OVO perkenal sistem pengecasan V2G - sistem cas dan jual tenaga berlebihan

oleh Muhamad Hanif|
Kenderaan elektrik dan plug in hybrid kini semakin menjadi kebiasaan di dalam masyarakat dunia. Terdapat juga beberapa stesen mengecaj kenderaan ini di pasaraya, stesen minyak dan juga pejabat bagi memenuhi keperluan kenderaan elektrik dan PHEV tersebut.

Sistem konvensional ini hanya membolehkan anda mengecas kenderaan semata-mata. Bagaimana jika anda mahukan sebaliknya?

Syarikat pembekal tenaga OVO kini melancarkan sistem pengecasan dua hala yang pertama di dunia. Sistem yang dikenali dengan vehicle-to-grid (V2G) ini membolehkan pemilik kenderaan EV mengecas kenderaan mereka dan membekalkan kembali kuasa yang berlebihan kepada sistem grid. 



 

Sistem V2G yang boleh dipasang di dinding ini beroperasi menggunakan aplikasi OVO VCharge bagi menguruskan agihan tenaga masuk dan keluar dengan pintar. Sistem ini akan memulakan pengecasan kenderaan ketika kos pengunaan yang murah dan tenaga berlebihan yang direkodkan akan dijual kembali kepada sistem grid ketika permintaan yang dicatatkan adalah tinggi.
 

Menurut OVO, ini boleh menjimatkan kos pengecasan dan ada kemungkinan pemilik tidak perlu membayar sesen pun untuk tujuan tersebut. 
 

Ketika artikel ini ditulis, sistem V2G ini hanya terhad kepada kenderaan seperti Nissan Leaf dan kenderaan komersil e-NV200. 
 

Menurut OVO lagi, sistem V2G ini akan ditawarkan secara percuma kepada 1000 pelanggan pertama untuk fasa percubaan sebelum dijual kepada umum dengan harga yang akan diberitahu kelak. 



 

Tidak terhad kepada produk di atas, OVO juga melancarkan Home Storage System, yang membolehkan pemilik rumah menyimpan tenaga yang terhasil daripada panel solar dan menggunakannya ketika keadaan memerlukan. 

Sistem storan tenaga ini turut menggunakan aplikasi OVO VCharge yang sama untuk menguruskan tenaga elektrik di rumah. 

Sumber: AutoExpress UK

Add new comment

banner articles