Nanta - Jajaran Seksyen 7 WCE siap sepenuhnya Mac 2026

oleh Penyumbang Rencana|
Pembinaan Jajaran Tanjong Karang-Assam Jawa di Seksyen 7 Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) telah mencapai tahap 71 peratus, dan dijanga siap pada Mac 2026.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata pembinaan jajaran dengan jarak keseluruhan sepanjang 29.5 kilometer (km) itu melibatkan dua bahagian iaitu Seksyen 7A dan Seksyen 7B.

"Pembinaan di Seksyen 7A bermula dari Persimpangan Assam Jawa sehingga ke Ladang Sungai Terap melibatkan jarak sepanjang 19.5km, manakala Seksyen 7B dari Ladang Sg. Terap ke Persimpangan Bertingkat Tanjong Karang sepanjang 10km.

"Sehingga April lepas, kemajuan kerja bagi Seksyen 7A telah mencapai 91 peratus manakala Seksyen 7B pula 44 peratus," katanya kepada pemberita selepas meninjau kemajuan pelaksanaan projek berkenaan pada Khamis.

Beliau berkata pembukaan jajaran itu memudahkan perjalanan pengguna yang sebelum ini terpaksa menempuh kesesakan terutama pada hujung minggu dan musim perayaan.

Apabila siap kelak beliau menjangka projek Seksyen 7 itu mampu menjimatkan masa perjalanan sehingga satu jam berbanding Jalan Persekutuan sedia ada, selain mengurangkan kepadatan trafik di Lebuhraya Utara-Selatan apabila pengguna menjadikan jajaran itu sebagai laluan alternatif.

Nanta berkata kerajaan komited membina infrastruktur selesa dan selamat selain meredakan keresahan rakyat yang berdepan kesesakan teruk di laluan Tanjong Karang-Kuala Selangor.

"Kita akui struktur tanah di lokasi pembinaan ini agak lembut yang memerlukan kerja tambakan secara berperingkat dibuat, namun kita yakin ia bukan isu besar dan pembinaannya dapat disipakan dalam tempoh ditetapkan," katanya.

 

Bernama

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Serentak dengan itu, Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi mengumumkan pengecualian…