril itu boleh ditutup secara automatik untuk merendahkan geseran udara bila bergerak di atas lebuhraya. Ini meningkatkan kecekapan penggunaan bahan api. Paling penting, anda boleh tunjukkan fungsi ini kepada jiran anda yang menggunakan BMW 3-Series.
C Class AMG 5

 

  • Kemasan papan pemuka Mercedes-Benz memang menjadi lagenda dan model W205 ini mempunyai papan pemuka yang tercantik di dalam keluarga C-Class. Kemasan menggunakan bahan-bahan eksotik seperti kayu, kulit dan besi aloi benar-benar membuatkan anda tenggelam di dalam nikmat dunia. Jika anda inginkan sesuatu yang nampak lebih mampu milik dan tidak canggih, C 250 AMG bukan kereta untuk anda. Mungkin anda boleh cari kereta dengan logo kipas propeler warna biru itu. 
C Class AMG 4

 

  • AMG Line di sini bermakna ia adalah sebuah C 250 yang dilengkapkan dengan barangan aksesori AMG. Ia tidak ada sebarang komponen penambah kuasa enjin, cuma aksesori seperti bumper AMG depan dan belakang, bodykit, roda aloi 18-inci dari AMG, karpet lantai AMG dan barangan tambahan AMG pada ruang kabin. 
  • Kereta premium mempunyai lampu kabin - bukan lampu di siling yang terhidup bila pintu dibuka, tetapi lampu ambien atau ambient lighting di mana ada lampu LED yang malap menerangi kawasan-kawasan tertentu seperti di tempat kaki, di kulit pintu, di kawasan tombol gear dan sebagainya. Lampu ambien ini menaikan lagi mood atau perasan seseorang ketika memandu. 
C Class AMG 7

 

  • Mercedes-Benz C-Class ini masih kekal pacuan roda belakang (RWD). Ia masih dianggap sebagai Mercedes-Benz tulen yang paling mampu milik. Mengikut kata peminat fanatik Mercedes-Benz, model yang menggunakan pacuan roda hadapan (FWD) itu bukan model Mercedes-Benz tulen dah dibina khas untuk mereka yang kononnya peminat jenama itu.
C Class AMG 16

 

  • Mercedes-Benz sekarang tidak seperti dahulu. Dahulu, ia lebih mementingkan keselesaan. Sekarang ini, dengan adanya pesaing Jerman mereka yang semakin kuat menggigit tumit, C-Class ini mampu dibawa bermain-main di selekoh. Namun begitu, ia tidak sehebat BMW dari segi input stereng dan sistem gantungan. Tetapi, seperti BMW yang sudah membaiki keselesaan pada 3-Series mereka, ia tetap tidak sebaik keselesaan C-Class. 
C Class AMG 8

 

  • Satu kelebihan kenderaan dari Jerman ialah kerana mereka mempunyai autobahn, iaitu lebuhraya yang mempunyai kawasan tanpa batasan had laju, kenderaan mereka sangat tegap di atas lebuhraya dalam kelajuan tinggi. Sering kita dengar orang Malaysia berkata kereta Jerman ini “berat”. Sebenarnya, semua kereta berat tetapi penalaan sistem gantungan dan juga sistem stereng berkuasa serta aerodinamik produk-produk dari Jerman dibuat agar rasa lebih stabil bila dipandu laju. C-Class ini bukti yang baik kerana walaupun ia rasa selesa bila keadaan jalanraya tak ubah seperti jalanraya di Beserah selepas banjir, ia tetap terasa stabil bila dilenjan pada kelajuan yang akan membuatkan pihak PDRM menyinga kemarahan.
C Class AMG 9

 

  • Kelengkapan dalam C 250 AMG ini setanding dengan pesaingnya, tidak ada sangat yang memungkinkan kami menjerit “WOW hebatnya” tetapi itulah Mercedes-Benz, ia faham efek Wow hanya tahan selama lima minit sahaja dan selepas itu, terus membosankan. Apa yang ditekankan oleh Mercedes-Benz ialah kualiti kemasan dan rekabentuk yang klasik yang tetap nampak segar selepas lima tahun.
  • Tempat duduk C 250 AMG ini selesa, namun seperti pada BMW< pemandu perlu bersabar untuk mengubah kedudukan tempat duduk buat kali pertama. Bila posisi yang sesuai dijumpai, pemandu akan merasa selesa selama ia memandu kereta ini.
C Class AMG 10

 

  • Ruang boot atau tempat letak barang C-Class ialah seluas 480 liter kecuali model C 350e hibrid yang mempunyai boot sebesar 335 liter sahaja.
  • Walaupun C-Class model ini sudah banyak berada di atas jalanraya, masih ramai yang melopong bila melihatnya. Mungkin kerana bentuknya seakan S-Class atau E-Class, atau memang bentuknya nampak eksklusif dan “mahal”.
C Class AMG 13

 

  • Penggunaan bahan api memang tersangat cemerlang. Kerana di Eropah harga bahan api terlalu tinggi, maka pembuat kenderaan jenama Eropah memastikan enjin-enjin mereka menjimatkan bahan api. Untuk C-Class ini, setangki petrol (66-liter) dengan mudah mampu memberikan perjalanan melebihi 600 km (campuran jalan bandar dan lebuhraya, pada kelajuan yang juga berbeza-beza).
C Class AMG 14

 

  • Sistem stereng elektrik pada Mercedes-Benz ini berkait rapat dengan mode pemanduan Agility Select. Dalam mode Eco, terasa ia ringan sedikit berbanding dengan Sport atau Sport +. Tetapi ia tetap tidak begitu komunikatif seperti stereng BMW bila dipandu laju di kawasan berliku. Ada terasa sedikit “kejung” di mana pemandu tidak dapat merasakan apa yang berlaku pada roda hadapan. Apa pun, Careta kira ini bukan masalah besar kerana kadar kekerapan pemanduan seperti orang gila itu jarang berlaku. 
C Class AMG 12

 

  • Mercedes-Benz C 250 AMG ini sebenarnya ialah untuk mereka yang mahukan sebuah sedan segmen premium yang mementingkan citarasa dan keselesaan, bukan pada keghairahan pemanduan laju di selekoh-selekoh. Tetapi jangan terus menuduh pemandu Mercedes-Benz adalah dari jenis pakcik-pakcik pencen kerana kebanyakan dari mereka memang ada kereta sport di rumah dan C 250 AMG ini dibeli khusus untuk keselesaan dan bentuk yang sangat klasik dan tak jemu mata memandang.

Dengan harga RM287,888 (harga atas jalan, termasuk GST tetapi tanpa insurans), C 250 AMG ini sebenarnya bersaing dengan kembar hibridnya, C 350e Avantgarde Line dengan harga RM289,888. 

Namun begitu, masih ada ramai pembeli tradisional yang tidak begitu pentingkan prestasi dan lebih mementingkan nilai harga selepas lima tahun menggunakannya. Mereka akan terus memilih varian dengan teknologi enjin petrol biasa seperti C 250 AMG.

 

C Class AMG 15

 

Bagi penulis, jika mencari sebuah sedan premium untuk pemanduan harian, C 250 AMG ini umpama jam Swiss - hanya diminati oleh yang mampu menghayati seninya dan tidak perlu terkinja-kinja untuk menarik perhatian.

Kalau perhatian diperlukan, jam G-Shock berwarna kuning Taliban sentiasa ada. 

*Penghargaan kepada Cinta Sayang Resort di Sungai Petani kerana menaja makan-minum kami dan membenarkan penggambaran diambil di sana.


 

Berita Berkenaan

Berita Global
Kedua-dua syarikat global itu akan mengadaptasi strategi digital, menghasilkan pendekatan pasaran…
Berita Global
  Bampar direka dengan bukaan liang udara yang minimum untuk penyejukan dan bahagian bawah badan…
Berita Global
  Kemewahan kereta ini boleh disaksikan di Muzium Mercedes-Benz di Jerman. Apa yang membuatkan…