Pandu Uji: 5 perkara menarik ada pada Audi Q8 e-tron 2023

oleh Mohamad Hanif|
Pada penghujung bulan yang lepas, Careta telah dijemput oleh Audi Malaysia untuk merasai sendiri pengalaman pemanduan barisan model EV yang telah dilancarkan sebelum ini.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Atau lebih tepat lagi, SUV elektrik Audi Q8 e-tron 2023.

Jika anda mengikut rapat perkembangan semasa, kami sebelum ini pernah melaporkan tentang kehadiran model-model e-tron terbaharu dengan senarai model yang agak panjang.

Usah risau, kerana kami sedia untuk meringkaskan maklumat tersebut bagi memudahkan pemahaman anda, sekaligus membantu memilih model yang bersesuaian dengan bajet yang ada.

Berikut merupakan lima perkara menarik yang ada pada Audi Q8 e-tron 2023 yang sempat kami uji selama dua hari.


1. Ada empat varian yang ditawarkan untuk pasaran Malaysia

Audi


Ya, untuk model SUV elektrik Audi Q8 e-tron, Audi Malaysia menawarkan sehingga empat varian utama:
• Audi Q8 e-tron 50 quattro - RM384,790 (gambar di atas)
• Audi Q8 Sportback e-tron 50 quattro - RM389,990
• Audi Q8 e-tron S line 55 quattro - RM474,990
• Audi Q8 Sportback e-tron S line 55 quattro - RM484,990

Audi Q8 e-tron untuk pasaran Malaysia boleh didapati dalam dua jenis bentuk badan, iaitu SUV standard (Q8 e-tron 50 quattro & Q8 e-tron S line 55 quattro) serta SUV coupe (Q8 Sportback e-tron 50 quattro & Q8 Sportback e-tron S line 55 quattro).


2. SUV elektrik, dengan sistem pacuan semua roda quattro standard

Audi


Secara standard, varian Q8 e-tron yang paling mampu milik (serta versi Sportback) didatangkan dengan tetapan motor elektrik berkembar, yang menawarkan sistem pacuan semua roda quattro.

Versi ini mampu menjana kuasa setinggi 340 PS dan daya kilas 664 Nm, di mana pecutan 0-100 km/j boleh dicapai dalam masa 6.0 saat.

Sementara varian 55 yang lebih sihat walafiat pula mampu menghamburkan kuasa setinggi 408 PS dan daya kilas 664 Nm, di mana pecutan 0-100 km/j adalah sepantas 5.6 saat.


3. Masalah kebimbangan jarak? Usah risau!

Audi


Audi melengkapkan SUV elektrik Q8 e-tron spesifikasi 50 mereka dengan pek bateri berkapasiti 95 kWh.

Disebabkan terdapat perbezaan bentuk badan, jadi jarak gerak yang boleh dicapai oleh kedua-dua bentuk badan itu juga nyata berbeza untuk pemanduan sekali cas penuh.

Berbanding Audi Q8 e-tron 50 quattro yang mampu mencapai jarak gerak 491 km, versi Q8 Sportback e-tron 50 quattro yang lebih seksi pula boleh dipandu sejauh 505 km biarpun dengan kapasiti bateri yang sama.
 

audi


Sama juga halnya dengan Audi Q8 e-tron 55 quattro dengan pek bateri 114 kWh, ia hanya sekadar mampu mencecah jarak gerak 582 km berbanding 600 km pada model Sportback 55 untuk sekali cas penuh.

Dengan keterdapatan jaringan pengecasan di lebuh raya utama, penulis fikir masalah kebimbangan jarak kini bukan lagi perkara utama yang perlu dirisaukan.

Melainkan jika destinasi yang dituju itu tidak langsung mempunyai infrastruktur, anda mungkin perlu berfikir dua tiga kali sebelum membuat perjalanan jauh menggunakan SUV elektrik ini.

 

4. Praktikaliti

audi


Dari segi dimensi, Audi Q8 e-tron versi biasa membawakan ukuran sepanjang 4,915 mm, lebar 1,937 mm, tinggi 1,633 mm dengan jarak antara roda sepanjang 2,928 mm.

Sementara versi Sportback pula sedikit rendah, dengan ketinggian 1,619 mm di mana ia secara tidak langsung memberikan kesan kepada penawaran ruang kargo di belakang.
 

audi


Berbanding ruang sebesar 569 liter yang boleh digunakan sebaik mungkin pada model SUV standard, Audi Q8 e-tron Sportback pula menawarkan ruang kargo yang sedikit kecil, sebesar 528 liter.

Untuk mereka yang mementingkan rupa paras yang sporti, beza tersebut tidak langsung memberikan kesan ketara, memandangkan ruang kargo Audi Q8 e-tron sememangnya luas walaupun dalam versi Sportback!
 

kamera


Cuma yang membuatkan penulis rungsing ialah penawaran kamera sisi yang menggantikan peranan cermin sisi pada model-model Q8 e-tron 55 (versi standard dan Sportback).

Ini kerana, pemandu perlu membiasakan diri dengan kedudukan paparan sisi yang lebih rendah berbanding kebiasaan, serta sudut pandang keluar yang tidak cukup luas berbanding cermin fizikal.

Biarpun Audi Q8 e-tron didatangkan dengan sistem kamera keliling 360 darjah, ia dilihat tidak langsung membantu urusan parkir masuk dan parkir keluar dengan selamat.

Ternyata, penggunaan cermin sisi rasa lebih selamat, dan lebih praktikal!

 

5. Keselesaan pemanduan

EV


Pemanduan sepanjang dua hari dari Glenmarie ke Ipoh, dan patah semula ke Lembah Klang memberikan input dan maklum balas yang berbeza kepada penulis, disebabkan oleh perbezaan spesifikasi yang ditawarkan oleh Audi Q8 e-tron.

Secara keseluruhan, apa yang boleh penulis simpulkan ialah pemanduan Audi Q8 e-tron memang seperti apa yang penulis jangkakan - respons stereng yang mudah untuk dijangka, tidak terlalu ringan, dan dengan bantuan sistem pacuan semua roda quattro, ia juga stabil di atas lebuh raya dan di jalan biasa.
 

audi


Kecekapan sistem pacuan elektrik juga tidak mengecewakan, ia boleh memecut untuk mencapai kelajuan yang diinginkan walaupun SUV ini boleh tahan berat juga.

Dengan sistem suspensi udara standard yang dibekalkan, ia juga menawarkan keseimbangan antara kawalan badan dan keselesaan pemanduan yang tersendiri.
 

audi


Duduk di tempat pemandu, anda akan merasa seperti mengendalikan sebuah kapal terbang, disebabkan oleh kehadiran tiga skrin berasingan (skrin kluster 12.3 inci, skrin infohibur 10.1 inci, skrin kawalan iklim 8.6 inci) yang diposisikan ke arah pemandu, diikuti dengan kawalan penukaran gear yang agak stailo di bahagian konsol tengah.

Ada tiga kekurangan yang penulis dapat rasakan sepanjang pemanduan pendek ini.
 

audi


Pertama, kusyen tempat duduk pemandu pada model Q8 e-tron 50 yang sedikit pendek, dan menjadikan pemanduan jarak jauh yang kurang selesa. Hal ini tidak berlaku pada varian yang lain, disebabkan kusyen yang ekstra panjang.

Kedua, kawalan iklim agak sukar untuk ditetapkan disebabkan oleh penggunaan skrin dan bukannya butang kawalan fizikal.

Ketiga, penggunaan kamera sisi yang sangat tidak praktikal untuk SUV bersaiz besar ini. Cermin sisi masih lagi komponen terbaik!
 

Audi


Jadi, adakah SUV elektrik Audi Q8 e-tron ini sangat sesuai dengan jiwa anda?

 

 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

A post shared by careta (@careta_malaysia)

 

 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

A post shared by careta (@careta_malaysia)

 

Berita Berkenaan

Informasi
Malah pembayaran juga perlu dilengkapkan menerusi aplikasi Hello Smart App, dan bukan menggunakan…
Berita Global
Lebih 2,000 orang pekerja terjejas kesan daripada penutupan projek tersebut, namun menurut laman…
Telah Diuji
Di Malaysia, pengedaran dan penjualan kereta elektrik smart dikendalikan oleh Pro-Net, sebuah anak…