Nissan NV300 yang mengambil bentuk daripada generasi ketiga Renault Trafic ini membawakan perubahan yang lebih tajam berbanding model terdahulu, dimulakan dengan lampu LED baharu, grill yang lebih besar, dan rekaan bampar yang lebih bersegi sebelum diakhiri dengan pemasangan lampu kabus depan.
Nissan NV300 turut mendapat set rim opsyen 17 inci yang dikatakan membantu menaikkan seri van tersebut.
Perubahan yang besar boleh dilihat menerusi ruang kabin, di mana Nissan NV300 mendapat rekaan papan pemuka serba baharu dengan penggunaan bahan berkualiti tinggi.
Selain daripada itu, terdapat roda stereng baharu, gugusan butang fungsi moden, dan sistem infotainmen bersaiz lapan inci yang menyokong sambungan kepada Apple CarPlay dan Android Auto.
NV300 Combi merupakan van penumpang yang mampu memuatkan sehingga sembilan orang pada satu-satu masa, dan versi facelift kali ini menampilkan penambahan ruang storan sebesar 88 liter, di mana 54 liter daripadanya boleh didapati di bahagian bawah tempat duduk penumpang.
Dari segi keselamatan, Nissan NV300 Combi mendapat sistem bantuan pemandu seperti kawalan jelajah adaptif, amaran titik buta, amaran keluar laluan, sistem pengesan papan tanda trafik, dan beg udara yang dipertingkatkan.