WRC 2019 sudah mempunyai juara apabila Ott Tänak dan pemandu arah Martin Järveoja menang tempat kedua Rali Sepanyol pada hujung minggu lalu.
Ini adalah kejuaraan yang bermakna selepas kali terakhir pemandu Toyota iaitu Didier Auriol menang kategori pemandu pada tahun 1994.
Beliau juga pemandu kelima Toyota yang berjaya memenangi kategori tersebut. Ott Tänak dan Martin Järveoja adalah pemenang warga Estonia pertama yang mencatat kejuaraan kategori pemandu di dalam WRC.
Ott Tänak sememangnya seorang pejuang sejak berlumba di dalam WRC pada 2009 sebelum menjadi juara dunia buat kali pertama pada musim ini.
Beliau berlumba dengan garang pada musim 2018 namun beberapa insiden menyebabkannya tercicir ke tempat ketiga dan mengulangi prestasi musim 2017.
Usaha Ott Tänak pada musim lepas masih berbaloi apabila membantu Toyota memenangi kategori pengeluar selepas kali terakhir menduduki takhta tersebut pada 1999.
Kemenangan musim 2019 menjadikan Ott Tänak sebagai pemandu ketiga yang berbeza sejak 2004. Sepanjang 15 tahun kategori pemandu didominasi oleh Sebastien Loeb dan Sebastien Ogier.
Sebelum ke Sepanyol, Ott Tänak sudah pun menang enam pusingan dan mendahului dengan 28 mata. Beliau menyempurnakan kedudukan tersebut melalui pemanduan tenang dan menaiki podium sebagai naib juara.
Seorang lagi pemandu iaitu Jari-Matti Latvala turut membantu pasukan dalam mengumpulkan mata kemenangan dengan menduduki tempat kelima.
Pertarungan WRC sekarang ini tertumpu kepada kategori pengeluar. Mendahului kejuaraan ialah Hyundai dengan 380 mata di hadapan Toyota yang mengumpul 362 mata.
Jika mahu menjulang kejuaraan pengeluar buat kali kedua berturut-turut, apa cara sekalipun Toyota perlu menang pada pusingan terakhir di Australia pertengahan bulan November.
WRC memang mengujakan!
Penulis: Muhammad Md Tajudin
Kredit/sumber foto: Toyota