Nissan Caravan MYROOM Launch Edition ditawarkan di Jepun, lengkap dengan tilam!

oleh Muhammad Md Tajudin|
Nissan Caravan MYROOM Launch Edition
Nissan Caravan MYROOM Launch Edition
Pada Disember 2021 Careta menerbitkan artikel tentang dua van konsep iaitu Caravan Mountain Base dan Caravan Myroom yang dibawa ke Tokyo Auto Salon 2022 (TAS 2022).

Dua buah van tersebut membawa konsep rekreasi dan pengembaraan yang kini semakin masyhur. 

Berbelas bulan berlalu, Nissan mengumumkan penawaran Caravan MYROOM Launch Edition untuk pasaran Jepun.

Van itu hanya ditawarkan dalam tempoh terhad dengan tempahan sudah pun dibuka dan penghantaran dibuat selepas Februari 2024.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02
Nissan Caravan MYROOM Launch Edition

Van ini diasaskan dari Caravan (Grand Premium GX) yang menyambut ulang tahun ke-50 pada 2023.

Nissan menyasarkannya untuk pelanggan yang sibuk dengan kehidupan harian dan mahu menikmati suasana nyaman alam sekitar.

Van ini juga dibangunkan untuk pelanggan membawa bilik peribadi ke alam semula jadi dan berehat.

Bahagian dalam didominasi corak kayu bagi menghilangkan rasa dalaman kereta dan mewujudkan suasana ringkas dan minimalis seperti hotel.

 

Nissan Caravan MYROOM Launch Edition

 

Ciri-ciri Nissan Caravan MYROOM:

  • Kerusi 2 dalam 1 pada baris kedua yang boleh diubah mengikut keperluan pengguna dan pertama seumpamanya dalam industri automotif
  • Kerusi dengan dua jenis kekerasan pada bahagian depan dan belakang. Boleh diterbalikkan dengan keselesaan seperti sofa
  • Dua pilihan tilam, jenis lipat atau simpan ke atas (MYROOM flip-up) yang boleh dibuka hanya dengan satu langkah dan diturunkan secara selamat
  • Tilam jenis lipat dibahagikan kepada dua bahagian dan boleh disusun mengikut pilihan pengguna
  • Meja sisi boleh dipasang dalam pelbagai kedudukan atau ditanggalkan
  • Bahagian luar kereta tampil ringkas dengan jeriji, hendal pintu, cermin sisi warna hitam. Rim besi pun warna hitam! 
  • Pelekat MYROOM pada cermin sisi belakang
  • Empat warna termasuk dua tona Sand Beige dan Putih
  • Aksesori pilihan Portable Battery from LEAF dengan kuasa AC 100V untuk pembekalan kuasa elektrik
Nissan Caravan MYROOM Launch Edition

 

Caravan MYROOM Launch Edition yang merupakan edisi istimewa dilengkapi perkakasan asas seperti langsir, bidai kayu dan kusyen yang menggunakan fabrik seperti langsir.

Turut dilengkapi, panel siling corak kayu dengan lampu sorot, skrin gulung, lampu pada sisi siling dan pembekal kuasa AC 100V.

Menggerakkan Caravan MYROOM Launch Edition ialah dua pilihan enjin iaitu 2.0 liter QR20DE atau 2.4 liter 4N16 diesel turbo.

Enjin itu dipadan dengan transmisi automatik tujuh kelajuan kawalan elektronik (7M-ATx) dan pilihan pacuan dua roda atau empat roda.

 

Nissan Caravan MYROOM Launch Edition

 

Jenis dan harga

Caravan MYROOM Launch Edition 2.0 liter 2WD

  • Tilam lipat - 5,958,700 yen (RM188,800)
  • MYROOM flip-up - 6,134,700 yen (RM194,279)

Caravan MYROOM Launch Edition 2.4 liter 2WD

  • Tilam lipat - 6,626,400 yen (RM209,908)
  • MYROOM flip-up - 6,802,400 yen (RM215,407)

Caravan MYROOM Launch Edition 2.4 liter 4WD

  • Tilam lipat - 6,694,100 yen (RM212,017)
  • MYROOM flip-up - 7,140,100 yen (RM226,115)

Selepas Launch Edition, Nissan akan menawarkan Caravan MYROOM pada musim panas 2024 (bermula Jun).

Nissan Caravan MYROOM Launch Edition

Penulis: Muhammad Md Tajudin / Gambar: Nissan