Padah beraksi superman, dua lelaki ditahan

oleh Hamimah Hamid|
DUA lelaki yang viral menunggang motosikal dengan aksi berbahaya 'ala superman' ditahan pagi semalam.

Kedua-dua lelaki yang berusia 19 dan 21 tahun itu ditahan di dua lokasi berasingan di Tanjung Tualang, Batu Gajah sekitar jam 11 pagi.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, penahanan dilakukan berdasarkan maklumat video tular memaparkan penunggang melakukan aksi menunduk dan meniarap atas motosikal.

 

"Kedua-dua lelaki yang bekerja sebagai juruteknik dan penyelenggara mesin sawit itu telah mengaku menunggang motosikal terbabit sepertimana rakaman yang ditularkan.

 

"Mereka bersama rampasan motosikal telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

 

Mohd Yusri berkata, siasatan dilakukan mendapati, kejadian berlaku di Kilometer 329 Lebuhraya Utara Selatan arah utara dalam kawasan Tapah sekitar jam 1.47 petang Ahad.

 

Katanya, aksi video berdurasi 1 minit 3 saat itu dirakam kamera papan pemuka sebuah kenderaan yang dalam perjalanan dari Tanjung Malim ke Ipoh.

 

"Kerjasama orang ramai yang memberi maklumat membantu memastikan keselamatan awam terpelihara,"katanya.