Motorshow terbesar bulan November ini!

oleh HEZERI SAMSURI|
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Malaysia Automotive Institute atau MAI, sebuah agensi di bawah MITI yang bertanggung-jawab atas kemajuan industri automotif negara bakal mengadakan pameran automotif terbesar negara pada 9 - 12 November ini.

Seraya dengan pengumuman itu, MAI telah menanda-tangani sebuah memorandum usahasama bersama MAEPS (Malaysia Agro Exposition Park, Serdang) yang akan menjadi lokasi tempat pameran tersebut.

MAEPS yang dimiliki oleh Kementerian Pertanian menjadi popular kerana menganjurkan acara tahunan MAHA yang menarik jutaan pelawat setiap tahun. Ia merangkumi kawasan seluas 149 hektar dan dewan-dewan pameran.

Kerjasama MAI dan MAEPS ini akan menjadikan Malaysia Autoshow sebagai acara automotif tahunan terbesar negara.

 

MAI autoshow

 

Menurut CEO MAI, Datuk Madani Sahari, pameran Malaysia Autoshow 2017 akan memberikan lebih fokus kepada pameran teknologi dan juga penjualan kenderaan.

"Tahun lalu, 42 peratus kenderaan terjual di dalam negara adalah berstatus Kenderaan Cekap Tenaga atau EEV. Tahun ini, kerajaan mensasarkan 50 peratus dari jumlah jualan terdiri dari kenderaan EEV dan Malaysia Autoshow akan memberikan lebih tumpuan untuk memperkenalkan lagi kepada pengguna apa kebaikan EEV," terang Madani.

"Malaysia Autoshow juga akan menyediakan kemudahan yang mampu membantu syarikat automotif untuk menjual kenderaan mereka. Ruang uji pandu disediakan agar pengguna mampu membezakan pilihan-pilihan mereka," sambungnya.

Untuk pameran tahun ini, lebih dari 80 peratus ruang pameran sudah diambil oleh syarikat kenderaan.

Antara yang akan turut serta ialah:

  • BMW
  • Honda
  • Hyundai
  • Kia
  • Land Rover
  • Mazda
  • Nissan
  • Perodua
  • Peugeot
  • Proton
  • Renault
  • Subaru
  • Toyota
  • Volvo

Syarikat-syarikat motosikal juga akan turut serta dan ruang tunggang uji akan disediakan sekiranya ada permintaan dari mereka.

Antara aktiviti yang menarik yang akan disediakan oleh Malaysia Autoshow ialah:

  • Ruang pameran kenderaan bertutup 
  • Pelancaran model-model terbaharu
  • Laluan pandu uji
  • Perlumbaan GoKart Slalom terbuka untuk awam (bayaran RM10)
  • Kawasan pemanduan off-road
  • Simposium Automotif

 

MAI autoshow 1

Perlumbaan GoKart Slalom adalah yang pertama diadakan di Malaysia dan akan dianjurkan oleh Karting Commission dari FIA sendiri. 

Ia direka untuk mereka yang tidak pernah melibatkan diri di dalam bidang motortsport dan dengan bayaran RM10, mereka boleh mencuba nasib untuk menjadi pemandu terlaju dan menerima hadiah.

Bagi simposium pula, bayaran RM150 sehari akan dikenakan dan mereka boleh memilih untuk hadir dalam mana-mana enam seminar yang ditawarkan.

Seminar pula berkisar akan dasar-dasar baharu automotif negara dan dunia, contohnya persediaan undang-undang tempatan untuk pemanduan autonomi, fokus teknologi hibrid atau EV di dalam negara dan sebagainya.

 

MAI autoshow 3

 

Pelawat juga digalakan untuk memuat-turun aplikasi khas semasa pameran tersebut untuk memilih Kereta Popular Pilihan Rakyat Untuk 2017. Aplikasi itu juga akan memberikan informasi akan pameran tersebut.

Dan paling penting, setiap pelawat yang memuat-turun aplikasi itu akan mempunyai peluang untuk memenangi sebuah Peugeot 208 Pure Tech bernilai RM89,888 jika terpilih sebagai pengunjung bertuah.

Untuk membantu pengunjung memilih kenderaan baharu mereka, Anugerah Kenderaan Tahunan MAI (MAI Car Of The Year) yang merangkumi 30 kategori kenderaan akan diumumkan pada malam sebelum pameran dibuka.

Yamin Vong, pengerusi juri hakim MAI COTY 2017 berkata kali ini kesemua kenderaan yang dijual di dalam tahun 2017 akan dihakimi.

 

MAI autoshow 5

 

"Dahulunya, kami hanya mengambil kira kenderaan baharu. Kali ini, kami ambil kira semua kenderaan yang masih dijual kerana ini akan lebih membantu pengguna," terang Yamin.

Pada tahun hadapan, MAlaysia Autoshow akan mengubah tarikh acara dari bulan November ke bulan April.

"Perubahan masa itu adalah sesuai dengan sirkit pameran automotif global. Ia akan diadakan seminggu selepas Pameran Automotif Bangkok dan dengan cara itu, diharapkan lebih mudah syarikat kenderaan membawa masuk model-model konsep ke pameran di Malaysia," terang Madani.

Ini adalah kali pertama Careta melihat adanya agensi yang benar-benar berusaha untuk mengubah nasib pameran automotif negara.

 

MAI autoshow 6

 

Sebelum ini, pameran automotif di dalam negara berada di dalam keadaan yang menyedihkan dan setiap tahun Careta melihat semakin ramai syarikat automotif berpusu-pusu ke Thailand.

Untuk negara yang mempunyai dua syarikat automotif sendiri dan mampu membina kenderaan dari kertas kosong ke sebuah kenderaan lengkap, menganjurkan sukan motor bertaraf dunia seperti Formula 1, MotoGp, Formula E dan sebagainya, amat menyedihkan bila negara kita sendiri tidak ada pameran automotif yang boleh dibanggakan.

Sokongan harus diberikan kepada MAI kerana mahu mengubah nasib industri automotif negara dan juga kepada peminat-peminat automotif.

 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Penjenamaan semula ini bertujuan untuk menjadikan MARii sebagai organisasi strategik dalam usaha…
Berita Domestik
Memorandum perjanjian tersebut telah disaksikan oleh YDH Ketua Polis Negara, Tan Sri Dato’ Sri…
Uncategorized
Anugerah Kereta Tahunan Malaysia Automotive Industry (Car Of The Year MAI) yang bakal berlangsung…