Pakai Enzo dua minggu sebelum jual - Jenson Button

oleh HEZERI SAMSURI|
Kenderaan yang dipakai oleh juara Formula 1 pastinya mendapat tarikan dari semua kerana ingintahu apakah kenderaan yang menjadi pemandu terbaik dunia itu.

TopGear UK telah menemuramah Jenson Button mengenai kenderaan yang pernah dimiliki beliau dan ya, memang menarik pilihan-pilihan Jenson.

Kereta pertama dipandu

Suzuki Jimny semasa berusia 8 tahun.
Ayahnya membenarkan beliau belajar memandu Jimny itu di padang di sebelah rumahnya.
“Ayah saya masih ingat bagaimana saya mengundurkan Jimny itu pada kelajuan 65 kmsj,” terang Jenson.

 

cavalier

 

Kereta pertama dibeli

Kenderaan pertama dibeli Jenson dengan duit sendiri hasil kemenangan dalam perlumbaan gokart ialah Vauxhall Cavalier 2.0L 8-injap dengan harga £2,000 atau RM11,000).
Vauxhall tahun 1990 sudah berjalan sejauh 150,000 km semasa beliau membelinya (tak teruk sangat) dan Jenson menukarkan rim aloi ke saiz 17 inci, sistem gantungan Sachs dan speaker-speaker audio yang seorang budak pada usia 17-tahun akan pasang.
“Vauxhall itu sebenarnya seronok untuk dipandu selepas modifikasi,” kata Jenson.

Kereta dibeli selepas menjadi pemandu Formula 1

Semasa Jenson berusia 19 tahun, beliau membeli sebuah Ferrari 355 GTS warna kuning.
Ferrari terpakai itu dibeli walaupun beliau tidak dibenarkan memandu ujinya kerana tidak cukup umur untuk insurans kenderaan itu.
Jenson masih ada Ferrari itu sehingga sekarang.

Fasa supercar

Jenson pernah membeli sebuah Bugatti Veyron, selama dua bulan.
Tidak, Veyron Jenson tidak ditarik oleh pihak bank tetapi Jenson tidak sanggup lagi dengan kos insurans, servis dan juga harga tayar Veyron.
“Sebuah tayar Veyron berharga RM28,000 dan ia hanya boleh dibeli dalam jumlah minima sepasang. Maknanya, jika saya dah rosakkan sebuah tayar Veyron ini, saya perlu belanja hampir RM60,000 untuk kos membeli tayar sahaja!”
Kerana itu, Jenson terpaksa berhati-hati memandunya dan merimaskan beliau.
“Selepas dua bulan, saya jual,” kata Jenson.

Enzo pula

Selepas Veyron, Jenson terus membeli sebuah Ferrari Enzo.
“Saya tidak berapa faham dengan Enzo ini. Ia terasa leceh dan pemalas.”
“Masalah utama pada Ferrari Enzo ialah ia rasa seperti sebuah kereta lumba, tetapi ia bukan sebuah kereta lumba. Saya tak tahu apa jenis kereta Enzo ini,” terang Jenson.
Selepas dua minggu, Jenson menjual Enzo itu tetapi sekarang beliau menyesal kerana harga Enzo itu pasti sudah melambung.

Porsche GT2 RS

Antara Porsche yang pernah dibeli Jenson ialah GT2 RS kerana ia yang terbaharu ketika itu.
Selepas itu beliau tidak lagi membeli kereta kerana ia yang terbaharu tetapi lebih mencari kenderaan yang memberikan kepuasan hatinya dan bermakna.

Camper-van!

Jenson juga pernah berminat dengan Volkswagen camper-van dan beliau membeli dua buah  -  satu disimpan di UK dan satu lagi di Monaco.
Jenson menghumban keluar enjin 1.2L yang asal dan masukkan enjin 2.0L VW dengan 200 hp.
Beliau juga menukar sistem gantungan dan menggantikan roda aloi dengan jenis Fuchs. 
Van-van itu banyak digunakan untuk kempen-kempen mencari derma bagi kebajikan.
Jenson masih ada camper-van itu walapun beliau sudah 10 tahun tidak memandu atau melihat van-van itu.

Ferrari F40

Semasa kecil, Ferrari F40 ialah antara tiga perkara yang ada di dalam bilik tidurnya -  poster-poster Bart Simpson, Pamela Anderson dan Ferrari F40 (sama seperti penulis, tetapi hanya F40, yang lain ialah poster masjid).
Jenson mencari sebuah F40 untuk dibeli dan mengambil masa selama setahun sebelum berjumpa dengan F40 yang beliau berpuas hati.
“Ia adalah sebuah kenderaan mekanikal dan tiada bantuan elektronik. Sukar untuk menjinakan F40 ini dan kerana itu saya rasa ramai pelumba lagenda mempunyai sebuah F40,” kongsi Jenson.
Jenson masih lagi memiliki F40 itu dan memang beliau gunakan dari masa ke semasa.

McLaren P1

Jenson bekerja dengan McLaren selama lapan tahun sekarang dan beliau membeli sebuah P1 kerana takjub dengan prestasinya.
“Ia adalah satu-satunya kereta untuk jalanraya yang saya rasa sangat seronok untuk dipandu di atas litar lumba,” kata Jenson.

Dua kenderaan idaman yang Jenson tidak akan miliki
McLaren F1 dan Ferrari 250 GTO kerana kedua-duanya sudah menjadi terlalu mahal untuk beliau.

Kenderaan Amerika
Teman wanita Jenson tinggal di California dan kerana itu beliau sering menghabiskan masa di sana.
Jenson tidak pernah memiliki sebuah kenderaan Amerika yang tulen dan suatu hari, beliau ke sebuah pusat lelongan dan membeli tiga buah kenderaan Amerika - Chevrolet 3100 Pickup tahun 1956 berwarna biru, sebuah Chevy BelAir dengan enjin LS7 dari Corvette yang menghasilkan 500 hp dan sebuah Pontiac TransAm.

Menarik bukan? Apakah kereta pertama anda? 

 

*Artikel asal dari TopGear UK.

Add new comment

banner articles