Sylphy Zero Emission adalah kereta elektrik (EV) pertama Nissan yang dibuat di China dan untuk pasaran China. Model ini boleh bergerak sehingga 338 km dengan caj penuh.
Model ini adalah saudara dekat Nissan LEAF tetapi dengan ruang kabin dan but lebih besar. Atau mungkin juga boleh diibaratkan sebagai LEAF sedan.
Sylphy Zero Emission menggunakan platform sama seperti LEAF yang membolehkan bateri ditempatkan di bawah kerusi. Lokasi tersebut membolehkan ruang penumpang tidak terganggu dan boleh dinaiki dengan selesa.
Untuk menghasilkan kereta ini tidak mudah. Nissan telah menghabiskan lebih daripada 70 tahun dalam bidang penyelidikan dan pembangunan EV dan lebih daripada 25 tahun dalam penyelidikan bateri, pembangunan dan pengalaman pengilangan.
Hasil tumpuan dan penat lelah itu dapat dilihat pada hari ini apabila 320,000 unit LEAF telah terjual di serata dunia.
Kenapa Nissan memasarkan Sylphy Zero Emission ini di China terlebih dahulu dan bukan di Eropah atau Jepun seperti LEAF?
Salah satu jawapannya ialah polisi negara China yang mahukan kenderaan sifar emisi dan ini adalah model elektrik pertama Nissan untuk pasaran umum, model elektrik pertama daripada 20 model elektrifikasi yang bakal dilancarkan dalam masa lima tahun akan datang.
20 dalam masa lima tahun? Secara purata empat model dalam masa setahun. Segala-galanya mega dan pantas bukan di China?
Penulis: Muhammad Md Tajudin